Tuesday, February 16, 2010

Celik IT untuk semua

Pada tahun 2010 ini, saya mempunyai beberapa perancangan baru yang ingin dilaksanakan. Antaranya, menyebarluaskan pengetahuan berkaitan Teknologi Maklumat kepada semua pengguna Internet yang berbahasa Melayu. 


Ini kerana saya dapati ilmu-ilmu berkaitan dengan teknologi maklumat kebanyakannya dalam Bahasa Inggeris, dan saya tergerak hati untuk berkongsi pengalaman saya membaiki, mengatasi masalah-masalah umum berkaitan komputer dan apa sahaja berkaitan teknologi maklumat kepada semua dalam bahasa ibunda saya iaitu Bahasa Melayu. 


Alhamdulillah, sejak belajar secara khusus mengenai mengenalpasti masalah-masalah komputer dan menyelesaikannya (troubleshoot) pada tahun 2000 hingga sekarang, banyak perkara yang saya perolehi. Boleh dikatakan tidak kurang dari 100 buah komputer dengan pelbagai ragam dan masalah telah saya temui. 


Kesemua komputer yang saya baiki diperoleh dari keluarga dan rakan-rakan yang mempercayai kebolehan saya dan tidak jemu-jemu menyokong saya dengan menyebarluaskan kebolehan saya kepada rakan-rakan mereka yang lain. Tiada promosi secara khusus yang dilakukan, hanya buah mulut orang sahaja sehingga kini.


Fokus dan Matlamat
Fokus pertama saya dalam perkara ini ialah supaya rakyat kita Malaysia yang berbahasa Melayu celik mengenai isu-isu berkaitan penjagaan komputer sama ada dari segi penjagaan perkakasan (hardware) mahupun perisian (software). 


Kedua, sebagai mempelbagaikan lagi medium penyampaian ilmu berkenaan Teknologi Maklumat di dalam Bahasa Melayu sekaligus melonjakkan peranan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu. 


Ketiga, berkongsi masalah dan cara penyelesaian kepada semua melalui langkah-langkah praktikal secara bergambar bagi memudahkan pengguna yang menghadapi masalah yang sama menyelesaikan sendiri masalah tersebut. Masalah yang diperoleh adalah melalui pengalaman saya sendiri secara peribadi dan perkongsian dari rakan-rakan yang lain.

Dikatakan menutup 'periuk nasi orang lain'

Adakah tindakan saya ini bakal menutup periuk nasi orang lain terutamanya yang bekerja secara khusus dalam perkhidmatan membaiki dan membaikpulih komputer?

Cuba kita lihat kepada chef kita yang terkenal, iaitu Chef Wan. Siapa yang tidak kenal dengan kehandalan beliau memasak dan kepetahan beliau bercerita mengenai segala rahsia dan teknik masakan kepada penonton-penonton yang mengikuti rancangan masakannya. Sering kita dapat perhatikan beliau dengan jujur memberikan segala tips memasak setiap kali beliau ke udara dan menunjuk cara masakan kepada semua. Teknik dan resepi itu tidak menjadi rahsia!

Namun, adakah kita lihat semakin banyak restoran makanan gulung tikar kerana kebanyakan orang sudah mula memasak dari rumah akibat hasil didikan chef wan dan lain-lain chef yang terkemuka itu? Tidak benar bukan? Malahan setiap kali ada kawasan perumahan baru yang dibuka, ada sahaja restoran-restoran yang akan menyusul bak cendawan lepas hujan.

Ternyata berkongsi pengalaman dan pengetahuan kepada orang ramai tidak menjadikan kita rugi. Malah sebenarnya dari kesan jangka panjang, kita sama-sama untung kerana:

     1. Ilmu yang dikongsi dapat dimanfaatkan oleh semua orang. Ilmu yang baik akan membentuk masyarakat yang berilmu dan bertamadun sekaligus memajukan negara dalam pelbagai bidang. Bukankah ini suatu kebaikan yang besar kepada agama, bangsa dan negara.

     2. Allah Taala tidak menjadikan manusia untuk meminati perkara yang sama. Logiknya, semua orang menyukai makanan yang sedap, tetapi tidak semua dari mereka minat memasak. Begitu juga dalam hal IT ini, semua orang meminati komputer yang laju dan tidak mempunyai banyak masalah, namun tidak semua dari mereka itu minat membaiki komputer sekiranya ada masalah. Jadi kepelbagaian minat yang wujud dan perkongsian ilmu memudahkan kita berurusan dalam kerja seharian kita. Ternyata, hidup ini saling melengkapi antara satu sama lain.


Tidak sempurna

Sesungguhnya saya hanyalah manusia biasa yang meminati bidang berkaitan Teknologi Maklumat. Saya akui pengalaman yang saya ada ini tidaklah seluas mana dan hanya berfokus kepada pembaikian masalah perkakasan (hardware) secara khusus dan sedikit pengetahuan mengenai perisian (software).

Masih ramai lagi di luar sana yang lebih mahir dari saya, cuma langkah yang saya ambil ini hanyalah alternatif kepada pelbagai alternatif yang ada berkenaan Teknologi Maklumat.

Blog ini merupakan medium untuk berkongsi pengetahuan. Bukannya satu indikasi menyatakan 'aku bagus', tetapi lebih kepada perkongsian ilmu dan penyelesaian yang saya dapati hasil dari pengalaman sendiri.

Justeru, saya sangat mengalu-alukan sebarang komen untuk penambahbaikan mengenai artikel-artikel saya dalam bidang ini. Natijahnya, kita boleh berkongsi pelbagai cara penyelesaian diatas jawapan yang sama. Tidak semestinya hanya cara saya sahaja yang berkesan, mungkin ada lagi cara yang lebih baik.

Harapan saya

Saya mempunyai harapan yang besar kepada diri dan orang-orang yang mempunyai kepakaran tertentu di luar sana.

Harapan saya ialah supaya saya dapat memanfaatkan ilmu yang saya perolehi dengan lebih meluas kepada semua. Rugi rasanya pengatahuan yang ada pada diri ini tidak dikongsi bersama. Semoga orang yang mempunyai minat yang sama seperti saya dapat memanfaatkan ilmu yang ada sebaiknya.

Kepada yang mempunyai kepakaran tertentu di luar sana, anda sangat-sangat digalakkan untuk berkongsi ilmu yang ada kepada semua. Perkongsian yang baik dan bermakna membolehkan kita sama-sama berperanan mendidik masyarakat secara tidak langsung menggunakan medium blog ini.

Saya mengalu-alukan anda menghebahkan blog anda dalam ruangan komen ataupun 'chatbox' saya. Kita sama-sama boleh mengambil manfaat ilmu yang ada.

Selamat membaca dan menikmati ilmu yang ada.


Artikel seterusnya : Masalah 'Install' Karspersky 2010. Pengalaman & cara mengatasi.

1 comments:

Amran February 18, 2010 at 3:30 AM  

Saya amat menyokong penuh saranan dari saudara untuk berkongsi pengalaman bagi meneruskan usaha untuk menyebarkan maklumat tentang permasalahan komputer ke dalam bahasa ibunda kita kerana sememangnya banyak ilmu tentang pembelanjaran komputer di ajar di dalam bahasa inggeris disamping menggalakkan anak-anak melayu kita menaruh minat tentang teknologi masa kini.

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP