Saturday, March 21, 2009

Rumahku Syurgaku

Hampir 2 bulan saya tidak berkesempatan untuk mengemaskini blog ini.


Saya akui bekerja, mempunyai keluarga dan anak serta mengurus rumah tangga bukanlah satu tugas yang mudah. Kesemuanya memerlukan keseimbangan agar masa dapat dimanfaatkan sebaiknya. Jadi, untuk mengemaskini blog ini saya letakkan dalam senarai yang agak akhir sehinggalah saya mampu untuk tidak mengabaikan amanah-amanah yang sedia ada.

Oh ya, Muhammad kini sudah hampir mencecah 10 bulan.


Muhammad 'excited' sewaktu saya mengambil gambar. Dia nak suruh saya dukung tu sebenarnya, huhu


Perkembangan Muhammad

Muhammad kini sudah semakin lasak dan aktif. Walaupun masih belum menampakkan tanda-tanda untuk berjalan, tapi dengan kebolehan merangkak yang ada, digunakan sepenuhnya untuk meneroka setiap ruang di rumah.

Boleh tahan juga penatnya untuk memastikan Muhammad sentiasa selamat. Sedetik pun tidak boleh leka. Alhamdulillah, baba masih bersemangat untuk menjaga Muhammad.Semoga Allah Taala mengurniakan kesihatan yang berpanjangan pada Tok Ba.


Tuk Ba dengan Muhammad di Madrasah As-Sa'adah Wangsa Maju. Tempat di mana saya dan Husna bernikah.


Mengemas rumah

Antara impian saya apabila tinggal di rumah sendiri secara berdikari ialah mengemas dan membersihkan rumah, serta memasak. Sehingga kini, saya masih lagi belum mahir untuk memasak sendiri, namun saya sedang berusaha ke arah itu.

Matlamat saya adalah untuk memastikan kami tidak terlalu bergantung dengan makanan luar. Selain kualiti makanan terjamin, hubungan kekeluargaan juga lebih erat sekiranya kita menyediakan masakan di rumah. Itu yang saya percaya.

Sepanjang cuti sekolah selama seminggu saya menghabiskan masa mengemas apa yang patut. Sejak berpindah hujung tahun lepas, saya cuba untuk mengemas sedikit demi sedikit. Namun, saya lebih berpuas hati dengan kekemasan rumah saya sekarang.

Buat pertama kalinya sejak berpindah, saya mengelap semua cermin di rumah yang memang sangat berhabuk. Lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini saya, Husna dan Muhammad kurang sihat. Saya dan Husna demam selsema manakala Muhammad batuk kahak dan selsema. Cuaca panas sejak akhir-akhir ini dan persekitaran rumah yang agak berhabuk menyebabkan saya bermotivasi untuk memastikan rumah sentiasa bersih dan kemas agar kami sekeluarga tidak mudah sakit.

Bukankah kebersihan itu sebahagian dari Iman? Jadi saya menyahut seruan Iman ini untuk kebaikan kami bersama.


Aktiviti Riadah

Sakit-sakit badan juga dibuatnya mengemas rumah ni. Siapa kata mengemas ni satu kerja yang mudah. Walaupun tarafnya hanyalah setakat kerja pembantu rumah sahaja, tetapi rumah yang kemas memang menyegarkan mata memandang. Lebih-lebih setelah seharian penat bekerja, lapang hati apabila melihat rumah kemas dan bersih.

Untuk melegakan kesakitan badan yang ada, saya mengambil keputusan pada petang tadi untuk pergi berenang. Lokasinya ialah di UIAM, 'alma mater' saya sejak 3 tahun yang lepas. Bayaran yang dikenakan kepada orang luar seperti saya ialah RM 4 sekali masuk, manakala bagi pelajar RM 1. Pelajar UIAM pula percuma sahaja.


Kolam renang bersaiz olimpik di UIAM



Secara jujur saya mempelajari aktiviti renang ini sewaktu saya di UIAM. Memang pada ketika itu tidak tahu langsung berenang. Mujurlah di UIAM ada subjek kokurikulum renang, jadi saya ambil subjek tersebut selama 2 semester dan kini Alhamdulillah, kalau campak je dalam air tu boleh la berenang.

Catatan seterusnya?

Begitulah sedikit sebanyak catatan saya pada kali ini. Moga dapat melepaskan rindu kalian yang sekian lama menanti,hehe.

Insya Allah, sebenarnya banyak perkara saya ingin kongsi mengenai pengalaman saya di sekolah tempat saya bertugas sekarang. Insya Allah, pada coretan yang akan datang saya cuba untuk membawakan sesuatu yang menarik untuk dikongsi bersama.


Gambar diambil di tingkat 8 bangunan sekolah


Apa ye yang ingin saya sampaikan pada catatan kali ini? Secara kesimpulannya berikut adalah intipati catatan pada kali ini.

1. Kebersihan sebahagian daripada iman.

2. Jiwa yang bersih datang dari makanan yang halal dan suci-natijahya marilah kita sama-sama memasak di rumah. Kurangkan makan di luar.

3. Akal yang sihat datang dari fizikal yang sihat. Natijah dari aktiviti riadah dan membersihkan rumah.

4. Utamakan yang utama. Seimbangkan hidup kita dalam semua perkara. Amanah perlu dijaga.

Wassalam.
53100, Wangsa Maju.

0 comments:

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP