Wednesday, March 31, 2010

Bersediakah kita?

Tergerak hati saya untuk menulis setelah membaca berita mengenai kemalangan yang berlaku di salah sebuah stesyen minyak di Kuala Lumpur. Kemalangan yang dilaporkan berlaku secara tidak disangka-sangka dan tiada siapa yang dapat menduga itu membuatkan saya berfikir dengan mendalam mengenai hakikat sebenar kehidupan ini.

Pada mulanya, saya tidak ambil pusing sangat mengenai kisah kemalangan tersebut kerana saban hari di bandaraya metropolitan ini pelbagai jenis dan bentuk kemalangan berlaku. Dengar sahaja laporan trafik dari stesyen radio KLFM setiap hari ada sahaja laporan kemalangan dari yang kecil sehinggalah yang membawa maut.



Namun, yang membuatkan saya benar-benar tersentuh ialah apabila menonton sendiri rakaman cctv berkenaan kemalangan tersebut. Situasi malam kejadian adalah normal seperti biasa. Mangsa baru sahaja selesai mengisi minyak dan baru masuk ke kereta apabila tiba-tiba sahaja sebuah kereta melulu masuk dengan amat laju merempuh kereta mangsa dan menyebabkan kereta tersebut terseret beberapa meter dalam kawasan stesyen minyak berkenaan.

Beberapa saat kemudian, kelihatan isteri mangsa keluar dari pintu hadapan penumpang meluru keluar ke bahagian pemandu untuk melihat keadaan suaminya. Saya terkedu seketika apabila tidak lama selepas itu kelihatan seorang kanak-kanak pula keluar dalam keadaan merangkak dari pintu yang telah dibuka tadi. Terpingga-pinga kanak-kanak tersebut tanpa arah dan orang ramai segera menerpa untuk mengelakkan berlaku apa-apa terhadap kanak-kanak malang itu tadi.

Lelaki berkenaan kemudiannya meninggal dunia setelah beberapa jam dirawat di hospital. Manakala isterinya dan anak kecil berkenaan cedera dan telah menerima rawatan.

Saya terdiam, lantas berfikir tentang kejadian tadi. Malahan dalam perbualan antara saya dan rakan seperjuangan guru-guru lain melahirkan rasa sedih dan risau atas kejadian yang menimpa. Sedih apabila mengenangkan nasib yang menimpa keluarga berkenaan dan risau bagaimanakah keadaan kehidupan mereka anak-beranak yang sekelip mata sahaja berubah.

Mampukah mereka menerima suratan takdir ini?

Mampukah kanak-kanak itu meneruskan kehidupan tanpa kasih sayang seorang ayah yang mungkin baru sekejap tadi ada dan kini tiada buat selamanya?

Yang tersirat
Terbayang di minda sekiranya saya yang berada di tempat mangsa, pelbagai persoalan dan bebanan sebenarnya bakal dtinggalkan kepada waris iaitu isteri dan anak.

Hutang kereta yang masih berjalan.

Wang PTPTN yang perlu dijelaskan.

Hutang-hutang lain yang menuntut perhatian.

Anak dan isteri yang bakal kehilangan sumber kasih sayang dan pemimpin dalam kehidupan.

Bila difikir-fikirkan kembali, sebenarnya kita ini memang hidup untuk mati. Kita mungkin tidak tahu bagaimana dan di mana kita akan meninggalkan dunia ini buat selamanya, namun kita mampu dan boleh berbuat sesuatu sebelum MAUT datang, yang biasanya tidak dijemput.

Yelah, bayangkan sahaja sekiranya kita sakit dan doktor telah menduga berdasarkan ilmu perubatan yang ada bahawa kita mungkin tidak akan hidup lama. Mungkin pada ketika itu, kita sudah boleh merancang beberapa bulan sebelum tarikh yang di'jangka'kan itu tiba untuk kita memberikan yang terbaik dalam hidup ini.

Begitu juga kepada warga tua yang khidmat baktinya telah dicurahkan sewaktu mudanya, sedikit sebanyak bersedia untuk menghadapi 'hari istimewa' itu. Sebahagian besar daripada mereka mula mendekatkan diri kepada masjid dan surau untuk beribadah serta menghadiri majlis-majlis ilmu sebagai langkah persediaan.

Namun, kalau mati muda? Adakah kita benar-benar bersedia menghadapinya?

Isteri dan anak-anak kita, mampukah mereka menerimanya dengan hati terbuka dengan musibah ini?

Adakah kelak nanti mereka akan menyalahkan takdir dan agama atas apa yang berlaku lantas menghukum bahawa kehidupan ini tidak adil dan kejam?

Pedoman Islam dalam menghadapi musibah

Islam meletakkan pedoman yang jelas melalui lisan Nabi akhir zaman iaitu Muhammad S.A.W tentang bagaimana kita hendak berhadapan dengan musibah yang menimpa.

Saya sertakan beberapa hadis yang boleh kita ambil manfaat daripadanya.

Hadis 1

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w bersabda: "Siapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, nescaya Allah mengujinya."
(Riwayat al-Bukhari-dari buku 300 hadis bimbingan-ke arah mencari redha Allah karangan Ustaz Zahazan Mohamed dan Ahmad Hasan Mohd Nazam- hadis ke 101)

Hadis 2

Daripada Abu Said al-khudri r.a dan Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Tidak menimpa seorang Mukmin suatu penyakit yang berpanjangan, kepayahan, sebarang jenis kesakitan, dan kesedihan malahan kedukacitaan, melainkan dihapuskan sebahagian dosa-dosanya."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim-dari buku 300 hadis bimbingan-ke arah mencari redha Allah karangan Ustaz Zahazan Mohamed dan Ahmad Hasan Mohd Nazam-hadis ke 102)

Saya memberikan nasihat kepada diri dan juga kepada semua yang membaca tulisan ini untuk kita tidak menyalahkan takdir terhadap apa yang berlaku pada kita kini dan perkara-perkara yang telah belalu. Ingatilah hadis-hadis di atas sebagai pedoman.

Kehidupan perlu diteruskan dan untuk meneruskannya kita perlu sentiasa berfikiran positif dan bergerak ke hadapan. Mungkin itu intipati sebahagian ajaran Islam yang sempurna ini kepada kita melalui hadis-hadis di atas.


Semoga kita lakukan yang terbaik dalam hidup ini dan menghargai setiap saat yang ada bersama-sama dengan orang yang tersayang.

Teruskan membaca...

Saturday, February 20, 2010

Masalah 'Install' Karspersky 2010. Pengalaman & cara mengatasi.

Situasinya begini----Anda baru sahaja membeli Anti Virus Karspersky 2010 hasil saranan seorang rakan. Sebelum ini anda telah pun mempunyai anti virus percuma iaitu AVG. Namun, anda dapati anti virus percuma anda (walau jenama apa sekalipun) tidak dapat mengesan virus-virus terkini berbanding anti virus berbayar yang lebih cepat mengesan dan menyahkan segala bentuk virus yang menyerang.



Anda memasang seperti biasa dengan memasukkan cd ke dalam pemacu dan mengikut langkah-langkah yang ada. Namun, tiba pada satu paparan yang menyatakan anda perlu membuang terlebih dahulu anti virus avg.


Maka, anda pun membuang seperti biasa menggunakan 'windows uninstaller' dan mencuba semula. Sekali lagi paparan yang sama terpapar. Anda mula berasa keliru. 


'Bukankah tadi aku dah buang, kenapa ada lagi mesej ini,' anda kehairanan.



Sekali lagi anda menyemak ke dalam 'hard disk' c. Tiada pun fail AVG. Hampir sahaja anda kehilangan punca.

Begitulah masalah yang pernah saya hadapi. Saya cuba mencari penyelesaiannya dengan melayari internet dan mengaplikasikannya. Seperti biasa maklumat yang ada hanyalah dalam Bahasa Inggeris. Maka saya di sini cuba menterjemahkan penyelesaiannya kepada Bahasa Melayu mengikut pemahaman saya.

Masalah sebenarnya

Masalah yang berlaku di atas adalah disebabkan sistem 'windows' masih lagi menyimpan saki-baki pendaftaran (disebut sebagai 'registry') anti virus percuma terbabit di dalam sistem. Karspersky pula ditugaskan untuk mengesan sebarang antivirus atau perisian ad-aware yang lain dan memastikannya dibuang terlebih dahulu agar tidak wujud konflik dan mengelirukan sistem.

'Registry' juga mengandungi pengkalan data kepada sistem 'windows'. Senang cerita 'registry' ini merupakan otak kepada 'windows'. Sebarang perubahan yang berlaku, sama ada anda membuang program atau memasang program baru seperti perisian aplikasi ataupun 'game' akan disimpan di dalam 'registry'.

Jadi, penyelesaian masalah tadi menjurus kepada membuang sisa-sisa maklumat dalam 'registry'. Namun, kita perlu sangat BERHATI-HATI apabila hendak mengubah 'registry' kerana sekiranya anda terpadam fail yang penting kepada windows, maka alamatnya rosaklah 'windows' anda itu. Silap haribulan langsung tidak boleh 'windows'.

Langkah-langkah
Langkah yang saya kemukakan ini merupakan kaedah membuang 'registry' yang tidak dikehendaki secara manual. Namun, anda boleh sahaja mendapatkan perisian-perisian yang ada (secara berbayaran atau percuma) untuk membuang 'registry'.

Kelebihan membuang secara manual ialah anda sudah mengetahui bahagian mana yang ingin dibuang, walaupun anda hanya mengetahui nama sahaja dan kaedah ini lebih berfokus kepada masalh kita di atas.

Saya tunjukkan langkah-langkahnya secara bergambar:

1. Kenalpasti dahulu nama perisian yang ingin anda buang dalam 'registry'. Pastikan nama yang digunakan betul dan tepat ejaannya. Ini untuk mengelakkan anda tersalah memadam perisian yang tidak sepatutya.

2. Katakan dalam hal ini saya bagi contoh perisian 'ad-aware'.

3. Pergi kepada ikon 'start' dan klik pada 'run'.



4. Dalam bahagian 'open' taip perkataan 'regedit' dan tekan 'enter'. Kemudian anda akan dibawa kepada paparan untuk mengubah 'registry' pada sistem 'windows'.


5. Kemudian pergi kepada pilihan 'edit' dan pilih 'find'.



6. Dalam bahagian 'find what' masukkan perkataan 'ad-aware' dan tekan 'enter'. Pastikan ketiga-tiga kotak ditandakan tanda 'right'.Sistem akan mencari fail yang berkaitan.



7. Sistem akan memaparkan 'folder' yang mengandungi perisian tersebut. 'Right'click' pada 'folder' tersebut dan pilih 'delete'.
 
 


8. Setelah anda membuang bahagian tersebut, teruskan lagi mencari dan membuang fail yang berkaitan dengan menggunakan kaedah yang sama. Kebiasaannya akan terdapat lebih daripada satu.

9. Apabila sistem sudah tidak dapat mengesan fail tersebut, maka anda boleh memulakan proses untuk memasang antivirus karspersky yang tertunda tadi.

10. Dalam sesetengah kes, ada fail yang tidak dapat anda buang seperti mana yang pernah terjadi pada saya. Namun, sekiranya anda telah banyak membuang fail-fail yang mempunyai perisian lama tersebut, ianya tidak akan menjadi masalah dan anda boleh teruskan sahaja memasang antivirus karspersky.

Selamat mencuba!

Sebarang cadangan dan penambahbaikan amat dihargai. Selamat menggunakan komputer anda dalam persekitaran selamat dengan Antivirus baru yang anda beli.

Teruskan membaca...

Tuesday, February 16, 2010

Celik IT untuk semua

Pada tahun 2010 ini, saya mempunyai beberapa perancangan baru yang ingin dilaksanakan. Antaranya, menyebarluaskan pengetahuan berkaitan Teknologi Maklumat kepada semua pengguna Internet yang berbahasa Melayu. 


Ini kerana saya dapati ilmu-ilmu berkaitan dengan teknologi maklumat kebanyakannya dalam Bahasa Inggeris, dan saya tergerak hati untuk berkongsi pengalaman saya membaiki, mengatasi masalah-masalah umum berkaitan komputer dan apa sahaja berkaitan teknologi maklumat kepada semua dalam bahasa ibunda saya iaitu Bahasa Melayu. 


Alhamdulillah, sejak belajar secara khusus mengenai mengenalpasti masalah-masalah komputer dan menyelesaikannya (troubleshoot) pada tahun 2000 hingga sekarang, banyak perkara yang saya perolehi. Boleh dikatakan tidak kurang dari 100 buah komputer dengan pelbagai ragam dan masalah telah saya temui. 


Kesemua komputer yang saya baiki diperoleh dari keluarga dan rakan-rakan yang mempercayai kebolehan saya dan tidak jemu-jemu menyokong saya dengan menyebarluaskan kebolehan saya kepada rakan-rakan mereka yang lain. Tiada promosi secara khusus yang dilakukan, hanya buah mulut orang sahaja sehingga kini.


Fokus dan Matlamat
Fokus pertama saya dalam perkara ini ialah supaya rakyat kita Malaysia yang berbahasa Melayu celik mengenai isu-isu berkaitan penjagaan komputer sama ada dari segi penjagaan perkakasan (hardware) mahupun perisian (software). 


Kedua, sebagai mempelbagaikan lagi medium penyampaian ilmu berkenaan Teknologi Maklumat di dalam Bahasa Melayu sekaligus melonjakkan peranan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu. 


Ketiga, berkongsi masalah dan cara penyelesaian kepada semua melalui langkah-langkah praktikal secara bergambar bagi memudahkan pengguna yang menghadapi masalah yang sama menyelesaikan sendiri masalah tersebut. Masalah yang diperoleh adalah melalui pengalaman saya sendiri secara peribadi dan perkongsian dari rakan-rakan yang lain.

Dikatakan menutup 'periuk nasi orang lain'

Adakah tindakan saya ini bakal menutup periuk nasi orang lain terutamanya yang bekerja secara khusus dalam perkhidmatan membaiki dan membaikpulih komputer?

Cuba kita lihat kepada chef kita yang terkenal, iaitu Chef Wan. Siapa yang tidak kenal dengan kehandalan beliau memasak dan kepetahan beliau bercerita mengenai segala rahsia dan teknik masakan kepada penonton-penonton yang mengikuti rancangan masakannya. Sering kita dapat perhatikan beliau dengan jujur memberikan segala tips memasak setiap kali beliau ke udara dan menunjuk cara masakan kepada semua. Teknik dan resepi itu tidak menjadi rahsia!

Namun, adakah kita lihat semakin banyak restoran makanan gulung tikar kerana kebanyakan orang sudah mula memasak dari rumah akibat hasil didikan chef wan dan lain-lain chef yang terkemuka itu? Tidak benar bukan? Malahan setiap kali ada kawasan perumahan baru yang dibuka, ada sahaja restoran-restoran yang akan menyusul bak cendawan lepas hujan.

Ternyata berkongsi pengalaman dan pengetahuan kepada orang ramai tidak menjadikan kita rugi. Malah sebenarnya dari kesan jangka panjang, kita sama-sama untung kerana:

     1. Ilmu yang dikongsi dapat dimanfaatkan oleh semua orang. Ilmu yang baik akan membentuk masyarakat yang berilmu dan bertamadun sekaligus memajukan negara dalam pelbagai bidang. Bukankah ini suatu kebaikan yang besar kepada agama, bangsa dan negara.

     2. Allah Taala tidak menjadikan manusia untuk meminati perkara yang sama. Logiknya, semua orang menyukai makanan yang sedap, tetapi tidak semua dari mereka minat memasak. Begitu juga dalam hal IT ini, semua orang meminati komputer yang laju dan tidak mempunyai banyak masalah, namun tidak semua dari mereka itu minat membaiki komputer sekiranya ada masalah. Jadi kepelbagaian minat yang wujud dan perkongsian ilmu memudahkan kita berurusan dalam kerja seharian kita. Ternyata, hidup ini saling melengkapi antara satu sama lain.


Tidak sempurna

Sesungguhnya saya hanyalah manusia biasa yang meminati bidang berkaitan Teknologi Maklumat. Saya akui pengalaman yang saya ada ini tidaklah seluas mana dan hanya berfokus kepada pembaikian masalah perkakasan (hardware) secara khusus dan sedikit pengetahuan mengenai perisian (software).

Masih ramai lagi di luar sana yang lebih mahir dari saya, cuma langkah yang saya ambil ini hanyalah alternatif kepada pelbagai alternatif yang ada berkenaan Teknologi Maklumat.

Blog ini merupakan medium untuk berkongsi pengetahuan. Bukannya satu indikasi menyatakan 'aku bagus', tetapi lebih kepada perkongsian ilmu dan penyelesaian yang saya dapati hasil dari pengalaman sendiri.

Justeru, saya sangat mengalu-alukan sebarang komen untuk penambahbaikan mengenai artikel-artikel saya dalam bidang ini. Natijahnya, kita boleh berkongsi pelbagai cara penyelesaian diatas jawapan yang sama. Tidak semestinya hanya cara saya sahaja yang berkesan, mungkin ada lagi cara yang lebih baik.

Harapan saya

Saya mempunyai harapan yang besar kepada diri dan orang-orang yang mempunyai kepakaran tertentu di luar sana.

Harapan saya ialah supaya saya dapat memanfaatkan ilmu yang saya perolehi dengan lebih meluas kepada semua. Rugi rasanya pengatahuan yang ada pada diri ini tidak dikongsi bersama. Semoga orang yang mempunyai minat yang sama seperti saya dapat memanfaatkan ilmu yang ada sebaiknya.

Kepada yang mempunyai kepakaran tertentu di luar sana, anda sangat-sangat digalakkan untuk berkongsi ilmu yang ada kepada semua. Perkongsian yang baik dan bermakna membolehkan kita sama-sama berperanan mendidik masyarakat secara tidak langsung menggunakan medium blog ini.

Saya mengalu-alukan anda menghebahkan blog anda dalam ruangan komen ataupun 'chatbox' saya. Kita sama-sama boleh mengambil manfaat ilmu yang ada.

Selamat membaca dan menikmati ilmu yang ada.


Artikel seterusnya : Masalah 'Install' Karspersky 2010. Pengalaman & cara mengatasi.

Teruskan membaca...

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP