Halal dan berkatkah wang itu?
Salam kepada semua pengunjung blog ini.
Ini adalah catatan saya yang pertama mengenai ilmu IT dalam blog ini untuk tatapan sahabat-sahabat yang sudi membaca dan berkongsi pengalaman di dalam blog saya. Semoga membawa manfaat kepada kita semua.
Saya menjumpai artikel yang menarik mengenai kaedah sebenar membuat duit di internet. Apa yang menarik pada artikel ini ialah ia bukan sahaja menerangkan mengenai kaedah yang betul untuk cari duit di internet, malah apakah skim-skim internet di luar sana yang TIDAK BETUL malah boleh dikategorikan sebagai hasil pendapatan yang RAGU-RAGU
dan boleh sahaja menjadi haram di sisi Islam.
Artikel ini saya dapati di www.wangcyber.com dan ditulis oleh Mohd Suhaimy a.k.a shuth yang merupakan pengasas kepada laman web tersebut. Artikel penuh adalah seperti berikut:
Usah lagi tertipu dengan skim pelaburan haram & skim cepat kaya di internet!
Ketahui! Kaedah membuat duit di internet yang sebenar!
Kepada rakan yang dikasihi..
Pada 12 April 2007 yang lalu, majlis fatwa kebangsaan telah sebulat suara memutuskan, bahawa pelaburan internet adalah haram di sisi agama islam. Kenyataan ini telah serba sedikit menggembirakan saya, kerana sejak dahulu lagi telah saya ketahui, skim-skim pelaburan yang dijalankan di internet ini sebenarnya adalah merupakan skim ponzi alaf baru yang hanya bertujuan untuk menipu masyarakat yang sememangnya terlalu mudah percaya dengan angan-angan untuk menjadi kaya dengan cepat.
Pengharaman tersebut juga telah serba sedikit menyedarkan beberapa pihak yang telah terjebak ke dalam perangkap skim pelaburan tipu tersebut untuk cepat-cepat kembali ke jalan yang betul dan mengeluarkan diri mereka dari terus hanyut dan menjadi barua kepada komplot penipuan tersebut.
Ditambah pula dengan liputan-liputan serta pendedahan yang dilakukan oleh pihak media, maka, semakin ramailah masyarakat yang tersedar dan mula berhati-hati dengan peluang-peluang membuat duit melalui inernet ini.
Namun begitu, sesuatu yang sedikit mengecewakan. Ramai masyarakat yang terkeliru dengan istilah PELABURAN INTERNET dengan PERNIAGAAN INTERNET. Pada mereka, apa-apa sahaja perkara yang berkaitan dengan "Buat Duit di Internet" adalah tipu dan tidak boleh dipercayai. Lebih menyedihkan lagi, bukan masyarakat biasa sahaja yang terkeliru dengan 2 perkara ini, malah pihak-pihak yang dianggap sebagai pihak yang handal ICT, seperti Pusat Keselamatan Siber Malaysia juga turut terkeliru mengenainya.
Membuat duit atau menghasilkan pendapatan melalui internet sebenarnya bukanlah sesuatu yang mustahil. Malah terdapat ramai individu-individu di dunia amnya dan di Malaysia khususnya, telah berjaya menghasilkan duit yang banyak menerusi internet. Antara nama yang paling dikenali ramai adalah Dr. Irfan Khairi . Beliau, telah berjaya menjadi jutawan dengan hanya menjalankan perniagaan di internet.... diulangi.. PERNIAGAAN INTERNET.... atau perlukah saya mengejakannya? P . E . R . N . I . A . G . A . A . N ... bunyinya apa?... PERNIAGAAN ... (pandainyeeeee~~~ anak sapa ni~~?)
Untuk memberikan lebih kefahaman tentang "KAEDAH-KAEDAH SEBENAR BUAT DUIT DI INTERNET " , izinkan saya menjelaskannya kepada anda. Diharapkan anda dapat melapangkan dada dan mengosongkan fikiran anda terlebih dahulu dari segala tanggapan-tanggapan serta cerita-cerita yang pernah anda dengar sebelum ini tentang "BUAT DUIT DI INTERNET".
Secara keseluruhannya, terdapat 3 kaedah / cara membuat duit di internet, iaitu :-
- Perniagaan Internet
- Program Internet
- Pelaburan Internet
Nota : Hijau - Boleh Dipercayai , Oren - Perlu Berhati-hati , Merah - Lari jauh-jauh.
1) Perniagaan Internet
Satu kaedah yang paling pasti untuk membolehkan anda membuat duit di internet adalah dengan menjalankan perniagaan anda di internet. Perniagaan internet tidak jauh berbeza konsepnya dengan perniagaan konvesional. Anda masih memerlukan produk untuk dijual dan memerlukan pelanggan untuk membeli. Apa yang berbeza hanyalah proses transaksi urusniaga tersebut, dimana, transaksi tersebut dijalankan secara online. Pihak pembeli dan penjual tidak bersemuka dan berada beribu-ribu batu jauhnya.
Perniagaan internet pula boleh dibahagikan kepada 2 bentuk. Iaitu , sama ada "perniagaan yang berasaskan" produk ataupun "perniagaan yang berasaskan perkhidmatan".
Perniagaan Berasaskan Perkhidmatan
Antara contoh-contoh perniagaan internet yang berasakan perkhidmatan adalah seperti :-
- Perkhidmatan rekabentuk grafik (logo, banner, cover ebook)
- Perkhidmatan membina website
- Perkhidmatan memasang perisian.
- Perkhidmatan webhosting
- Perkhidmatan menulis & menterjemah artikel
Perniagaan Berasaskan Produk
Bagi perniagaan internet yang berasaskan produk pula, ia boleh dibahagikan kepada 2 jenis produk. Iaitu, sama ada produk fizikal ataupun produk digital.
Antara contoh perniagaan-perniagaan internet yang berasaskan produk adalah seperti:-
Produk Fizikal
- Menjual Tikar
- Menjual Alat Penjimatan Eletrik
- Menjual Buku
- Menjual Peta
- Menjual Model Kapal Terbang
- Menjual Menjual CD multimedia
- Menjual Cadar
Produk Digital - Menjual Ebook
- Menjual Perisian-perisian
- Menjual MP3 ceramah-ceramah pembelajaran.
- Menjual Gambar-gambar/ grafik profesional
- Menjual video-video tutorial
- dan bermacam-macam lagi...
Perniagaan-perniagaan internet seperti ini adalah benar dan jarang sekali ada yang menipu. Jika ada yang menipu pun peratusannya agak kecil (Sama seperti perniagaan konvensional, ada juga peniaga-peniaga yang melakukan penipuan di dalam perniagaan mereka.). Peniaga internet menggunakan internet dengan sepenuhnya untuk memasarkan produk-produk mereka. Jadi! adakah mustahil untuk anda membuat duit di internet dengan melakukan perniagaan di internet? Sudah pastinya tidak mustahil sama sekali. Anda BOLEH buat duit di internet dengan menjalankan PERNIAGAAN Internet!
Perniagaan di internet adalah sama seperti perniagaan konvensional. Rukunnya sama.. ada penjual, ada pembeli dan ada produk. Di dalam Perniagaan Internet.... tiada istilah labur duit, goyang kaki dan kemudiannya jadi kaya.
Untuk membina sebuah perniagaan internet yang berjaya bukanlah sesuatu yang terlalu mudah. Ia memerlukan usaha yang gigih dan juga ilmu pengetahuan yang tinggi, terutamanya ilmu-ilmu yang berkaitan dengan dunia perniagaan. Untuk membina sebuah perniagaan internet yang berjaya, anda perlu mempunyai ilmu mengenai "Niche Market Research", "Product Development", "Web Development", "Internet Marketing", "Search Engine Optimization(SEO)", "Sales Letter Writing ", "Web Credibility", "Traffic Generation" dan bermacam-macam lagi ilmu yang perlu dipelajari dan diketahui..... Membangunkan perniagaan internet, bukanlah semudah membangunkan website dan meletakkannya di internet sahaja.. ia lebih dari itu. Jadi, sememangnya tiada istilah "Duduk Diam Dapat Duit" di dalam dunia perniagaan internet.
Jika anda berminat untuk mendalami serta berkongsi ilmu tentang cara-cara membina perniagaan di internet yang betul, sertailah komuniti kami di www.wangcyber.com , banyak tips-tips serta ilmu yang membincangkan tentang cara-cara membina perniagaan internet yang berjaya dikongsikan di website tersebut.
2) Program Internet
Kaedah kedua untuk membuat duit di internet adalah melalui program-program internet.Kaedah ini adalah lebih mudah untuk dilakukan jika dibandingkan dengan kaedah yang pertama iaitu "membina perniagaan internet".
Program internet ini pula. boleh dikategorikan kepada beberapa jenis, iaitu :-
- Program Pengiklanan
- Google Adsense
- Text-Links-Ads
- Bidvertiser
- Nuffnang
- Advertlets
- Google Adsense
- Program Affiliate
- Clickbank
- Commision Junction
- PayDotCom
- Amazon.com
- Clickbank
- Internet MLM
- Get Paid To Program
- Get Paid to Read Email
- Get Paid to Surf
- Get Paid to Survey
- Get Paid to Read Email
- Randomizer
- Forced Matrix
Nota : Hijau - Boleh Dipercayai , Oren - Perlu Berhati-hati , Merah - Lari jauh-jauh.
Program Pengiklanan
Program pengiklanan seperti google adsense, bidvertiser, text-link-ads , nuffnang dan yang lain-lain, adalah merupakan sebuah program pengiklanan yang menghubungkan antara "pihak penerbit iklan" dengan "pihak pembeli iklan". Jika anda ingin membuat duit di internet menerusi program pengiklanan ini, anda perlulah menjadi pihak "Penerbit Iklan", atau lebih dikenali sebagai "Publisher".
Sebagai seorang "publisher", anda dikehendaki untuk menyediakan sedikit ruang di website anda, untuk diletakkan iklan-iklan dari program-program pengiklanan yang anda sertai. Pihak penganjur program pengiklanan seperti google, text-links-ads, bidevrtiser dan sebagainya, akan membayar anda berdasarkan kaedah yang ditetapkan, iaitu sama ada mengikut bilangan klik , bilangan paparan atau pun mengikut kiraan hari berapa lama iklan tersebut di paparkan di website anda.
Duit yang digunakan untuk membayar anda itu pula, sebenarnya, bukanlah datang dari pihak penganjur, tetapi duit-duit tersebut, sebenarnya datang dari pihak-pihak pembeli iklan (pihak-pihak yang ingin mengiklankan website/produk mereka). Jadi, disini, jelas dapat di lihat dari mana sumber datangnya duit tersebut dan kemana ia disalurkan. (Dari poket pembeli iklan, ke penganjur program, dan seterusnya ke poket anda, kerana sudi memaparkan iklan mereka).
Program Affiliate
Di dalam perniagaan konvensional, ada sesetengah pemilik perniagaan yang melantik jurujual-jurujual serta agen-agen untuk membantu mereka mempromosikan serta menjual produk mereka kepada orang ramai. Agen-agen yang berjaya membuat jualan pula, akan diberikan sedikit komisyen hasil daripada harga jualan produk tersebut.
Di internet, jurujual-jurujual serta agen-agen ini, dipanggil "affiliate".
Manakala, program affiliate pula, ialah sebuah program yang disediakan oleh pemilik-pemilik website perniagaan, bagi melantik individu-individu seperti anda untuk menjadi agen mereka. Proses pendaftaran sebagai agen kepada sesebuah program affiliate ini biasanya adalah percuma. Anda tidak akan dikenakan sebarang bayaran untuk mendaftar sebagai agen mereka.
Setelah mendaftar sebagai agen di dalam sesebuah program affiliate, anda akan dibekalkan dengan satu URL yang mempunyai ID anda. Tugas anda, hanyalah mempromosikan URL tersebut. Apabila ada orang yang meng"klik" pada URL anda dan kemudiannya, membeli produk yang dijual di website tersebut, anda akan diberikan komisyen.
Itulah penerangan ringkas mengenai program affiliate, anda mendaftar sebagai agen di sesebuah website yang menjalankan "perniagaan internet", dan kemudiannya, mempromosikan URL affiliate ID anda. Jika ada pembeli, anda akan diberikan komisyen.
Satu ciri utama yang perlu anda tahu tentang program affiliate ialah, program affiliate yang sah tidak mempunyai banyak tingkat (tier). Maksimun tingkat (tier) yang dibenarkan untuk program affiliate hanyalah 2 tingkat (2nd tier) sahaja. Ini kerana, program affiliate lebih mengutamakan kepada jualan produk dan komisyen yang diberikan juga adalah berdasarkan hasil bilangan jualan produk, dan bukannya dari bilangan "downline" yang diperolehi. Jadi, jika ada website yang mendakwa mereka menjalankan program affiliate dan peringkat (tier) affiliate mereka lebih dari 2, iaitu kadangkala sehingga mencecah 5-8 peringkat. Usah sertai! Itu adalah skim piramid yang cuba memperbodohkan anda dengan istilah "Affiliate Program" .
Internet MLM
Kini, Industri MLM "Multi-Level-Marketing" juga tidak ketinggalan untuk menggunakan internet sebagai sebuah medium pemasaran. Banyak syarikat-syarikat MLM yang telah mempunyai website mereka sendiri serta turut menyediakan kemudahan pejabat secara maya untuk kegunaan ahli-ahli mereka.
Namun begitu, industri MLM pada masa kini sudah agak parah, ini kerana banyak syarikat-syarikat MLM telah dijangkiti oleh skim-skim piramid yang seringkali menggunakan "lesen AJL" untuk sesebuah syarikat MLM sebagai topeng mereka.
Komisyen yang sepatutnya dibayar berdasarkan "jualan produk" kini sudah ditukar dan dibayar berdasarkan "bilangan agen baru" yang dapat ditaja. Jadi, tidak hairanlah jika dilihat, mengapa penggiat-penggiat MLM masa kini, bermati-matian mencari ahli baru untuk di jadikan downline mereka daripada memasarkan & menjual produk-produk keluaran syarikat MLM itu sendiri.
Ayat-ayat jualan yang sepatutnya menerangkan tentang keistimewaan produk seperti "Produk ini berkualiti! berkhasiat dan dijamin halal" kini ditukar kepada "Jadilah jutawan MLM tanpa perlu menjual produk, tanpa perlu membuat "maintain" bulanan dan juga tanpa perlu datang mesyuarat setiap minggu!", "Hanya perlu daftar jadi ahli dengan yuran RMXXX dan cari 2-3 orang rakan sahaja! dan anda akan menjadi jutawan dalam masa beberapa bulan!"
Jadi, berhati-hati lah jika anda ingin menyertai mana-mana syarikat MLM di zaman ini, mempunyai "Lesen AJL" dari kementerian perdagangan sahaja belum mencukupi untuk membuktikan mereka adalah sebuah syarikat MLM yang tulen. Ini kerana, banyak syarikat-syarikat MLM yang mengemukakan pelan pemasaran yang berbeza sewaktu mereka ingin memohon lesen dari kementerian. Selepas dapat lesen, lain pula pelan pemasarannya. Sebab itulah, anda boleh lihat, pelan pemasaran yang diterangkan di dalam ceramah-ceramah mereka amat berbeza sekali dengan pelan pemasaran yang tercatat di dalam booklet keahlian mereka.
Saya pernah menulis dengan panjang lebar mengenai "Skim Piramid yang bertopengkan MLM" ini, untuk bacaan lebih lanjut, anda boleh lihat disini http://www.wangcyber.com/forum/showpost.php?p=2657&postcount=2
Program "Get Paid To..." (GPT)
Ini satu lagi kaedah buat duit di internet, tetapi terus terang saya katakan, program-program ini, kebanyakkannya adalah tipu dan hanya akan membuang masa anda. Ada sesetengah programGPT ini, yang menawarkan anda sehingga USD100 untuk anda membaca setiap email yang dihantar. Usah mudah percaya dan kelabu mata, tanya dulu.. "Dari mana mereka dapat duit untuk membayar USD 100 kepada anda bagi setiap email?". Dari pihak pengiklan? Maaf cakap, tapi dalam dunia perniagaan, tiada peniaga yang sebodoh itu yang sanggup membayar USD100 kepada setiap orang yang membaca email iklan mereka.
Tujuan sebenar penganjur program-program "get paid to.." ini sebenarnya hanyalah untuk mendapatkan alamat email anda dan kemudiannya menjualkannya kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawap. Akibatnya, inbox email anda akan menerima banyak email-email SPAM (email tidak diundang) yang mengandungi iklan-iklan seperti viagra, pil ectasy, dadah, website lucah, software murah serta seseorang yang mendakwa dirinya pentadbir harta kerajaan nigeria yang baru sahaja kematian raja.
Jadi, usah membazirkan masa anda dengan program-program seperti ini. Tiada orang yang menjadi kaya hasil menyertai program-program seperti ini.
Program Randomizer
Ini pula satu program buat duit di internet yang menggabungkan "skim cepat kaya" & "program perjudian". Untuk membuat duit dari program ini, anda perlu "menderma" dan sekaligus mendaftar sebagai ahli mereka, dan kemudiannya, anda dikehendaki mencari rakan yang lain untuk turut "menderma" (menjadi mangsa) ke dalam program ini.
Kepada siapa wang anda perlu di"derma"kan? Pertama, kepada penganjur program tersebut, kedua.. kepada individu yang menjemput anda untuk menyertai program ini.. dan ketiga... kepada mana-mana ahli yang akan dipilih secara rawak oleh sistem. Ikut nasib... kalau nama anda terpilih, maka dapatlah duit.. kalau tidak.. cari lagi "mangsa" yang lain.
Program Forced Matrix
Ini pula skim piramid yang dijalankan di internet secara terang-terangan. Tetapi ramai yang tertipu dengan perkataan "forced matrix" yang digunakan, konon-kononnya, ianya adalah sebuah program yang canggih, maklumlah namanya pun sudah canggih. Hakikatnya, ianya adalah skim piramid. Di dalam program forced matrix ni, mangsa dikehendaki membayar duit sebagai ahli dan kemudiannya mencari 2-10 orang untuk dijadikan downline mereka. Mereka akan menyusun 5 orang pada level 1 dibawah mereka, setelah lengkap level 1 dengan 5 orang mangsa, maka mangsa yang ke-6 akan diletakkan di level ke-2 pula, pada level kedua ini, mereka perlu mencari seramai 25 orang mangsa. Begitulah seterusnya, semakin banyak level, semakin banyaklah mangsa yang diperlukan. Apa yang ahli-ahli program forced matrix ini tidak sedar ialah, program ini sebenarnya akan menjadi tepu pada level yang ke-13, itu pun jika seluruh penduduk dunia menyertainya. Tetapi, selalunya, ia akan tepu pada level yang ke 6 & 7. Mengapa? sebabnya.. tidak ramai orang-orang yang "bodoh" di internet yang mahu menyertai program-program seperti ini. Yang peliknya, mereka yang kurang bijak yang menyertai skim ini akan berkata "Tidak mengapa! Kita perlu berusaha dengan lebih kuat lagi mempromosikan program ini, insyallah... segala usaha kita akan berhasil!"... Usaha apanya? Program dah tepu... nak usaha apa lagi?
Berikut adalah ilustrasi susunan ahli skim piramid yang digunakan oleh program "forced matrix 5"
Apabila program ini tepu pada level ke 6 (sebab tiada lagi orang "kurang pandai" yang dapat diperdayakan) , maka, 55,944 orang akan rugi (level 3-6) dan hanya 42 orang sahaja yang akan untung (level 1 - 2). Jadi, nasihat saya, jauhkan diri anda dari program-program seperti ini, ini kerana, anda tidak akan tahu di level mana anda berada apabila anda menyertai program tersebut.
3) Pelaburan Internet
HYIP (High Yield Investment Program)
Ini pula adalah kaedah yang paling-paling disukai dan digilai oleh ramai orang, terutamanya rakya Malaysia... . Campak duit!... Goyang Kaki! Cukup bulan.. duit berkepul-kepul masuk ke dalam akaun bank! Nak lagi banyak? Ajak kawan-kawan sekali, jemput semua sekali orang kampung masuk melabur!
Peduli apa pihak penganjur buat dengan duit tersebut?
Peduli apa mereka itu ada lesen ke tidak?
Peduli apa halal ke haram?
Yang penting..... cukup bulan.. CONFIRM dapat untung sekian-sekian peratus!
HYIP, Swisscash, E-Barrel, ABFund dan apa-apa sahaja website yang menjanjikan anda keuntungan tetap, adalah beberapa contoh website yang menawarkan skim PELABURAN INTERNET ini. Mereka tidak mempunyai lesen, dan mengambil deposit daripada masyarakat secara haram.
Inilah kaedah buat duit di internet yang di"HARAM"kan oleh majlis fatwa kebangsaan pada 12 April 2007 lepas. Suatu pelaburan yang dijalankan menerusi internet... atau nama sebenarnya, SKIM CEPAT KAYA ALAF BARU.
Duit yang dilaburkan sebenarnya hanya dipusing-pusingkan. Duit-duit dari pelabur X, Y, Z akan diberikan kepada pelabur-pelabur A, B, C yang merupakan orang-orang yang terawal melabur di dalam pelaburan haram ini. Dan, apabila pelabur-pelabur A, B, C ini mendapat wang keuntungan sepertimana yang dijanjikan oleh penganjur pelaburan haram ini (yang sebenarnya sengaja diberikan untuk menguatkan kepercayaan orang ramai). Maka, akan semakin riuhlah pelabur-pelabur A, B, dan C ini mengkhabarkan yang mereka kononnya telah memperolehi keuntungan yang berlipat ganda dari pelaburan mereka di dalam skim pelaburan haram tersebut.
"Tengoklah berapa banyak duit aku dah dapat hasil daripada pelaburan ini, mana ada tipu? Kalau tipu, takkan aku boleh dapat duit banyak begini?" kata pelabur A
"Sertailah kami, usah dengar kata-kata rakan-rakan anda itu, mereka itu semua melayu yang berfikiran rendah, busuk hati & pendengki! Tidak boleh tengok orang senang sikit! " kata pelabur B
"Haram konon.... boleh jalanlah dengan haram kau! Kalau nak haram.. haramkan semuanya!" kata pelabur C yang cuba menghalalkan perkara yang haram.
Saya tidak mahu bercerita panjang mengenai pelaburan haram ini disini, saya sudah letih, jika anda ingin membaca kupasan lebih lanjut mengenai pelaburan haram ini, anda boleh lawati website-website berikut :-
- Penipuan Pelaburan Internet
- Pelaburan Internet - SCAM!
- Jawapan Azizi Ali (Jutawan Hartanah) Terhadap Pelaburan Internet
- Senarai Pelaburan Internet dan Bukti Kepalsuan Mereka
Apa yang pasti, kini dalang-dalang skim-skim pelaburan haram & cepat kaya ini sedang mencari-cari taktik yang baru untuk meneruskan lagi kegiatan penipuan mereka. Dengar kata, mereka kini sedang sibuk pula membuat website-website pelaburan yang baru, untuk website yang terbaru ini, mereka tidak lagi memberikan pulangan "tetap", tetapi pulangan diberikan, berdasarkan "prestasi" pelaburan pula!. Apabila ditanya, Dimana wang pelabur dilaburkan?.. Mana lesen pelaburan? Mana laporan pelaburan tahunan? "Oh! itu tidak boleh di dedahkan.. itu rahsia strategi pelaburan kami!" alasan ringkas yang mereka berikan untuk sekali lagi memperbodohkan masyarakat.
Nasihat saya kepada anda! Jika ada peluang-peluang buat duit yang ditawarkan kepada anda, lebih-lebih lagi jika mereka meminta wang dari anda (sama ada berbentuk yuran keahlian / wang pelaburan) dan kemudiannya, meminta anda MENCARI ORANG lain untuk membolehkan anda mendapatkan keuntungan yang besar dalam masa yang singkat. Berhati-hatilah...ops! maaf! Bukan berhati-hati.. tetapi larilah jauh-jauh sekuat-kuatnya.
Selidik terlebih dahulu dari mana asalnya wang keuntungan yang anda perolehi itu? Oh! yer... apabila saya menyuruh anda membuat "selidikan" , ia bukanlah bermaksud, membaca segala maklumat yang terdapat di website mereka dan kemudiannya mempercayainya 100%.
Tetapi apa yang saya maksudkan dengan perkataan "selidik" ialah , selidik terlebih dahulu modus operandi mereka, dari mana sumber duit tersebut datang, dan ke mana duit tersebut pergi. Apa yang menyebabkan mereka boleh memberikan anda keuntungan yang tinggi dalam masa yang singkat?. Tetapi jika anda terlalu daif untuk membuat selidikan, tanyalah dan rujuklah kepada rakan-rakan lain yang lebih arif. Dimana hendak mencari rakan-rakan yang lebih arif mengenai topik BUAT DUIT DI INTERNET? , wangcyber.com adalah salah satu tempat yang terbaik.
Pelaburan Forex
Satu lagi pelaburan yang menjadi kegilaan orang ramai pada waktu ini, (terutamanya bekas-bekas mangsa Autosurf & HYIP) ialah pelaburan forex menerusi internet. Untuk makluman anda, pelaburan forex adalah merupakan satu pelaburan yang sangat berisiko tinggi. Malahan, pihak kerajaan serta pihak Bank Negara Malaysia tidak membenarkan mana-mana individu serta syarikat di malaysia untuk menjalankan urusniaga forex ini. Hanya beberapa institusi perbankan sahaja yang dibenarkan dan mempunyai lesen untuk menjalankan urusniaga forex tersebut. Antaranya Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Pos Malaysia Berhad dan juga Bank Simpanan Nasional.
Oleh itu, apa yang dilakukan oleh individu-individu yang mempunyai "keghairahan" yang tinggi terhadap pelaburan forex ini , mereka mencari dan menggunakan website-website broker dari luar negara untuk menjalankan urusniaga forex mereka.
Namun begitu, apa yang mereka tidak sedar, kebanyakkan website-website broker tersebut adalah scam dan tidak berlesen.
Jadi, kepada mereka yang "keghairahan" sudah tidak boleh ditahan-tahan lagi daripada bermain forex, berhati-hatilah apabila anda ingin memilih website-website broker untuk melabur di dalam forex.
Pelaburan Saham di Bursa Malaysia menerusi Internet
Bank-bank di malaysia seperti Maybank, CIMB , RHB dan lain-lainnya telah melangkah setapak lagi di dalam mengoptimunkan penggunaan internet di dalam perniagaan mereka. Ini kerana, bank-bank tersebut, telah berjaya menyediakan kemudahan kepada pelanggan-pelanggannya melakukan urusan jual beli saham di Bursa Malaysia hanya melalui internet , menerusi laman web mereka.
Untuk menjalankan urusniaga (bermain) saham di Bursa Malaysia menerusi internet ini, anda perlu membuka akaun perdagangan (Trading & CDS Account) anda dimana-mana cawangan bank Maybank / CIMB / RHB berdekatan anda.
Namun begitu, perlu difahami, pelaburan saham di Bursa Malaysia mempunyai risiko yang agak tinggi juga. Jadi, pastikan anda mempunyai ilmu yang secukupnya sebelum melaburkan wang anda di pasaran saham tersebut.
Pelaburan saham ini tidak ada kaitannya dengan "PELABURAN INTERNET" yang telah saya nyataan di atas, ia adalah pelaburan saham yang biasa di Bursa Malaysia, cuma kini, semua urusniaga jual beli saham tersebut, boleh dilakukan menerusi internet.
Jadi, pelaburan saham di bursa malaysia yang dijalankan menerusi internet ini bolehlah dikatakan selamat & benar, kerana anda melabur di Bursa Malaysia yang sememangnya sudah diiktiraf urusniaganya oleh bank negara malaysia.
Kesimpulan
Kesimpulannya... BUAT DUIT DI INTERNET bukanlah satu perkara yang ajaib dan penuh dengan tipu daya!. Ianya tidak mustahil dan telah pun dilakukan dengan jayanya oleh ramai orang. Malahan, di Malaysia, terdapat ramai individu yang telah berjaya menjana pendapatan di internet. Alang , Shuth, Gobala, Zamri Nanyan, Kidino, Saifulsham, Smartzul, Galadriel, Mohd Sufian, Liew CF, Gaman, Tuah Emas, Labanon, Tazilan, Sham , Bitol , Patric Chan, Sunny Tan , Azhar dan ramai lagi yang tidak mampu untuk saya senaraikan semuanya disini... adalah antara rakyat malaysia yang telah berjaya membuat duit di internet melalui PERNIAGAAN INTERNET mereka masing-masing
Jadi.. usah lagi terkeliru. antara PERNIAGAAN INTERNET & PELABURAN INTERNET. Ianya adalah 2 kaedah buat duit di internet yang amat jauh berbeza. Kami di WangCyber.com amat-amat menggalakkan masyarakat di malaysia membina & menjalankan PERNIAGAAN INTERNET mereka masing-masing, dan kami di wangcyber.com juga, menolak dan menentang sekeras-kerasnya PELABURAN-PELABURAN HARAM serta SKIM-SKIM CEPAT KAYA yang wujud di internet.
Dengan penjelasan ringkas saya ini, diharapkan, tiada lagi kekeliruan daripada mana-mana pihak mengenai istilah PERNIAGAAN & PELABURAN Internet serta salah anggapan mengenai hakikat sebenar BUAT DUIT DI INTERNET.
Sekian, salam keusahawanan dari saya..
Wassalam.
Mohd Suhaimy a.k.a shuth
WangCyber.com Founder
18 May 2007
ULASAN DAN KOMEN SAYA
Saya dapati artikel ini sangat bermanfaat kepada kita semua pada waktu dan ketika zaman kegawatan ekonomi yang sedang dihadapi kini. Mungkin ada antara kita yang terfikir tentang perbelanjaan yang semakin meningkat (walaupun harga minyak turun tapi malangnya harga barang tidak menampakkan penurunan yang ketara) dan ada juga yang risau tentang status kerja mereka pada masa hadapan. Mungkin juga ada antara rakan-rakan kita yang sedang berjinak-jinak untuk mengenali perniagaan internet ini sebagai usaha untuk menambah pendapatan.
Jadi tujuan saya menghebahkan artikel ini adalah untuk kita memastikan sama ada pendapatan yang diperoleh dari 'sumber alaf baru' ini BENAR-BENAR BERSIH DAN HALAL serta dikenalpasti SUMBER DAN ASAL-USULNYA sebelum kita menyara diri dan keluarga dengan hasil yang kita perolehi. Sesungguhnya, makanan yang diberikan dan disuapkan kepada keluarga dari asal-usul yang diragui akan membawa kesan jangka panjang kepada diri dari segi kerohanian dan akhlak diri dan keluarga.
Sebenarnya saya sudah lama mengetahui tentang betapa kita perlu berwaspada tentang perniagaan di Internet. Lebih-lebih lagi ada antara sahabat-sahabat saya yang menyertai bentuk perniagaan seperti ini. Namun kewaspadaan yang ingin saya sampaikan tak kesampaian kerana tidak tahu hendak menerangkan dengan lebih mudah. Alhamdulillah dengan adanya artikel ini, moga dapat dijelaskan mengapa kita perlu berwaspada dan alternatif untuk memastikan pendapatan dari Internet yang kita perolehi benar-benar bersih dan halal. Boleh digunakan tanpa was-was.
Saya sangat mengalu-alukan sebarang komen dan pertanyaan dari pengunjung blog mengenai artikel ini. Kalau ada tambahan lagi bagus. Boleh kita sama-sama menambah ilmu pengetahuan.
p/s: Artikel ini bukan untuk menghukum sesiapa yang terlibat dalam perniagaan internet, malah jauh sekali untuk mengharamkan kesemua skim dan perniagaan di Internet. Ini hanyalah sebagai satu garis panduan untuk kita menilai sumber pendapatan kita yang diperoleh dari internet.
Wallahualam (Dan hanya Allah yang Maha Mengetahui Segalanya).