Melihat Dunia Dari Perspektif Berbeza
Sayu, sebak dan kagum. Itulah perasaan saya sewaktu menghadiri Karnival Muhibbah Orang Kurang Upaya di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati pada 24 Ogos 2008 baru-baru ini yang dianjurkan oleh JAWI dan pihak masjid. Perasaan insaf lantas meliputi hati ini sewaktu melihat keadaan mereka yang seolah-olah hidup di alam lain namun berpijak di bumi yang sama dengan manusia sempurna yang lain.
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda:
“Lihatlah kepada orang yang lebih bawah daripada kamu, dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi daripada kamu; ianya lebih wajar, agar kamu tidak memperkecilkan nikmat Allah.”
“Bang, macam mana ye ibu bapa yang bisu ini mendidik anak-anak mereka?” bisik Husna kepada saya. (Beliau merupakan salah seorang urusetia dari JAWI yang terlibat dalam karnival tersebut)
Bisikan isteri saya itu membuatkan saya termenung dan melihat keadaan insan-insan di sekeliling saya yang dari fizikal tidak berbeza dengan diri ini cuma dunia mereka sunyi dari segala jenis bunyi. Deria mata dan bahasa isyarat tangan digunakan untuk berkomunikasi. Malah walaupun keadaan tidak hingar dengan percakapan orang tetapi melihat aksi mereka berkomunikasi penuh semangat menggunakan isyarat tangan menimbulkan rasa kagum dalam hati kecil ini.
Mereka hadir bersama keluarga dan dijemput dari pelbagai persatuan OKU. Pelbagai pertandingan diadakan seperti sukaneka untuk OKU pekak dan bisu, menghafaz Al-Quran dan azan bagi kanak-kanak dan remaja OKU yang buta dan tidak kurang juga yang memperlihatkan kebolehan istimewa membuat kraftangan dan urut refleksologi. Hati kecil ini tidak putus-putus mengucapkan zikir Subhanallah (Maha Suci Allah) melihatkan keajaiban Allah taala di hadapan mata.
Ada antara mereka pasangan yang buta tetapi anak-anak kecil mereka celik . Anak-anak kecil ini yang pada pengamatan saya dalam lingkungan 2 hingga 4 tahun seolah-olah mengerti kekurangan ibu dan ayah mereka dan membantu menjadi juru pandu . Ada pasangan suami isteri yang bisu namun melahirkan anak-anak yang sempurna panca indera dan mereka mampu berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat. Air mata ini hampir-hampir menitis melihatkan keadaan mereka yang tidak dipinta untuk hidup dalam keadaan kekurangan dari segi panca indera. Namun, Allah sebaik-baik pencipta dan Dia menciptakan sesuatu dengan penuh hikmah agar manusia mengambil pengajaran dan bersyukur atas segala nikmat yang diberikan.
Kebolehan Istimewa
Saya sempat berurut refleksologi (kaki) dengan saudara Mohd Jazli yang sebaya dengan saya. Mata beliau boleh dikatakan ‘buta’ kerana tidak dapat melihat dengan jelas dan hanya boleh membaca dengan jarak yang amat dekat. Anak muda yang tabah ini mula mengalami kecacatan ini sewaktu kecil akibat demam panas dan kini bekerja bersama persatuan orang buta yang bertempat di brieckfields sebagai tukang urut refleksologi. Hebat urutannya! Kaki ini seolah-olah ringan selepas diurut, namun rasa sakit dan geli terpaksa ditahan sewaktu proses urutan terutama di bahagian jari kaki.
Sewaktu majlis penutup pula, hati saya terusik sayu bercampur kagum mendengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari seorang buta yang membaca dengan melalui tulisan brail. Bagus bacaan dan tajwidnya. Timbul rasa malu dalam hati ini yang sempurna panca indera dan mampu melihat dengan baik namun kadang-kadang tersalah juga dari segi tajwid sewaktu membaca Al-Quran. Begitulah kehebatan dan kebolehan istimewa yang Allah Taala berikan kepada mereka.
Muhasabah Diri
Saya dan Husna meninggalkan karnival tersebut dengan penuh rasa keinsafan.
Keinsafan sebagai manusia biasa yang sempurna sifat berbanding mereka yang tidak dilahirkan sempurna sifat.
Keinsafan sebagai ‘walid’ dan ‘ummi’ tentang bagaimana mereka mendidik anak-anak walaupun diri serba kekurangan dari segi panca indera.
Keinsafan sebagai ‘walid’ dan ‘ummi’ kerana mempunyai anak yang sempurna sifat.Alhamdulillah (segala puji bagi Allah).
Dan, keinsafan dalam menghargai segala nikmat kurniaan Allah sama ada kecil mahupun besar.
2 comments:
Insaf...
Subhanallah...
Kalo Walid rasa begitu apatah aku lagi...cheh!!
Walid kim slm kat Ummi n Muhammad!
Slm...
salam.. mereka2 tu sungguh istimewa....
mereka boleh berdikari seperti org biase lain jika masyarakat kita peka dan tidak memandang rendah pada mereka....
yup..memang elok dibawa pelajar2 melawat mereka2 semua.... supaya kita rase bersyukur atas nikmat yg kita dpt dan boleh membantu mereka..
Post a Comment