Friday, October 10, 2008

Catatan Hari Raya 1: Damai Desa

Muhammad-Yassir-Husna di hadapan rumah mok

Salam Aidilfitri kepada semua. Setelah lebih seminggu kita menyambut syawal dan meninggalkan Ramadhan. Walaupun cuti berhari raya agak singkat namun ada yang tidak melepaskan peluang pulang ke kampung halaman masing-masing.

Begitu juga keluarga saya. Ini adalah kali pertama saya dan isteri berhari raya bersama anak sulung kami-Muhammad yang kini sudah mencecah umur 4 bulan 2 minggu,Alhamdulillah. Kami mengambil keputusan untuk pulang berhari raya di Bukit Abal, Pasir Putih Kelantan iaitu rumah nenek husna. Beliau yang lebih dikenali sebagai mok merupakan bekas guru mengajar Al-Quran di kampung tersebut dan masih lagi sihat walaupun berjalan agak bongkok sedikit kerana usia yang amat lanjut.

Tapi apa yang mengkagumkan ialah daya ingatannya sangat kuat dan tidak menghidapi penyakit nyanyuk. Mungkin berkat mengajar Al-Quran kepada anak-anak disekitar kampung tersebut, Allah Taala memberikan daya ingatan yang kuat untuk mok mengingat nama setiap anak muridnya. Disamping itu juga saya memerhatikan beliau banyak mengamalkan petua bacaan ayat-ayat Al-Quran tertentu untuk berubat. Sesampainya saya di rumah mok, beliau terus berjalan ke muka pintu dan menyapa kami sekeluarga, "Oh, Yassir dah sampai dah!". Terkejut juga saya kerana beliau masih mampu mengingat nama saya walaupun kali terakhir saya bertemu dengannya adalah pada tahun lepas.

Tiada TV

Ya, di rumah mok tiada TV, berbanding dengan rumah jiran-jirannya yang lain yang siap ada piring Astro lagi. Mok sangat melarang anak-anak dan cucu-cucunya membawa TV ke rumah .Katanya walaupun di TV ada perkara baik, namun perkara yang tidak baik juga banyak. Minyak dan air tidak boleh bercampur dalam satu gelas-minyak rosak tidak boleh dipakai,ar rosak tidak boleh diminum. Begitulah hujahnya. Pernah dia memarahi cucunya kerana curi-curi bawa masuk TV kecil hitam putih. Terus diambil dan dibuang TV tersebut.

Hadapan Rumah Mok (Cube perhati,mana ada ariel TV,huhu)

Agak janggal pada mulanya hidup tanpa TV. Sunyinya semacam. Kalau tiada yang berbual, memang sunyi. Tapi bila dah lama-lama rasa seronok pulak. Dapat menikmati damai desa yang sebenar. Lagipun rumah mok ni memang banyak buku-buku yang best. Disebabkan tiada TV, famili sepupu Husna yang tinggal bersama mok banyak membeli buku untuk bacaan di rumah. Lebih-lebih ayah ngoh (pak saudara Husna) yang suka membaca buku dan ada pelbagai jenis koleksi buku. Tenang je rasa baca buku tiada TV. Kalau tidak biasanya di rumah memang bising dengan bunyi TV.

Ayah ngoh menghadiahkan saya 3 buah buku yang kesemuanya dalam Bahasa Inggeris. Buku tersebut merupakan buku-buku agama yang telah ayah ngoh beli sewaktu beliau berada di luar negara dahulu. Saya sangat menghargai pemberian hadiah dalam bentuk buku, kerana saya suka membaca. Membaca meluaskan pemikiran dan menjadikan kita lebih kaya ilmu pengetahuan. Lebih-lebih lagi saya berkhidmat dalam bidang perguruan, perlu mempunyai ilmu yang lebih dari anak-anak murid dan supaya apa yang diajar menjadi lebih relevan dengan pengetahuan semasa.

Kelebihan Tiada TV

Sewaktu saya di UIAM, Ustaz Mustafa Omar pernah menyatakan di dalam kelas bahawa di rumah beliau tiada TV. Beliau hanya mendapatkan maklumat terkini dari internet sahaja. Katanya TV lebih banyak membuang masa dan menyekat aktiviti-aktiviti bersama keluarga. Hanya menunggu siaran TV berjam-jam tanpa melakukan sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat.

Pada mulanya saya tidak berapa percaya. "Bolehkah kita hidup tanpa TV? Boring tu!". Tapi apabila saya mengalami sendiri pengalaman tiada TV di rumah mok, terus saya akui kebenarannya. Di sini saya sertakan beberapa faedah yang saya dapati dan alami secara peribadi sewaktu di rumah mok:

  1. Baru kita sedar masa yang ada sebenarnya sangat banyak. Banyak perkara berfaedah boleh dilakukan. Membaca, membersihkan rumah, beramah mesra sanak saudara, memasak dan banyak lagi.
  2. Kita akan lebih rapat dengan saudara mara, sebab bila balik kampung je semua duduk berbual bertanya khabar. Kalau senyap, memang senyap la rumah. Jadi nak tak nak memang berbual la jawabnya. Kalau ada TV, alamat melekat la semua nak tengok rancangan menarik. Lebih-lebih lagi banyak rancangan menarik keluar pada musim hari raya. Dah hilang semangat Hari Raya untuk mengeratkan silaturrahim sesama keluarga.
  3. Boleh luangkan masa bersama keluarga dengan lebih bermanfaat. Ini dapat saya rasai bila dapat bermain-main dengan Muhammad yang sangat aktif. Terus hilang rasa nak tengok TV. Anak-anak pun rasa dihargai dan kita pun dapat mengenali peribadi anak dengan lebih berkesan.
  4. Kita akan lebih merancang hidup dengan berkesan. Kalau ada TV, susahla lebih-lebih lagi terpaksa tangguh buat sesuatu semata-mata untuk tengok rancangan kegemaran di TV.
  5. Kalau balik kampung, anak-anak kecil akan mengisi masa lapang mereka dengan bermain sesama mereka dan keluar dari rumah. Baru mereka dapat berinteraksi dengan alam sekeliling mereka. Tidakla hanya duduk je kat rumah. Saya lihat mereka ni akan lebih cepat matang dalam pergaulan dan kehidupan.

Persoalannya:Mampukah?

Itu persoalan yang saya tanyakan pada diri. Mampukah saya hidup tanpa TV? Sebab dah terbiasa ada TV dirumah sejak kecil. Namun, Alhamdulillah, dalam keluarga saya, mak dan ayah memang jarang melekat depan TV kecuali melihat berita atau dokumentari. Astro pun ayah saya tidak mahu ambil, katanya dah banyak sangat 'Channel' kat rumah. Betul juga cakap ayah. Kalau nak difikir-fikir balik kita ni hanya boleh tengok 1 channel je dalam satu-satu masa. Kalau TV yang ada fungsi PIP(picture in picture) pun hanya boleh tengok dua sahaja. Itupun 'channel' kedua hanya gambar tanpa suara,huhu.

Saya pula boleh dikatakan pernah terbiasa hidup tanpa TV kerana sewaktu tingkatan 1 hingga 5 saya bersekolah di asrama. Jadi TV tu memang dah jarang sangat tengok. Mungkin saya dan Husna tiada masalah sekiranya tiada TV tapi terfikir pula bagaimana dengan anak-anak kami nanti? Sudah pasti di zaman ini dan akan datang sangat sukar untuk kita melihat rumah orang tanpa TV. Saya dan Husna tidak mahu menimbulkan konflik dalam diri anak-anak kami bahawa kami cuba menyekat mereka dari tengok TV sedangkan rakan-rakan sebaya mereka tiada masalah untuk tengok TV. Bimbang sekiranya mereka memberontak dalam diam dan terus jauh keluarga untuk mencari hiburan lain. Memang kita Nampak itu untuk kebaikan mereka, tetapi kita mesti mendidik mereka sesuai dengan cara dan kehidupan mereka pada zaman akan datang. Sepertimana kata-kata Khalifah Islam yang kedua, Saidina Umar al-khattab, "Didiklah anak-anakmu mengikut zaman di mana mereka hidup,".

Pandangan saya: Hidup dengan TV atau tanpa TV

Bagi saya secara peribadi, TV hanyalah alat. Setiap sesuatu alat yang wujud di dunia ini ada kebaikan dan keburukan. Sepertimana pisau di dapur, alat bermanfaat yang digunakan untuk memasak, namun bisa saja boleh digunakan untuk mencederakan orang lain. Perkara yang paling utama dan paling penting ialah siapa yang menggunakan alat tersebut. Sekiranya yang menggunakan alat tersebut berniat kepada kebaikan nescaya banyak manfaat yang boleh diperolehi dan begitulah sebaliknya.

Mungkin bagi mok dan ustaz Mustafa omar kehidupan tanpa TV adalah pandangan peribadi mereka untuk menghindarkan perkara-perkara yang tidak elok yang mudah disajikan kepada semua tanpa mengira peringkat umur. Perkara itu memang tidak dapat saya nafikan, tetapi Alhamdulillah sekarang di Malaysia sudah wujud 'channel-channel' yang berasaskan maklumat bermanfaat daripada melalaikan. 'Channel' seperti TV9 dan Astro Oasis umpamanya sarat dengan bahan-bahan yang bermanfaat untuk diambil iktibar. Cuma tangan tue nak ke tak nak tekan 'remote'.

Kesimpulannya,kita sendiri memilih 'channel' apa yang kita nak. Kalau bermanfaat tengok dan belajar. Sekiranya tidak tutup dan jimatkan elektrik. Lebih bagus kalau kita melihat Intisari rancangan di surat khabar dan pilih rancangan mana yang sesuai. Kemudian rancang masa dengan tidak melihat perkara yang tidak berfaedah. Mungkin itu pendekatan yang kami akan gunakan untuk mendidik anak-anak kami terhadap penggunaan TV di rumah,Insya Allah.

Wah,panjang pula menulis, Terima kasih kerana sudi membaca sehingga akhirnya. Semoga secebis pengalaman yang dikongsi bisa membawa sedikit sebanyak manfaat kepada kita semua…dan kerana itu jualah saya menulis.

Teruskan membaca...

Thursday, October 9, 2008

Musim sibuk menjelma

Ini adalah musim sibuk bagi saya. Minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri dan minggu sekolah bermula setelah cuti Hari Raya.

Minggu sebelumnya sibuk dengan pulang ke kampung, manakala tatkala ini saya sibuk menghabiskan minggu terakhir berpraktikum di Sekolah Menengah Teknik Batu Lanchang,Pulau Pinang.

Minggu terakhir ini banyak perkara perlu dibuat. Mengecat 'mural', membuat dan mengemaskini laman web sekolah dan persediaan untuk penyeliaan kali terakhir oleh guru pembimbing.

Hampir sesak juga dibuatnya, tapi saya cuba menghadapi kesibukan ini dengan ketenangan dan tidak tergopoh-gapah. Sampaikan sempat menyelitkan masa sibuk dengan bermain badminton bersama sahabat-sahabat DPLI USM 2008 di USM. Mungkin ini kali terakhir kami berkumpul dan bermain badminton bersama memandangkan kesemuanya membawa diri ke kampung halaman masing-masing setelah selesai berpraktikum.

Catatan blog ini juga tergendala seketika. Namun, saya telahpun merangka beberapa catatan menarik selepas raya untuk dikongsi bersama. Insya Allah, setelah saya selesai menghadapi kesibukan dalam minggu ini saya akan menyudahkan catatan yang ada.

Teringat saya akan maksud Hadis Nabi Junjungan kita,Muhammad s.a.w mengenai apa yang sedang dilalui kini:

Ingatlah 5 perkara sebelum datang perkara,

Masa muda sebelum masa tua,

Masa sihat sebelum masa sakit,

Masa lapang sebelum masa sibuk,

Masa kaya sebelum masa miskin,

Masa hidup sebelum masa mati.


 

Kini putaran masa itu saya alami, dan begitu jua pada kita semua. Kesemua 5 perkara di atas sudah pasti wajib dan akan dilalui oleh setiap orang yang bergelar insan di muka bumi Allah Taala ini.

Marilah kita berwaspada dengan masa yang kita gunakan.

Baiklah nak sambung buat web ni. Entahla pukul berapa nak tidur ni.

Semoga bersua di catatan seterusnya.

"Ya Allah, permudahkanlah segala urusan hambaMu ini.Amin"

Kolej Bakti Permai,USM.

1.29 minit pagi.

Teruskan membaca...

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP