Showing posts with label Keluarga. Show all posts
Showing posts with label Keluarga. Show all posts

Tuesday, December 8, 2009

Mengapa dinamakan Muhammad?

Muhammad menginjak usia setahun setengah,Alhamdulillah



"Muhammad ape?", tanya seorang sahabat kepada saya mengenai nama anak saya dan Husna.
"Muhammad bin Mohammad Yassir," balas saya dengan senyuman. Mengerti trend zaman sekarang meletakkan nama anak hingga 2 ke 3 patah perkataan sebelum di 'bin' kan pada bapa.



Mengapa memilih nama ini?
Sejujurnya, pening juga mula-mula untuk memberikan nama anak. Baru kita merasa 'kepayahan' mak ayah kita dahulu memilih nama untuk kita. Alhamdulillah, saya dan Husna sedikit sebanyak mengerti maksud nama dalam bahasa Arab, jadi pilihan yang ada agak banyak dan pelbagai.

Namun, akhirnya kami sepakat dengan satu nama yang memikat. Dekat di hati, dan dekat juga pada umat Islam. Nama Rasul akhir zaman menjadi pilihan. Agar si anak mengikut jejak langkah perjuangan dan menghayati Islam dalam kehidupan.


Maksud nama 'Muhamamad'



Bagi yang beragama Islam dan memahami Bahasa Arab, maksud kata Muhammad sudah tidak asing lagi. Muhammad bermaksud yang terpuji. Terpuji bermaksud ketinggian seseorang itu dalam hal-hal kebaikan. Kata puji yang bermaksud dorongan yang baik kepada seseorang menunjukkan bahawa kita hanya memuji akan perkara-perkara yang baik. Jadi jelaslah makna terpuji merangkumi kebaikan yang diiktiraf oleh ramai orang.

Setiap ucapan kita dan juga kata-kata kita merupakan doa. Ucapan yang baik kepada seseorang akan menghasilkan tenaga positif dan membentuk diri ke arah yang lebih baik. Perkara ini telah dibuktikan melalui hasil kajian saintis jepun Masaru Emoto dalam kajiannya mengenai mesej dari air. Muzik yang kita dengar, penghargaan yang kita luahkan, malah kejian dan nistaan mempunyai kesan kepada air serta diri kita. Mengapa diri kita? Bukankah kita belajar bahawa dalam badan kita hampir 75% terdiri daripada air?

Lagu Heavy Metal




Ucapan 'You make me sick'



Ucapan Kasih Sayang



Ucapan Terima Kasih





Begitu juga nama dan gelaran yang diberikan kepada kita. Harapan saya dan isteri agar anak sulung kami ini menjadi insan yang terpuji akhlaknya, terpuji kedudukannya dan terpuji kebijaksanaannya. Setidak-tidaknya, dirinya akan merasa malu sekiranya dia membuat sesuatu kesalahan dan dosa kerana dirinya sendiri mengambil nama dari insan yang mulia di sisi Allah dan diiktiraf oleh seluruh manusia.

Buktinya, lihat sahaja dalam buku "The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History" karangan Michael H. Hart, insan yang bernama Muhammad menduduki 'ranking' yang pertama dari segi pengaruhnya hingga sekarang.

Tidak Janggal

Hilang kejanggalan kami menamakan anak dengan muhammad sahaja kerana ramai sepupu sebelah husna dinamakan muhammad untuk anak sulung. Ada geng la bila balik kampung nanti, geng satu nama :D

3 Muhammad dalam satu gambar. Duduk dari kiri, Muhammad b. Mohd Suhaimi b. Ali, Muhammad b. Mohd Asri B. Yusof.



Terasa meriahnya apabila kesemua '5 Muhammad' berkumpul. Namun setakat ni gambar di atas je yang ada. Lagi 2 Muhammad takde sbb 'tak kena timing',huhu.

Harapan 'Ummi' & 'Walid'

Muhammad namamu,
Ringkas namun dekat di kalbu,
Nama Insan mulia dikalungkan pada dirimu,
Agar dirimu mencontohi Insan Mulia itu,

cikgumyh
53300 Wangsa Maju

Teruskan membaca...

Tuesday, November 11, 2008

Mendodoikan Muhammad

Penat dan kadangkala tension. Itu yang saya rasai untuk mendodoikan anak saya tidur sejak akhir-akhir ini apabila umminya pergi bekerja.

Susah juga sebenarnya untuk mendodoikan anak. Sejak kebelakangan ini Muhammad asyik meragam sebelum tidur.

Didukung menangis, bawa berjalan-jalan sambil dukung mengeliat, diletak dalam buai menangis. Entah apa yang menyebabkan dia berasa tidak selesa. Namun, lama-kelamaan setelah penat saya dukung dan bawa berjalan barulah dia senyap, penat agaknya.

Pada pagi ini pun saya mengahadapi situasi yang sama. Mungkin Muhammad tidak selesa, saya mandikan dia dan setelah itu cuba memberi susu ibu yang umminya telah siapkan dalam botol.

Dia menolak susu tersebut dengan lidah dan menangis lagi. Fuh, dah mula rasa tension nih.

Kemudian, saya dukung Muhammad sambil berjalan-jalan keliling ruang tamu. Saya cuba pastikan keadaan badannya selesa sewaktu saya dukung supaya dia tidak mengeliat.

Muhammad sudah senyap tetapi matanya melilau memandang sekeliling.

Saya teringat salah satu cara mendodoikan anak ialah dengan menyanyikan lagu supaya dia berasa tenang. Namun suara saya tidak sedap, takut hujan turun. Jadi saya lupakan sahaja soal menyanyi untuk mendodoikan Muhammad.

Terlintas di fikiran untuk membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk mendodoikan Muhammad. Memandangkan saya ada menghafal beberapa surah, boleh juga saya gunakan cara ini sebagai serampang dua mata untuk mengingat kembali dan mendodoikan Muhammad.

Saya mulakan dengan membaca surah Al-Fatihah dan diikuti dengan surah Al-Mulk dan As-Sajadah. Namun tersangkut pada 10 ayat terakhir surah As-Sajadah disebabkan tidak berapa ingat namun Alhamdulillah Muhammad telah pun tertidur dalam dukungan saya.

Saya masukkannya dalam buai dan bergegas untuk mandi dan mengurus diri kerana Muhammad biasanya tidur sekejap pada waktu pagi berbanding tengahari.

Memang betul jangkaan saya yang Muhammad pada ketika ini telahpun terjaga. Sempat juga saya mengurus diri tadi.

Baiklah saya nak sambung jaga dan main dengan Muhammad. Susah kalau dia tiba-tiba mengamuk untuk dapatkan perhatian.

Sekadar catatan ringkas dikesempatan waktu yang ada.

Teruskan membaca...

Monday, November 3, 2008

Saya sebagai Mr.Mama

Tulisan ini ditulis sebaik sahaja saya selesai menidurkan Muhammad. Mencuri masa dan peluang untuk kemaskini blog yang sekian lama agak terbiar,huhu.



Alhamdulillah, Muhammad telah tidur setelah meragam melawan perasaan ngantuknya. Sejak catatan yang terakhir iaitu mengenai Muhammad yang berusaha melawan ngantuk sampai berkerut dahi

'Catatan Hari Raya 1' saya tidak berkesempatan untuk kemaskini blog yang ada. Rasa macam ada sesuatu yang kurang apabila pengalaman bermanfaat yang saya alami tidak dikongsi.

Berikut merupakan beberapa perkara yang saya lakukan sepanjang lebih kurang 4 minggu setelah saya selesai menjalani latihan praktikum di USM pada 10 Oktober 2008 yang lalu:

  1. Berpindah dari rumah keluarga di Cheras ke rumah sewa di wangsa maju. Rumah ni amat dekat dengan rumah keluarga mentua saya, satu blok. Memandangkan baba sudah pencen, dia sangat berminat untuk menjaga cucu sulungnya. Alhamdulillah, jadi kami tak perlu pening-pening berfikir dan mencari nurseri untuk menjaga Muhammad setelah saya dan Husna sama-sama bekerja.
  2. Mengemaskini web Sekolah Menengah Teknik Batu Lanchang. Ini merupakan web sekolah di tempat saya berpraktikum. Web tersebut boleh dilawati melalui www.smtbl.edu.my.
  3. Menjadi MR. MAMA sepenuh masa.
CABARAN SEBAGAI MR.MAMA

Stamina.

Kesabaran yang tinggi.

Ilmu mengurus anak.

Kekuatan mental dan fizikal.

Perkara-perkara di atas merupakan sebahagian cabaran yang saya dapati sebagai MR MAMA sepenuh masa. Sememangnya di awal 'kerjaya' terbaru ini saya menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri. Kadang-kadang rungsing juga dibuatnya apabila Muhammad menangis tidak tahu punca, dibagi susu tidak mahu, didukung mengeliat, diletak menangis dan pelbagai lagi ragam anak kecil yang sewaktu dengannya.

Sebab itu saya meletakkan antara cabaran yang perlu diatasi untuk menjadi MR MAMA yang berjaya ialah mengetahui ilmu mengurus anak. Bayi hanya menangis untuk menunjukkan rasa tidak selesa ataupun ada kehendaknya yang tidak dipenuhi. Mengetahui punca mengapa Muhammad menangis dan perkara-perkara lain berkenaan dengan perkembangan anak-anak mendorong saya untuk melakukan sedikit bacaan dan perkongsian bersama isteri.

Laman web www.babycenter.com menjadi rujukan saya dan isteri sedikit sebanyak untuk mengetahui perkembangan anak kami.

Kesimpulan

Masih banyak yang perlu dipelajari dan saya masih lagi amatur dalam bidang ini. Tujuan saya secara rela hati memilih untuk menjadi MR MAMA kerana saya ingin merasai sendiri pengalaman menjaga anak kecil. Walaupun pada ketika ini pendapatan keluarga agak sesak disebabkan saya tidak lagi menerima elaun sebaik sahaja tamat belajar di USM, namun keutamaan saya lebih kepada keluarga.

Bak kata Husna, dia lebih rela saya duduk di rumah dan jaga Muhammad untuk qadha 'kehilangan' saya sewaktu belajar di USM. Kelakar juga bunyinya, tapi saya faham maksud yang ingin disampaikan. Tujuannya tidak lain hanyalah untuk mewujudkan hubungan kasih sayang yang lebih erat dengan anak-anak.

Kini saya merasai tugas seorang ibu yang menjaga anak-anak yang mencabar dan penuh dengan susah payah.

Susah payah melayan karenah anak.

Susah payah menguruskan rumah.

Lebih-lebih lagi bagi ibu-ibu yang berkerjaya. Cabaran kepenatan dan kepayahan mendidik anak sudah tentu berganda.

Kerana itu saya sedaya upaya ingin membantu mengurangkan beban isteri sedaya termampu.

Kepada sahabat-sahabat saya yang bakal dan sudah mendirikan rumah tangga, saya galakkan anda semua menjadi MR MAMA sedaya termampu. Kalau tidak dapat sepenuh masa akibat kekangan kerjaya, lakukanlah sesuatu untuk meringankan beban isteri. Lebih-lebih lagi isteri yang bekerjaya.

Percayalah bantuan dari kalian yang lelaki dan secara fitrahnya mempunyai tenaga fizikal kuat dapat meringankan urusan kerja rumah tangga, Insya Allah.

Sudah pasti 'teman setia' kalian akan berasa sangat bersyukur dan menghargai sumbangan tenaga yang diberikan.






Teruskan membaca...

Friday, October 10, 2008

Catatan Hari Raya 1: Damai Desa

Muhammad-Yassir-Husna di hadapan rumah mok

Salam Aidilfitri kepada semua. Setelah lebih seminggu kita menyambut syawal dan meninggalkan Ramadhan. Walaupun cuti berhari raya agak singkat namun ada yang tidak melepaskan peluang pulang ke kampung halaman masing-masing.

Begitu juga keluarga saya. Ini adalah kali pertama saya dan isteri berhari raya bersama anak sulung kami-Muhammad yang kini sudah mencecah umur 4 bulan 2 minggu,Alhamdulillah. Kami mengambil keputusan untuk pulang berhari raya di Bukit Abal, Pasir Putih Kelantan iaitu rumah nenek husna. Beliau yang lebih dikenali sebagai mok merupakan bekas guru mengajar Al-Quran di kampung tersebut dan masih lagi sihat walaupun berjalan agak bongkok sedikit kerana usia yang amat lanjut.

Tapi apa yang mengkagumkan ialah daya ingatannya sangat kuat dan tidak menghidapi penyakit nyanyuk. Mungkin berkat mengajar Al-Quran kepada anak-anak disekitar kampung tersebut, Allah Taala memberikan daya ingatan yang kuat untuk mok mengingat nama setiap anak muridnya. Disamping itu juga saya memerhatikan beliau banyak mengamalkan petua bacaan ayat-ayat Al-Quran tertentu untuk berubat. Sesampainya saya di rumah mok, beliau terus berjalan ke muka pintu dan menyapa kami sekeluarga, "Oh, Yassir dah sampai dah!". Terkejut juga saya kerana beliau masih mampu mengingat nama saya walaupun kali terakhir saya bertemu dengannya adalah pada tahun lepas.

Tiada TV

Ya, di rumah mok tiada TV, berbanding dengan rumah jiran-jirannya yang lain yang siap ada piring Astro lagi. Mok sangat melarang anak-anak dan cucu-cucunya membawa TV ke rumah .Katanya walaupun di TV ada perkara baik, namun perkara yang tidak baik juga banyak. Minyak dan air tidak boleh bercampur dalam satu gelas-minyak rosak tidak boleh dipakai,ar rosak tidak boleh diminum. Begitulah hujahnya. Pernah dia memarahi cucunya kerana curi-curi bawa masuk TV kecil hitam putih. Terus diambil dan dibuang TV tersebut.

Hadapan Rumah Mok (Cube perhati,mana ada ariel TV,huhu)

Agak janggal pada mulanya hidup tanpa TV. Sunyinya semacam. Kalau tiada yang berbual, memang sunyi. Tapi bila dah lama-lama rasa seronok pulak. Dapat menikmati damai desa yang sebenar. Lagipun rumah mok ni memang banyak buku-buku yang best. Disebabkan tiada TV, famili sepupu Husna yang tinggal bersama mok banyak membeli buku untuk bacaan di rumah. Lebih-lebih ayah ngoh (pak saudara Husna) yang suka membaca buku dan ada pelbagai jenis koleksi buku. Tenang je rasa baca buku tiada TV. Kalau tidak biasanya di rumah memang bising dengan bunyi TV.

Ayah ngoh menghadiahkan saya 3 buah buku yang kesemuanya dalam Bahasa Inggeris. Buku tersebut merupakan buku-buku agama yang telah ayah ngoh beli sewaktu beliau berada di luar negara dahulu. Saya sangat menghargai pemberian hadiah dalam bentuk buku, kerana saya suka membaca. Membaca meluaskan pemikiran dan menjadikan kita lebih kaya ilmu pengetahuan. Lebih-lebih lagi saya berkhidmat dalam bidang perguruan, perlu mempunyai ilmu yang lebih dari anak-anak murid dan supaya apa yang diajar menjadi lebih relevan dengan pengetahuan semasa.

Kelebihan Tiada TV

Sewaktu saya di UIAM, Ustaz Mustafa Omar pernah menyatakan di dalam kelas bahawa di rumah beliau tiada TV. Beliau hanya mendapatkan maklumat terkini dari internet sahaja. Katanya TV lebih banyak membuang masa dan menyekat aktiviti-aktiviti bersama keluarga. Hanya menunggu siaran TV berjam-jam tanpa melakukan sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat.

Pada mulanya saya tidak berapa percaya. "Bolehkah kita hidup tanpa TV? Boring tu!". Tapi apabila saya mengalami sendiri pengalaman tiada TV di rumah mok, terus saya akui kebenarannya. Di sini saya sertakan beberapa faedah yang saya dapati dan alami secara peribadi sewaktu di rumah mok:

  1. Baru kita sedar masa yang ada sebenarnya sangat banyak. Banyak perkara berfaedah boleh dilakukan. Membaca, membersihkan rumah, beramah mesra sanak saudara, memasak dan banyak lagi.
  2. Kita akan lebih rapat dengan saudara mara, sebab bila balik kampung je semua duduk berbual bertanya khabar. Kalau senyap, memang senyap la rumah. Jadi nak tak nak memang berbual la jawabnya. Kalau ada TV, alamat melekat la semua nak tengok rancangan menarik. Lebih-lebih lagi banyak rancangan menarik keluar pada musim hari raya. Dah hilang semangat Hari Raya untuk mengeratkan silaturrahim sesama keluarga.
  3. Boleh luangkan masa bersama keluarga dengan lebih bermanfaat. Ini dapat saya rasai bila dapat bermain-main dengan Muhammad yang sangat aktif. Terus hilang rasa nak tengok TV. Anak-anak pun rasa dihargai dan kita pun dapat mengenali peribadi anak dengan lebih berkesan.
  4. Kita akan lebih merancang hidup dengan berkesan. Kalau ada TV, susahla lebih-lebih lagi terpaksa tangguh buat sesuatu semata-mata untuk tengok rancangan kegemaran di TV.
  5. Kalau balik kampung, anak-anak kecil akan mengisi masa lapang mereka dengan bermain sesama mereka dan keluar dari rumah. Baru mereka dapat berinteraksi dengan alam sekeliling mereka. Tidakla hanya duduk je kat rumah. Saya lihat mereka ni akan lebih cepat matang dalam pergaulan dan kehidupan.

Persoalannya:Mampukah?

Itu persoalan yang saya tanyakan pada diri. Mampukah saya hidup tanpa TV? Sebab dah terbiasa ada TV dirumah sejak kecil. Namun, Alhamdulillah, dalam keluarga saya, mak dan ayah memang jarang melekat depan TV kecuali melihat berita atau dokumentari. Astro pun ayah saya tidak mahu ambil, katanya dah banyak sangat 'Channel' kat rumah. Betul juga cakap ayah. Kalau nak difikir-fikir balik kita ni hanya boleh tengok 1 channel je dalam satu-satu masa. Kalau TV yang ada fungsi PIP(picture in picture) pun hanya boleh tengok dua sahaja. Itupun 'channel' kedua hanya gambar tanpa suara,huhu.

Saya pula boleh dikatakan pernah terbiasa hidup tanpa TV kerana sewaktu tingkatan 1 hingga 5 saya bersekolah di asrama. Jadi TV tu memang dah jarang sangat tengok. Mungkin saya dan Husna tiada masalah sekiranya tiada TV tapi terfikir pula bagaimana dengan anak-anak kami nanti? Sudah pasti di zaman ini dan akan datang sangat sukar untuk kita melihat rumah orang tanpa TV. Saya dan Husna tidak mahu menimbulkan konflik dalam diri anak-anak kami bahawa kami cuba menyekat mereka dari tengok TV sedangkan rakan-rakan sebaya mereka tiada masalah untuk tengok TV. Bimbang sekiranya mereka memberontak dalam diam dan terus jauh keluarga untuk mencari hiburan lain. Memang kita Nampak itu untuk kebaikan mereka, tetapi kita mesti mendidik mereka sesuai dengan cara dan kehidupan mereka pada zaman akan datang. Sepertimana kata-kata Khalifah Islam yang kedua, Saidina Umar al-khattab, "Didiklah anak-anakmu mengikut zaman di mana mereka hidup,".

Pandangan saya: Hidup dengan TV atau tanpa TV

Bagi saya secara peribadi, TV hanyalah alat. Setiap sesuatu alat yang wujud di dunia ini ada kebaikan dan keburukan. Sepertimana pisau di dapur, alat bermanfaat yang digunakan untuk memasak, namun bisa saja boleh digunakan untuk mencederakan orang lain. Perkara yang paling utama dan paling penting ialah siapa yang menggunakan alat tersebut. Sekiranya yang menggunakan alat tersebut berniat kepada kebaikan nescaya banyak manfaat yang boleh diperolehi dan begitulah sebaliknya.

Mungkin bagi mok dan ustaz Mustafa omar kehidupan tanpa TV adalah pandangan peribadi mereka untuk menghindarkan perkara-perkara yang tidak elok yang mudah disajikan kepada semua tanpa mengira peringkat umur. Perkara itu memang tidak dapat saya nafikan, tetapi Alhamdulillah sekarang di Malaysia sudah wujud 'channel-channel' yang berasaskan maklumat bermanfaat daripada melalaikan. 'Channel' seperti TV9 dan Astro Oasis umpamanya sarat dengan bahan-bahan yang bermanfaat untuk diambil iktibar. Cuma tangan tue nak ke tak nak tekan 'remote'.

Kesimpulannya,kita sendiri memilih 'channel' apa yang kita nak. Kalau bermanfaat tengok dan belajar. Sekiranya tidak tutup dan jimatkan elektrik. Lebih bagus kalau kita melihat Intisari rancangan di surat khabar dan pilih rancangan mana yang sesuai. Kemudian rancang masa dengan tidak melihat perkara yang tidak berfaedah. Mungkin itu pendekatan yang kami akan gunakan untuk mendidik anak-anak kami terhadap penggunaan TV di rumah,Insya Allah.

Wah,panjang pula menulis, Terima kasih kerana sudi membaca sehingga akhirnya. Semoga secebis pengalaman yang dikongsi bisa membawa sedikit sebanyak manfaat kepada kita semua…dan kerana itu jualah saya menulis.

Teruskan membaca...

Friday, September 19, 2008

Menemui Keluarga Tercinta

Seronok sungguh di hati ini. Setelah rutin seminggu berpraktikal di sekolah sejak bulan Julai lalu hingga kini, saya pasti akan pulang menemui isteri dan anak di rumah.

Seronok kerana dapat bersua selepas seminggu tidak berjumpa.

Seronok dapat bermain dan melihat perkembangan anak saya, Muhammad yang setiap minggu ada sahaja telatahnya yang menghiburkan. Sahabat saya, Abg.Yus, pernah mengantar SMS kepada saya sejurus saya memaklumkan kelahiran anak saya kepada beliau yang berbunyi begini:

    "…percayalah segala keletihan dan penat bekerja akan penat dan hilang apabila pulang mendakap anak dan isteri tercinta…"

Benar, kini saya merasakan perasaan itu. Perasaan bahagia yang dikurniakan Allah Taala kepada hambaNya yang mendirikan rumah tangga dengan ikhlas demi mengharapkan RedhaNya.

Saya berkahwin dengan usia yang agak muda iaitu pada umur 24 tahun.berbanding kalau nak diikutkan dengan zaman sekarang yang kebanyakkannya berkahwin selepas stabil bekerja

Dah sampai seru, saya tidak mahu tunggu lama-lama. Alhamdulillah, segalanya dimudahkan oleh Allah Taala sehingga kini.

Walaupun, pada mulanya memang susah sikit, tapi Alhamdulillah saya dan isteri tidak pernah merasai pengalaman menganggur sebaik sahaja tamat pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Niat kami untuk berkahwin awal selepas tamat belajar dimudahkan oleh Allah Taala dengan memberi kami rezeki walaupun kerja permulaan kami agak susah dan mencabar.

Saya pernah bekerja dengan sebuah konsultan motivasi dengan gaji tidak sampai RM1300, dan kemudiannya 'upgrade' skit bila bekerja di JUSCO dengan gaji RM1600 tetapi waktu kerja yang mengutamakan bekerja di hujung minggu menyebabkan saya tidak lama di sana.

Sewaktu bekerja di JUSCO, saya berpeluang menghadiri temuduga DPLI dan KPLI dan Allah Taala telah memilih saya untuk untuk menghadiri kursus DPLI di USM. Mengapa USM? Kerana subjek mengajar yang saya pilih iaitu IT hanya ada di USM. UPSI pula hanya untuk subjek-subjek pengajaran IT yang khusus iaitu multimedia, 'Graphic Designer' sedangkan ijazah saya hanya IT secara umum sahaja.

Saya pun bakal menghabiskan pengajian saya di USM tidak lama lagi, iaitu seminggu selepas raya pada 10 Oktober 2008. Alhamdulillah sehingga kini kesemuanya berjalan lancar, tiada 'paper' yang sangkut.

Sememangnya saya memang meminati bidang perguruan ini dan mula mencari-mencari peluang untuk menjadi guru setelah tamat belajar. Mengapa saya berminat sangat walaupun kerjaya ini memang sangat penat dan mencabar. Berurusan dengan manusia sememangnya tidak sama apabila kita berkerja dengan mesin ataupun yang duduk di pejabat. Hakikat ini memang saya rasai sendiri perbezaannya kerana pengalaman kerja yang pelbagai sebelum ini. Insya Allah, saya akan menulis catatan mengenai bagaimana timbulnya minat saya dalam bidang ini.

Bas akan bertolak pukul 3.30 petang ini. Saya perlu cepat untuk bersiap.

Alhamdulillah, seronoknya pulang apabia kita mengetahui ada yang tersayang menanti.

Teruskan membaca...

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP