Showing posts with label Masyarakat. Show all posts
Showing posts with label Masyarakat. Show all posts

Friday, June 3, 2011

Dari guru kepada guru: Waiting for superman

Pernah mendengar nama filem di atas?

Sudah tentu ramai di antara kita yang tidak pernah mendengarnya. Tidak pernah dipromosikan di Malaysia dan tidak juga di dalam Astro First mahupun di pawagam.

Saya sebenarnya secara tidak sengaja terjumpa 'trailer' filem berkenaan di internet. Ternyata dari menonton 'trailer' berkenaan saya tertarik untuk terus menonton keseluruhan filem tersebut untuk mengetahui lebih lanjut mengenai isu pendidikan yang ada. Sebagai guru, peluang ini saya manfaatkan sepenuhnya agar dapat membuka minda dan memberikan sedikit sebanyak input tentang masalah-masalah pendidikan yang berlaku di seluruh dunia.



Sinopsis Filem

Berbaloi untuk ditonton sekiranya anda betul-betul berminat dengan isu pendidikan. Filem ini lebih memaparkan realiti kehidupan ibu bapa yang mahukan pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka. Klimaks filem ini adalah dalam babak terakhir di mana sekumpulan ibu bapa berkumpul di sekolah-sekolah terpilih bersama anak-anak mereka dan sepertimana loteri, mengharapkan anak mereka terpilih menyertai sekolah tersebut yang dikhabarkan menawarkan pendidikan yang terbaik namun dibatasi dengan tawaran yang sedikit.

Masa depan anak-anak tersebut seolah-olah diperjudikan dengan nombor yang dipilih secara rawak. Natijahnya sekiranya terpilih-sangat beruntung kerana mendapat guru dan suasana terbaik, tidak terpilih-seolah-olah 'gelap' masa depan. Riak wajah menjerit kegembiraan dan menangis kehampaan semuanya terpapar sewaktu sesi 'pemilihan nombor'.

Tidak pula saya dapati dalam filem berkenaan, adakah pelajar-pelajar yang hadir itu semuanya layak berdasarkan tahap keputusan yang cemerlang atau semuanya berdasarkan konsep sama rata dalam pendidikan. Namun, tidak mengejutkan sekiranya keputusan cemerlang bukan ukuran kerana sistem di Amerika jauh berbeza di Malaysia. Sistem pendidikan kita dipantau dengan rapi oleh kerajaan dengan penyediaan penuh set kurikulum dan kokurikulum, manakala di Amerika, sekolah mempunyai autonomi menentukan bentuk kurikulm dan kokurikulum mengikut kesesuaian. Lain sekolah, lain bentuknya, dan ini secara tidak langsung mewujudkan satu bentuk dilema kepada sistem pendidikan di sana(ada disentuh dalam filem berkenaan).

Isu menarik dalam filem berkenaan dan pandangan saya

Saya menyukai filem ini kerana ia mengajak penontonnya berfikir dan dihujungnya pelbagai kesimpulan dapat dibuat. Sudah tentu, ada yang tidak relevan dengan sistem pendidikan di Malaysia, namun ada beberapa isu yang menarik perhatian saya dan mempunyai persamaan. Antaranya ialah:
  1. Guru berprestasi rendah
    • Dalam filem berkenaan ada ditunjukkan contoh-contoh sinis dari filem-filem barat dan juga rakaman sebenar berkenaan watak guru yang tidak minat mengajar. Persoalan yang ditimbulkan ialah siapakah mangsanya? Sudah tentu PELAJAR. Ada kajian yang dipaparkan dalam filem berkenaan menunjukkan guru yang mempunyai pretasi yang baik mampu mengajar merentasi kurikulum (yang bermaksud penerapan eleman kreatif, berfokus dan impak kepada pelajar) 150 peratus lebih baik berbanding guru yang kurang minat mengajar atau berprestasi rendah yang hanya menyumbang sekitar 50 peratus dari sasaran kurikulum. Ini bermakna, pelajar yang berhadapan dengan guru yang tidak mengajar atau berprestasi rendah bakal mendapat sekitar 50 peratus pemahaman dalam sesuatu subjek.


  2. Gaji guru tidak setimpal
    • Walaupun tidak disentuh secara khusus, namun ada beberapa pandangan dalam filem berkenaan yang menyatakan bahawa guru boleh diberi gaji sehingga 6 angka sebulan dengan syarat-tiada jaminan kekal dalam pekerjaan dan berdasarkan prestasi. Alasan mereka kerana antara punca guru tidak bersungguh-sungguh mengajar ialah kerana ada suasana rasa selamat untuk tidak dipecat walau berapa teruk pun mereka mengajar dan kurang insentif kewangan sekiranya bagus mengajar. Alhamdulillah, di Malaysia, KPM cuba mengatasi masalah ni dengan mewujudkan 4 tahap guru mengikut prestasi dan pencapaian. Guru biasa, guru kanan, guru wibawa dan pendeta guru merupakan penanda aras tahap kecemerlangan guru. Sudah tentu kelemahan wujud di peringkat awal pelaksanaan tahap-tahap ini, namun usaha KPM yang nampak hala tuju karier perguruan ini perlu lebih menarik dan profesional harus dipuji sebagai langkah awal. Takde la nanti kalau orang tanya kerja apa, kita pun menjawab 'cikgu je'. Profesion guru seharusnya dijawab dengan penuh bangga sama seperti profesion-profesion lain yang seolah-olah nampak lebih gah disebut. Taraf pemberian gaji yang lebih menarik antara penyelesaiannya namun perlu berdasarkan pencapaian dan prestasi.
Saranan kepada dari guru kepada guru
Kenapa saya sarankan guru wajib menonton filem ini:
  1. Isu pendidikan adalah isu global. Mengetahui isu pendidikan yang berlaku di negara maju seperti Amerika Syarikat membolehkan kita sebagai negara membangun bersedia menghadapi kemungkinan yang ada dan bertindak dari sekarang. Negara yang maju memerlukan rakyat yang maju dan berpendidikan menguruskannya. Semuanya bermula dengan tindakan kita sebagai guru untuk menghasilkan modal insan berwawasan.


  2. Pendidikan merentasi warna kulit, bangsa dan agama. Semua pihak berhak mendapat pendidikan yang sempurna dan terbaik sama ada dari segi infrastruktur, kemudahan yang terdapat di sekolah, guru-guru terbaik dan sebagainya. Ternyata ini adalah kerja berpasukan dan tidak mampu dilakukan oleh pihak pentadbiran sahaja. Perkara ini ada ditonjolkan di dalam filem berkenaan.

Semoga mendapat manfaat dari perkongsian di atas. Wahai guru, kitalah 'superman' sebenarnya. Anak-anak didik kita mengharapkan 'power' dari diri kita, maka 'selamatkanlah' mereka.

Teruskan membaca...

Wednesday, March 31, 2010

Bersediakah kita?

Tergerak hati saya untuk menulis setelah membaca berita mengenai kemalangan yang berlaku di salah sebuah stesyen minyak di Kuala Lumpur. Kemalangan yang dilaporkan berlaku secara tidak disangka-sangka dan tiada siapa yang dapat menduga itu membuatkan saya berfikir dengan mendalam mengenai hakikat sebenar kehidupan ini.

Pada mulanya, saya tidak ambil pusing sangat mengenai kisah kemalangan tersebut kerana saban hari di bandaraya metropolitan ini pelbagai jenis dan bentuk kemalangan berlaku. Dengar sahaja laporan trafik dari stesyen radio KLFM setiap hari ada sahaja laporan kemalangan dari yang kecil sehinggalah yang membawa maut.



Namun, yang membuatkan saya benar-benar tersentuh ialah apabila menonton sendiri rakaman cctv berkenaan kemalangan tersebut. Situasi malam kejadian adalah normal seperti biasa. Mangsa baru sahaja selesai mengisi minyak dan baru masuk ke kereta apabila tiba-tiba sahaja sebuah kereta melulu masuk dengan amat laju merempuh kereta mangsa dan menyebabkan kereta tersebut terseret beberapa meter dalam kawasan stesyen minyak berkenaan.

Beberapa saat kemudian, kelihatan isteri mangsa keluar dari pintu hadapan penumpang meluru keluar ke bahagian pemandu untuk melihat keadaan suaminya. Saya terkedu seketika apabila tidak lama selepas itu kelihatan seorang kanak-kanak pula keluar dalam keadaan merangkak dari pintu yang telah dibuka tadi. Terpingga-pinga kanak-kanak tersebut tanpa arah dan orang ramai segera menerpa untuk mengelakkan berlaku apa-apa terhadap kanak-kanak malang itu tadi.

Lelaki berkenaan kemudiannya meninggal dunia setelah beberapa jam dirawat di hospital. Manakala isterinya dan anak kecil berkenaan cedera dan telah menerima rawatan.

Saya terdiam, lantas berfikir tentang kejadian tadi. Malahan dalam perbualan antara saya dan rakan seperjuangan guru-guru lain melahirkan rasa sedih dan risau atas kejadian yang menimpa. Sedih apabila mengenangkan nasib yang menimpa keluarga berkenaan dan risau bagaimanakah keadaan kehidupan mereka anak-beranak yang sekelip mata sahaja berubah.

Mampukah mereka menerima suratan takdir ini?

Mampukah kanak-kanak itu meneruskan kehidupan tanpa kasih sayang seorang ayah yang mungkin baru sekejap tadi ada dan kini tiada buat selamanya?

Yang tersirat
Terbayang di minda sekiranya saya yang berada di tempat mangsa, pelbagai persoalan dan bebanan sebenarnya bakal dtinggalkan kepada waris iaitu isteri dan anak.

Hutang kereta yang masih berjalan.

Wang PTPTN yang perlu dijelaskan.

Hutang-hutang lain yang menuntut perhatian.

Anak dan isteri yang bakal kehilangan sumber kasih sayang dan pemimpin dalam kehidupan.

Bila difikir-fikirkan kembali, sebenarnya kita ini memang hidup untuk mati. Kita mungkin tidak tahu bagaimana dan di mana kita akan meninggalkan dunia ini buat selamanya, namun kita mampu dan boleh berbuat sesuatu sebelum MAUT datang, yang biasanya tidak dijemput.

Yelah, bayangkan sahaja sekiranya kita sakit dan doktor telah menduga berdasarkan ilmu perubatan yang ada bahawa kita mungkin tidak akan hidup lama. Mungkin pada ketika itu, kita sudah boleh merancang beberapa bulan sebelum tarikh yang di'jangka'kan itu tiba untuk kita memberikan yang terbaik dalam hidup ini.

Begitu juga kepada warga tua yang khidmat baktinya telah dicurahkan sewaktu mudanya, sedikit sebanyak bersedia untuk menghadapi 'hari istimewa' itu. Sebahagian besar daripada mereka mula mendekatkan diri kepada masjid dan surau untuk beribadah serta menghadiri majlis-majlis ilmu sebagai langkah persediaan.

Namun, kalau mati muda? Adakah kita benar-benar bersedia menghadapinya?

Isteri dan anak-anak kita, mampukah mereka menerimanya dengan hati terbuka dengan musibah ini?

Adakah kelak nanti mereka akan menyalahkan takdir dan agama atas apa yang berlaku lantas menghukum bahawa kehidupan ini tidak adil dan kejam?

Pedoman Islam dalam menghadapi musibah

Islam meletakkan pedoman yang jelas melalui lisan Nabi akhir zaman iaitu Muhammad S.A.W tentang bagaimana kita hendak berhadapan dengan musibah yang menimpa.

Saya sertakan beberapa hadis yang boleh kita ambil manfaat daripadanya.

Hadis 1

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w bersabda: "Siapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, nescaya Allah mengujinya."
(Riwayat al-Bukhari-dari buku 300 hadis bimbingan-ke arah mencari redha Allah karangan Ustaz Zahazan Mohamed dan Ahmad Hasan Mohd Nazam- hadis ke 101)

Hadis 2

Daripada Abu Said al-khudri r.a dan Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Tidak menimpa seorang Mukmin suatu penyakit yang berpanjangan, kepayahan, sebarang jenis kesakitan, dan kesedihan malahan kedukacitaan, melainkan dihapuskan sebahagian dosa-dosanya."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim-dari buku 300 hadis bimbingan-ke arah mencari redha Allah karangan Ustaz Zahazan Mohamed dan Ahmad Hasan Mohd Nazam-hadis ke 102)

Saya memberikan nasihat kepada diri dan juga kepada semua yang membaca tulisan ini untuk kita tidak menyalahkan takdir terhadap apa yang berlaku pada kita kini dan perkara-perkara yang telah belalu. Ingatilah hadis-hadis di atas sebagai pedoman.

Kehidupan perlu diteruskan dan untuk meneruskannya kita perlu sentiasa berfikiran positif dan bergerak ke hadapan. Mungkin itu intipati sebahagian ajaran Islam yang sempurna ini kepada kita melalui hadis-hadis di atas.


Semoga kita lakukan yang terbaik dalam hidup ini dan menghargai setiap saat yang ada bersama-sama dengan orang yang tersayang.

Teruskan membaca...

Thursday, January 29, 2009

Mengawal anak agar terkawal

Mengawal anak agar terkawal pada zaman yang serba moden ini tidak mudah dan cabarannya pelbagai sekali. Antara yang paling dekat ialah penggunaan TV di rumah. Agak pelik pada zaman sekarang ini sekiranya rumah seseorang itu tidak mempunyai TV.


Malah dalam laporan akhbar The Star baru-baru ini mengatakan syarikat yang mengendalikan siaran berbayar Astro tidak mengalami kesan kegawatan ekonomi pada tahun 1997/98 kerana ramai pelanggannya tidak sanggup untuk memotong siaran TV. Syarikat tersebut terus berkembang dan kini hampir setiap rumah ada piring Astro hatta rumah di ceruk pendalaman mana sekalipun.

Begitulah hebatnya penangan TV ini kepada cara hidup masyarakat sekarang. Malah bagi kebanyakan orang TV adalah keperluan, bukan lagi pilihan yang boleh diabaikan.

Namun ada juga yang memilih untuk tidak mempunyai TV di rumah. Buktinya, pada hari raya yang lepas saya ada menulis mengenai pengalaman saya Berhari Raya di kampung isteri saya di Pasir Puteh Kelantan yang tidak mempunyai TV.

Dan sebentar tadi saya menjumpai artikel yang menarik mengenai isu TV ini dari laman web Ustaz Hasrizal melalui medium dakwahnya iaitu www.saifulislam.com.

Artikel tersebut boleh diperoleh melalui capaian ini: http://saifulislam.com/?p=4584

Apa yang menarik dari artikel tersebut ialah pandangan pro dan kontra dari Ustaz Hasrizal dan pengalamannya mengenai penggunaan TV di rumah bersama anak-anak serta cara beliau mengawal medium ini yang boleh dijadikan salah satu contoh terbaik bagi kita.

Tambahan pula, web beliau senantiasa dikunjungi ramai dan kaya dengan pelbagai komen dari pengunjung-pengunjung lain yang sedikit sebanyak boleh dikongsi bersama.

Saya sarankan kepada sahabat-sahabat pengunjung yang sedang membina keluarga seperti saya agar membaca artikel di atas bersama komen-komennya sekali agar sedikit sebanyak boleh kita jadikan panduan.

Panduan agar kita mampu mengawal diri kita dan anak-anak kita agar terkawal sikap serta tingkah laku yang berpunca dari contoh-contoh yang tidak elok di TV.

Selamat membaca dan mengambil iktibar.

Cara hidup yang sihat dan baik haruslah diutamakan serta disusuli dengan perubahan dari segi minda, sikap dan tindakan.

Percayalah, kita mampu mengubahnya sekiranya kita betul-betul mahu.

Teruskan membaca...

Tuesday, August 26, 2008

Melihat Dunia Dari Perspektif Berbeza


Sayu, sebak dan kagum. Itulah perasaan saya sewaktu menghadiri Karnival Muhibbah Orang Kurang Upaya di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati pada 24 Ogos 2008 baru-baru ini yang dianjurkan oleh JAWI dan pihak masjid. Perasaan insaf lantas meliputi hati ini sewaktu melihat keadaan mereka yang seolah-olah hidup di alam lain namun berpijak di bumi yang sama dengan manusia sempurna yang lain. 

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: 

“Lihatlah kepada orang yang lebih bawah daripada kamu, dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi daripada kamu; ianya lebih wajar, agar kamu tidak memperkecilkan nikmat Allah.”

“Bang, macam mana ye ibu bapa yang bisu ini mendidik anak-anak mereka?” bisik Husna kepada saya. (Beliau merupakan salah seorang urusetia dari JAWI yang terlibat dalam karnival tersebut)

Bisikan isteri saya itu membuatkan saya termenung dan melihat keadaan insan-insan di sekeliling saya yang dari fizikal tidak berbeza dengan diri ini cuma dunia mereka sunyi dari segala jenis bunyi. Deria mata dan bahasa isyarat tangan digunakan untuk berkomunikasi. Malah walaupun keadaan tidak hingar dengan percakapan orang tetapi melihat aksi mereka berkomunikasi penuh semangat menggunakan isyarat tangan menimbulkan rasa kagum dalam hati kecil ini. 

Mereka hadir bersama keluarga dan dijemput dari pelbagai persatuan OKU. Pelbagai pertandingan diadakan seperti sukaneka untuk OKU pekak dan bisu, menghafaz Al-Quran dan azan bagi kanak-kanak dan remaja OKU yang buta dan tidak kurang juga yang memperlihatkan kebolehan istimewa membuat kraftangan dan urut refleksologi. Hati kecil ini tidak putus-putus mengucapkan zikir Subhanallah (Maha Suci Allah) melihatkan keajaiban Allah taala di hadapan mata.

Ada antara mereka pasangan yang buta tetapi anak-anak kecil mereka celik . Anak-anak kecil ini yang pada pengamatan saya dalam lingkungan 2 hingga 4 tahun seolah-olah mengerti kekurangan ibu dan ayah mereka dan membantu menjadi juru pandu . Ada pasangan suami isteri yang bisu namun melahirkan anak-anak yang sempurna panca indera dan mereka mampu berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat. Air mata ini hampir-hampir menitis melihatkan keadaan mereka yang tidak dipinta untuk hidup dalam keadaan kekurangan dari segi panca indera. Namun, Allah sebaik-baik pencipta dan Dia menciptakan sesuatu dengan penuh hikmah agar manusia mengambil pengajaran dan bersyukur atas segala nikmat yang diberikan.

Kebolehan Istimewa

Saya sempat berurut refleksologi (kaki) dengan saudara Mohd Jazli yang sebaya dengan saya. Mata beliau boleh dikatakan ‘buta’ kerana tidak dapat melihat dengan jelas dan hanya boleh membaca dengan jarak yang amat dekat. Anak muda yang tabah ini mula mengalami kecacatan ini sewaktu kecil akibat demam panas dan kini bekerja bersama persatuan orang buta yang bertempat di brieckfields sebagai tukang urut refleksologi. Hebat urutannya! Kaki ini seolah-olah ringan selepas diurut, namun rasa sakit dan geli terpaksa ditahan sewaktu proses urutan terutama di bahagian jari kaki.

Sewaktu majlis penutup pula, hati saya terusik sayu bercampur kagum mendengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari seorang buta yang membaca dengan melalui tulisan brail. Bagus bacaan dan tajwidnya. Timbul rasa malu dalam hati ini yang sempurna panca indera dan mampu melihat dengan baik namun kadang-kadang tersalah juga dari segi tajwid sewaktu membaca Al-Quran. Begitulah kehebatan dan kebolehan istimewa yang Allah Taala berikan kepada mereka.

Muhasabah Diri

Saya dan Husna meninggalkan karnival tersebut dengan penuh rasa keinsafan. 

Keinsafan sebagai manusia biasa yang sempurna sifat berbanding mereka yang tidak dilahirkan sempurna sifat. 

Keinsafan sebagai ‘walid’ dan ‘ummi’ tentang bagaimana mereka mendidik anak-anak walaupun diri serba kekurangan dari segi panca indera.

Keinsafan sebagai ‘walid’ dan ‘ummi’ kerana mempunyai anak yang sempurna sifat.Alhamdulillah (segala puji bagi Allah).

Dan, keinsafan dalam menghargai segala nikmat kurniaan Allah sama ada kecil mahupun besar.

p/s: Saya ingin mencadangkan guru-guru yang membaca blog ini untuk membawa anak-anak murid menziarahi golongan OKU ini sekiranya berkesempatan. Pasti menimbulkan keinsafan dan rasa syukur terhadap nikmat yang Allah berikan. Moga-moga membuka mata hati dan pandangan batiniah tentang kehidupan dunia mereka yang sama sekali berbeza dengan kita serta berfungsi sebagai salah satu didikan jiwa kepada diri mahupun anak didik kita.

Teruskan membaca...

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP