Wednesday, March 31, 2010

Bersediakah kita?

Tergerak hati saya untuk menulis setelah membaca berita mengenai kemalangan yang berlaku di salah sebuah stesyen minyak di Kuala Lumpur. Kemalangan yang dilaporkan berlaku secara tidak disangka-sangka dan tiada siapa yang dapat menduga itu membuatkan saya berfikir dengan mendalam mengenai hakikat sebenar kehidupan ini.

Pada mulanya, saya tidak ambil pusing sangat mengenai kisah kemalangan tersebut kerana saban hari di bandaraya metropolitan ini pelbagai jenis dan bentuk kemalangan berlaku. Dengar sahaja laporan trafik dari stesyen radio KLFM setiap hari ada sahaja laporan kemalangan dari yang kecil sehinggalah yang membawa maut.



Namun, yang membuatkan saya benar-benar tersentuh ialah apabila menonton sendiri rakaman cctv berkenaan kemalangan tersebut. Situasi malam kejadian adalah normal seperti biasa. Mangsa baru sahaja selesai mengisi minyak dan baru masuk ke kereta apabila tiba-tiba sahaja sebuah kereta melulu masuk dengan amat laju merempuh kereta mangsa dan menyebabkan kereta tersebut terseret beberapa meter dalam kawasan stesyen minyak berkenaan.

Beberapa saat kemudian, kelihatan isteri mangsa keluar dari pintu hadapan penumpang meluru keluar ke bahagian pemandu untuk melihat keadaan suaminya. Saya terkedu seketika apabila tidak lama selepas itu kelihatan seorang kanak-kanak pula keluar dalam keadaan merangkak dari pintu yang telah dibuka tadi. Terpingga-pinga kanak-kanak tersebut tanpa arah dan orang ramai segera menerpa untuk mengelakkan berlaku apa-apa terhadap kanak-kanak malang itu tadi.

Lelaki berkenaan kemudiannya meninggal dunia setelah beberapa jam dirawat di hospital. Manakala isterinya dan anak kecil berkenaan cedera dan telah menerima rawatan.

Saya terdiam, lantas berfikir tentang kejadian tadi. Malahan dalam perbualan antara saya dan rakan seperjuangan guru-guru lain melahirkan rasa sedih dan risau atas kejadian yang menimpa. Sedih apabila mengenangkan nasib yang menimpa keluarga berkenaan dan risau bagaimanakah keadaan kehidupan mereka anak-beranak yang sekelip mata sahaja berubah.

Mampukah mereka menerima suratan takdir ini?

Mampukah kanak-kanak itu meneruskan kehidupan tanpa kasih sayang seorang ayah yang mungkin baru sekejap tadi ada dan kini tiada buat selamanya?

Yang tersirat
Terbayang di minda sekiranya saya yang berada di tempat mangsa, pelbagai persoalan dan bebanan sebenarnya bakal dtinggalkan kepada waris iaitu isteri dan anak.

Hutang kereta yang masih berjalan.

Wang PTPTN yang perlu dijelaskan.

Hutang-hutang lain yang menuntut perhatian.

Anak dan isteri yang bakal kehilangan sumber kasih sayang dan pemimpin dalam kehidupan.

Bila difikir-fikirkan kembali, sebenarnya kita ini memang hidup untuk mati. Kita mungkin tidak tahu bagaimana dan di mana kita akan meninggalkan dunia ini buat selamanya, namun kita mampu dan boleh berbuat sesuatu sebelum MAUT datang, yang biasanya tidak dijemput.

Yelah, bayangkan sahaja sekiranya kita sakit dan doktor telah menduga berdasarkan ilmu perubatan yang ada bahawa kita mungkin tidak akan hidup lama. Mungkin pada ketika itu, kita sudah boleh merancang beberapa bulan sebelum tarikh yang di'jangka'kan itu tiba untuk kita memberikan yang terbaik dalam hidup ini.

Begitu juga kepada warga tua yang khidmat baktinya telah dicurahkan sewaktu mudanya, sedikit sebanyak bersedia untuk menghadapi 'hari istimewa' itu. Sebahagian besar daripada mereka mula mendekatkan diri kepada masjid dan surau untuk beribadah serta menghadiri majlis-majlis ilmu sebagai langkah persediaan.

Namun, kalau mati muda? Adakah kita benar-benar bersedia menghadapinya?

Isteri dan anak-anak kita, mampukah mereka menerimanya dengan hati terbuka dengan musibah ini?

Adakah kelak nanti mereka akan menyalahkan takdir dan agama atas apa yang berlaku lantas menghukum bahawa kehidupan ini tidak adil dan kejam?

Pedoman Islam dalam menghadapi musibah

Islam meletakkan pedoman yang jelas melalui lisan Nabi akhir zaman iaitu Muhammad S.A.W tentang bagaimana kita hendak berhadapan dengan musibah yang menimpa.

Saya sertakan beberapa hadis yang boleh kita ambil manfaat daripadanya.

Hadis 1

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w bersabda: "Siapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, nescaya Allah mengujinya."
(Riwayat al-Bukhari-dari buku 300 hadis bimbingan-ke arah mencari redha Allah karangan Ustaz Zahazan Mohamed dan Ahmad Hasan Mohd Nazam- hadis ke 101)

Hadis 2

Daripada Abu Said al-khudri r.a dan Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Tidak menimpa seorang Mukmin suatu penyakit yang berpanjangan, kepayahan, sebarang jenis kesakitan, dan kesedihan malahan kedukacitaan, melainkan dihapuskan sebahagian dosa-dosanya."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim-dari buku 300 hadis bimbingan-ke arah mencari redha Allah karangan Ustaz Zahazan Mohamed dan Ahmad Hasan Mohd Nazam-hadis ke 102)

Saya memberikan nasihat kepada diri dan juga kepada semua yang membaca tulisan ini untuk kita tidak menyalahkan takdir terhadap apa yang berlaku pada kita kini dan perkara-perkara yang telah belalu. Ingatilah hadis-hadis di atas sebagai pedoman.

Kehidupan perlu diteruskan dan untuk meneruskannya kita perlu sentiasa berfikiran positif dan bergerak ke hadapan. Mungkin itu intipati sebahagian ajaran Islam yang sempurna ini kepada kita melalui hadis-hadis di atas.


Semoga kita lakukan yang terbaik dalam hidup ini dan menghargai setiap saat yang ada bersama-sama dengan orang yang tersayang.

0 comments:

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP