Saturday, May 16, 2009

Setelah 4 bulan...

Setelah 4 bulan berkerja di SMK Cochrane, saya dapati keadaan di sini selesa dan sungguh menyeronokkan. Seronok dari segi suasana kerja dan lebih-lebih lagi rakan-rakan seperjuangan di sini sentiasa positif untuk memberikan yang terbaik kepada pelajar dan sekolah. Pendek kata, saya berasa cukup serasi dengan suasana kerja saya sekarang.




Kuasa yang besar perlu seiringan dengan tanggungjawab yang sama tarafnya


Big power comes big responsibility
.
Begitulah kata-kata yang disampaikan oleh datuk 'spiderman' kepada 'spiderman' dalam mengenal erti kuasa dan tanggungjawab. Hakikatnya, kenyataan tersebut amat sesuai dengan kehidupan kita.

Saya menginsafi kuasa ilmu yang saya peroleh sewaktu belajar di peringkat sekolah hingga kini banyak membentuk diri saya sekarang. Bersekolah di SMAKL mendedahkan kepada saya ilmu agama yang perlu senantiasa menjadi panduan dan diletakkan dihadapan sebagai rujukan dalam setiap perkara. Walaupun saya meminati bidang IT namun, ia tidak menghalang saya untuk mempelajari ilmu agama, memahami serta mengamalkannya dalam kehidupan. Malah, sehingga kini walaupun saya tidak mempelajarinya secara rasmi, saya sedaya upaya cuba mendapatkan ilmu-ilmu agama dari pelbagai sumber yang ada.

Laman web yang saya kira amat baik kepada pengunjung sekalian mendapatkan kuliah-kuliah agama secara percuma iaitu www.mymaktabaty.com. Susunan kuliah adalah mengikut penyampai yang menyampaikannya. Boleh saya katakan yang web ini adalah web yang terbaik menghimpunkan kuliah-kuliah agama dari pelbagai sumber. Syabas kepada pembangun laman web ini dan semoga Allah Taala memberkati usaha-usaha murni beliau.

Alhamdulillah, minat saya dalam bidang IT memberikan saya pengetahuan yang bermanfaat dalam perkara berkaitan 'hardware maintainance'. Saya mula mempelajari bidang tersebut secara formal iaitu selepas SPM pada penghujung tahun 2000 sebagai mengisi masa terluang sebelum keputusan SPM keluar di Cosmopoint selama 3 bulan. Sehingga kini, saya telah membaiki dan memasang komputer tidak kurang daripada 50 buah dengan kerosakan dan ragam yang pelbagai. Alhamdulillah, pengalaman yang saya perolehi tersebut saya manfaatkan di tempat saya bertugas sekarang. Sedikit sebanyak saya dapat menyumbang kepada komuniti dan sekolah disamping tugas-tugas rasmi yang sedia ada.

Manakala di UIAM, saya memilih jurusan IT (dahulunya hanya ada Bachelor Management Information System-kerana jurusan IT belum diwujudkan pada ketika itu.) juga atas dasar minat yang mendalam dalam bidang ini. Jadi, mengapa saya tiba-tiba sahaja berminat menceburi bidang pendidikan ini?Insya Allah, mungkin itu adalah catatan saya yang seterusnya.

Menyedari hakikat ilmu IT merupakan salah satu ilmu 'tambah nilai' dalam kehidupan sekarang Insya Allah, saya berazam untuk meluaskan lagi khidmat saya kepada masyarakat dengan berkongsi ilmu-ilmu berkaitan dengan 'PC Maintainance' dan yang berkaitan dengan IT dalam blog saya ini. Doakan saya diberikan kekuatan oleh Allah Taala dan terus Istiqamah untuk beramal untuk mencari redha yang Esa.

Nasihat kepada bakal guru

"Senang betul ye jadi cikgu. Boleh balik awal, kerja pun tidaklah banyak sangat seperti kerja-kerja lain. Sekolah cuti cikgu pun boleh cuti."


Mungkin itu rasa hati 'orang luar' yang melihat betapa 'istimewanya' kerja sebagai seorang guru. Namun, para hadirin sekalian, mungkin kata-kata di atas sesuai pada zaman dahulu, namun tidak lagi boleh diguna pakai pada zaman sekarang.

Setelah 4 bulan, saya memahami tugas ini sebenarnya mempunyai 'bebannya' yang tersendiri. Tugas guru tidak hanya masuk kelas dan mengajar. Persediaan sebelum mengajar perlu dibuat. Aktiviti-aktiviti pelajar perlu sentiasa diurus dan diselia. Itu tidak masuk lagi dengan analisis kelemahan dan kekuatan setiap pelajar dalam subjek yang diajar dan mencadangkan tindakan strategik untuk menanganinya. Menanti juga dalan senarai tugas guru ialah menyiapkan laporan bagi setiap aktiviti sekolah mahupun pelajar, membuat minit mesyuarat, merangka kertas-kertas kerja aktiviti bersama pelajar dan di sekolah. Tidak kurang juga Latihan Dalam Perkhidmatan(LDP) untuk guru-guru yang seringkali dan sememangnya diadakan di luar waktu pembelajaran dan pengajaran (p&p) yang meragut masa warga pendidik bersama keluarga terutamanya semasa cuti hujung minggu dan cuti sekolah. Senarai tugas guru tidak akan habis selagi mana tujuannya adalah untuk meningkatkan kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar dan tahap profesionalisma guru itu sendiri.

Jadi, kalian diluar sana yang mungkin sedang atau akan memohon untuk memasuki bidang perguruan ini melalui KPLI atau DPLI, sudahkah menyedari realiti kehidupan pendidik yang sebenar? Sudahkah 'mindset' dibuat sebelum mengisi borang? Sekiranya sudah, mampukah kita untuk ikhlas sepanjang masa dari segi niat, dan tindakan untuk memberikan yang terbaik kepada anak didik?

Sekiranya kita benar-benar ikhlas dari segala segi mampukah kita istiqamah terhadap keihklasan kita kepada pelajar yang cerdik mahupun pelajar yang lemah? Adakah kita hanya mengajar tanpa mendidik?

Dan pelbagai lagi soalan-soalan yang perlu difikirkan dan dijawab dengan mata hati.

Nasihat saya kepada yang ingin menjadi guru, bersedialah dari segi mental dan fizikal. Memegang gelaran 'cikgu' besar tanggungjawabnya. Tugas yang mulia ini memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit.

Pengalaman

Menangani karenah pelajar adalah kemahiran yang perlu dikuasai oleh seseorang guru agar proses pengajaran dan pembelajaran tidak terganggu. Seringkali terjadi proses p&p terbantut kerana gangguan dari pelajar sendiri.

Berdasarkan pengalaman saya berhadapan dengan pelajar-pelajar di sekolah ini, pada pandangan saya mereka ini tidaklah terlampau teruk. Tapi yang teruk itu memang ada walaupun bilangannya tidak ramai. Teruk bagi saya adalah dari segi akhlak, manakala dari segi pencapaian akademik pula saya kira tidak adil untuk membandingkan pelajar-pelajar kerana mereka ini mempunyai kepandaian yang tersendiri.

Sekiranya ada tindakan mereka yang menyakitkan hati, saya sentiasa ingatkan pada diri yang saya perlu mendidik mereka, bukannya dengan menggunakan 'perkataan atau tindakan spontan' melahirkan rasa hati yang panas membara. Tapi percayalah, untuk melakukannya tidak semudah yang disangka. Perlukan latihan jiwa dan 'mind set' yang senantiasa berterusan agar setiap tindakan terkawal.

Sewaktu saya mengendalikan kelas 'relief'-kelas ganti, ada sesetengah pelajar masuk ikut pintu belakang walaupun menyedari saya ada di dalam kelas. Saya panggil pelajar berkenaan dan bertanya kepada mereka adakah tindakan mereka beradab apabila guru ada di dalam kelas. Semua pelajar yang saya tanya menyatakan perkara tersebut tidak patut atas dasar tidak menghormati guru. Lalu atas jawapan yang mereka sendiri berikan saya meminta mereka secara hormat keluar kelas dan masuk kembali dengan cara yang sepatutnya. Alhamdulillah, mereka membuatnya dengan rela dan dalam keadaan tanpa paksaan. Dalam hal ini, saya cuba sedaya upaya tidak memalukan mereka di hadapan rakan-rakan mereka dan pada masa yang sama cuba mendidik pelajar-pelajar ini dengan adab yang sepatutnya.

Bagi saya tindakan memarahi pelajar dalam apa jua keadaan walaupun mereka sebenarnya bersalah adalah kurang sesuai. Lebih-lebih lagi kepada pelajar-pelajar sekolah menengah yang jiwa remaja mereka sentiasa memberontak dan ingin banyak mencuba sesuatu yang baru. Sedikit sebanyak saya cuba mengaplikasikan konsep dalam Hadis Rasulullah S.A.W yang berpesan kepada sahabat yang bertanya tentang pesanan yang sebaiknya. Lantas Baginda S.A.W menjawab "Jangan marah". Hanya 2 patah perkataan namun mempunyai maksud yang mendalam.

Namun, adakah kita tidak perlu marah langsung? Perlu, tapi sebabnya perlu dikenalpasti, cara menyampaikannya perlu diteliti, dan mesej yang sebenar perlu disampaikan secara berhikmah. Agar mereka dapat menerima dan memahami maksud sebenar mengapa kita marah. Mesej marah itu yang perlu dijelaskan dan diingati oleh mereka bukannya tindakan marah yang hanya mereka ingati dan ulangi dikalangan rakan-rakan mereka sebagai omokan dan sumpah seranah mereka di belakang kita. Sudahlah marah tanpa tanpa kena gayanya menyebabkan kita berdosa, kita pun mengundang orang lain berbuat dosa atas kelakuan kita yang sebenarnya bermaksud untuk kebaikan namun menjemput umpatan orang.Nauzubillah.

Mengenai guru-guru warga pendidik di sini kesemuanya mempunyai kelebihan yang tersendiri. Banyak yang saya pelari dari mereka sebagai orang yang lebih berpengalaman berurusan dengan pelajar, ibu bapa dan cara kerja.

Sudah tentu, di mana-mana tempat sekalipun ada pelbagai ragam manusia yang baik dan tidak kurang juga yang kurang enak dilihat dan didengar, Namun, saya mengambil yang baik dijadikan teladan dan kurang elok itu sebagai sempadan kepada diri sendiri. Menyedari hakikat itu juga, saya sentiasa bermuhasabah dan menilai diri ini dari segala aspek akhlak dan peribadi kerana saya menyedari setiap manusia mempunyai potensi dan kelemahannya yang tersendiri.

Banyak lagi

Begitulah sedikit sebanyak pengalaman menarik saya di SMK Cochrane ini. Bagi saya setiap hari adalah hari yang menarik untuk ditempuhi, dan atas dasar itu saya bersemangat untuk berkongsi pengalaman supaya manfaat yang baik boleh dikongsi dan yang tidak baik dapat dijadikan pengajaran.

Banyak lagi yang ingin dimuatkan dalam blog ini. Setelah menstabilkan diri dengan suasana kerja, mengurus rumah tangga, dan kehidupan seharian, saya rasa bersemangat untuk menulis di dalam blog ini.

Semoga saya Istiqamah atas jalan kebaikan.Amin.

4 comments:

daLyaanoon May 19, 2009 at 8:50 PM  

begitulah luahnya...

akibat kemarau entri sebelum ini...

Tahniah cikgu MYH!!!

Unknown May 21, 2009 at 4:45 PM  
This comment has been removed by the author.
Unknown May 21, 2009 at 4:49 PM  

Selamat petang, cikgu.
Rupa-rupanya cikgu juga baru di Cochrane.
Saya pelajar LS1, yang juga meminati bidang IT.
Ibu saya telah melibatkan diri dalam bidang perguruan selama 20 tahun, saya tahu betapa bebannya pekerjaan ini.

Saya berasa nasib baik kerana dapat diajar oleh seorang guru yang bertanggungjawab terhadap diri dan orang lain (walaupun saya akan tukar sekolah tidak lama lagi). Sifat ini sudah jarang dalam masyarakat hari ini.

Good day!

Puan Tan November 24, 2009 at 8:18 PM  

Saya suka sikap positif dan ceria En Yassir, Keep it up...

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP