Pernah mendengar nama filem di atas?
Sudah tentu ramai di antara kita yang tidak pernah mendengarnya. Tidak pernah dipromosikan di Malaysia dan tidak juga di dalam Astro First mahupun di pawagam.
Saya sebenarnya secara tidak sengaja terjumpa 'trailer' filem berkenaan di internet. Ternyata dari menonton 'trailer' berkenaan saya tertarik untuk terus menonton keseluruhan filem tersebut untuk mengetahui lebih lanjut mengenai isu pendidikan yang ada. Sebagai guru, peluang ini saya manfaatkan sepenuhnya agar dapat membuka minda dan memberikan sedikit sebanyak input tentang masalah-masalah pendidikan yang berlaku di seluruh dunia.
Sinopsis FilemBerbaloi untuk ditonton sekiranya anda betul-betul berminat dengan isu pendidikan. Filem ini lebih memaparkan realiti kehidupan ibu bapa yang mahukan pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka. Klimaks filem ini adalah dalam babak terakhir di mana sekumpulan ibu bapa berkumpul di sekolah-sekolah terpilih bersama anak-anak mereka dan sepertimana loteri, mengharapkan anak mereka terpilih menyertai sekolah tersebut yang dikhabarkan menawarkan pendidikan yang terbaik namun dibatasi dengan tawaran yang sedikit.
Masa depan anak-anak tersebut seolah-olah diperjudikan dengan nombor yang dipilih secara rawak. Natijahnya sekiranya terpilih-sangat beruntung kerana mendapat guru dan suasana terbaik, tidak terpilih-seolah-olah 'gelap' masa depan. Riak wajah menjerit kegembiraan dan menangis kehampaan semuanya terpapar sewaktu sesi 'pemilihan nombor'.
Tidak pula saya dapati dalam filem berkenaan, adakah pelajar-pelajar yang hadir itu semuanya layak berdasarkan tahap keputusan yang cemerlang atau semuanya berdasarkan konsep sama rata dalam pendidikan. Namun, tidak mengejutkan sekiranya keputusan cemerlang bukan ukuran kerana sistem di Amerika jauh berbeza di Malaysia. Sistem pendidikan kita dipantau dengan rapi oleh kerajaan dengan penyediaan penuh set kurikulum dan kokurikulum, manakala di Amerika, sekolah mempunyai autonomi menentukan bentuk kurikulm dan kokurikulum mengikut kesesuaian. Lain sekolah, lain bentuknya, dan ini secara tidak langsung mewujudkan satu bentuk dilema kepada sistem pendidikan di sana(ada disentuh dalam filem berkenaan).
Isu menarik dalam filem berkenaan dan pandangan sayaSaya menyukai filem ini kerana ia mengajak penontonnya berfikir dan dihujungnya pelbagai kesimpulan dapat dibuat. Sudah tentu, ada yang tidak relevan dengan sistem pendidikan di Malaysia, namun ada beberapa isu yang menarik perhatian saya dan mempunyai persamaan. Antaranya ialah:
- Guru berprestasi rendah
- Dalam filem berkenaan ada ditunjukkan contoh-contoh sinis dari filem-filem barat dan juga rakaman sebenar berkenaan watak guru yang tidak minat mengajar. Persoalan yang ditimbulkan ialah siapakah mangsanya? Sudah tentu PELAJAR. Ada kajian yang dipaparkan dalam filem berkenaan menunjukkan guru yang mempunyai pretasi yang baik mampu mengajar merentasi kurikulum (yang bermaksud penerapan eleman kreatif, berfokus dan impak kepada pelajar) 150 peratus lebih baik berbanding guru yang kurang minat mengajar atau berprestasi rendah yang hanya menyumbang sekitar 50 peratus dari sasaran kurikulum. Ini bermakna, pelajar yang berhadapan dengan guru yang tidak mengajar atau berprestasi rendah bakal mendapat sekitar 50 peratus pemahaman dalam sesuatu subjek.
- Gaji guru tidak setimpal
- Walaupun tidak disentuh secara khusus, namun ada beberapa pandangan dalam filem berkenaan yang menyatakan bahawa guru boleh diberi gaji sehingga 6 angka sebulan dengan syarat-tiada jaminan kekal dalam pekerjaan dan berdasarkan prestasi. Alasan mereka kerana antara punca guru tidak bersungguh-sungguh mengajar ialah kerana ada suasana rasa selamat untuk tidak dipecat walau berapa teruk pun mereka mengajar dan kurang insentif kewangan sekiranya bagus mengajar. Alhamdulillah, di Malaysia, KPM cuba mengatasi masalah ni dengan mewujudkan 4 tahap guru mengikut prestasi dan pencapaian. Guru biasa, guru kanan, guru wibawa dan pendeta guru merupakan penanda aras tahap kecemerlangan guru. Sudah tentu kelemahan wujud di peringkat awal pelaksanaan tahap-tahap ini, namun usaha KPM yang nampak hala tuju karier perguruan ini perlu lebih menarik dan profesional harus dipuji sebagai langkah awal. Takde la nanti kalau orang tanya kerja apa, kita pun menjawab 'cikgu je'. Profesion guru seharusnya dijawab dengan penuh bangga sama seperti profesion-profesion lain yang seolah-olah nampak lebih gah disebut. Taraf pemberian gaji yang lebih menarik antara penyelesaiannya namun perlu berdasarkan pencapaian dan prestasi.
Saranan kepada dari guru kepada guruKenapa saya sarankan guru wajib menonton filem ini:
- Isu pendidikan adalah isu global. Mengetahui isu pendidikan yang berlaku di negara maju seperti Amerika Syarikat membolehkan kita sebagai negara membangun bersedia menghadapi kemungkinan yang ada dan bertindak dari sekarang. Negara yang maju memerlukan rakyat yang maju dan berpendidikan menguruskannya. Semuanya bermula dengan tindakan kita sebagai guru untuk menghasilkan modal insan berwawasan.
- Pendidikan merentasi warna kulit, bangsa dan agama. Semua pihak berhak mendapat pendidikan yang sempurna dan terbaik sama ada dari segi infrastruktur, kemudahan yang terdapat di sekolah, guru-guru terbaik dan sebagainya. Ternyata ini adalah kerja berpasukan dan tidak mampu dilakukan oleh pihak pentadbiran sahaja. Perkara ini ada ditonjolkan di dalam filem berkenaan.
Semoga mendapat manfaat dari perkongsian di atas. Wahai guru, kitalah 'superman' sebenarnya. Anak-anak didik kita mengharapkan 'power' dari diri kita, maka 'selamatkanlah' mereka.
Teruskan membaca...