Tuesday, June 2, 2009

Cuti saya

Saya menyambut ketibaan cuti sekolah dengan perasaan lega dan gembira. Lega kerana cuti saya terisi dengan aktiviti menanda kertas Pengajian Am pelajar UA1 SMK Cochrane. Entah bagaimana la hasilnya pembelajaran mereka dalam subjek ini. Selain itu aktiviti mengiringi 12 pelajar SMK Cochrane untuk menyertai Kem Siber tajaan syarikat minyak antarabangsa, Exxon Mobil di Perpustakaan Negara bermula 1 jun hingga 5 jun 2009. Insya Allah, saya akan cuba 'update' mengenai program tersebut (yang saya kira pelajar-pelajar ini amat beruntung kerana menyertainya) pada catatan akan datang. Ada juga beberapa gambar menarik yang boleh saya kongsikan.



Gembira kerana saya dapat meluangkan masa bersama anak dan isteri tercinta. Ada juga rancangan kami untuk ke Aquaria KLCC untuk melihat segala macam kehidupan akuatik di sana. Lebih-lebih lagi Muhammad amat berminat dengan alam sekeliling dan macam-macam bunyi dikeluarkan dari mulut beliau untuk menggambarkan apa-apa yang dilihatnya. Mungkin juga beliau tidak akan beberapa ingat tentang pengalaman di Aquaria ini, tapi kami rasa pengalaman meluangkan masa bersama dan memberi pendedahan awal tentang alam sekeliling sedikit sebanyak boleh merangsang perkembangan mental Muhammad.


Mengasah Gergaji

Entah kenapa saya amat seronok pada cuti sekolah pada kali ini. Bukannya seronok bercuti dan berehat, tapi seronok untuk menambahkan ilmu dalam bidang p&p. Sewaktu jalan-jalan melihat buku di MPH wangsa maju pada bulan lepas saya menjumpai buku-buku Genre Pendidikan yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara.

Sangat banyak tajuk-tajuk buku berkaitan pendidikan yang menarik minat saya antaranya ialah:

  1. Teknik mendorong pelajar tanpa membunuh semangat mereka.
  2. Pembelajaran aktif.
  3. Mengajar secara efektif
  4. Inilah sekolah idaman pelajar.
  5. Multimedia di dalam bilik darjah dan lain-lain lagi.
Buat masa ini saya hanya membeli buku no 2 dan no 3 sahaja kerana itu lebih relevan dan tindakannya boleh dilakukan secara terus di sekolah. Buku no 1 juga menarik minat saya untuk membelinya, namun saya sudah membaca buku yang 'seangkatan' dengan tajuk tersebut yang ditulis oleh pasangan suami isteri iaitu Pn. Ainon Mohd dan Dr.Abdullah Hassan yang bertajuk 'Guru-guru sebagai pendorong dalam bilik darjah'. Banyak perkara yang diutarakan oleh dua penulis tersebut terutama sekali konsep tentang IQ yang sangat kurang kaitannya dengan alam kehidupan dan kerjaya namun amat ditekankan sewaktu di sekolah.

Kalau dahulu, kita menyangka bahawa orang yang pandai di sekolah akan berjaya dalam hidup dan kerjayanya, namun buku yang saya baca di atas membongkar satu persatu berdasarkan kajian bahawa IQ bukanlah segalanya. Memang seronok membaca buku yang betul-betul membuka minda terutama sekali dalam mengenal potensi pelajar yang tiada batasnya dan mungkin sekali tidak dapat dinilai dari markah segi dan gred sahaja.

Selepas membaca buku tersebut, pandangan saya terhadap pelajar dan remaja khususnya berubah. Saya tidak kisah sangat dengan siapa yang akan saya ajar. Saya kini menganggap semua anak didik saya mempunyai potensi-potensi tersendiri yang perlu diteroka. Cuma apa yang saya lakukan ialah menyesuaikan kaedah pembelajaran berdasarkan silibus mengikut tahap pemikiran dan kecenderungan minat pelajar dalam sesuatu subjek. Bagi saya kualiti lagi penting dari kuantiti. Biar mereka dapat ilmu yang dipelajari walaupun sedikit, namun berbekas di ingatan.

Kadangkala buntu juga untuk memikirkan apakah kaedah pengajaran yang terbaik, lebih-lebih lagi untuk memastikan pelajar aktif dan mengambil bahagian di kelas. Maka, untuk mengatasi kebuntuan yang ada itulah saya mengambil keputusan membeli 2 buku di atas. Kata orang, sebelum menuding satu jari ke arah orang lain (dalam hal ini pelajar), maka lihat dulu 4 jari yang menghala ke diri sendiri. Semoga usaha saya yang kecil ini dapat memberikan manfaat yang terbaik kepada anak didik saya.

Kerja-kerja Lain

Ada juga kerja-kerja lain yang menuntut perhatian saya sewaktu cuti ini. Saya dalam proses memasukkan maklumat dari web sekolah yang lama ke web yang baru. Banyak juga maklumat yang perlu disusun.

Masalah yang dihadapi oleh web yang lama adalah dari segi pengurusan laman web. Web tersebut menggunakan perisian joomla dan sepanjang pengalaman saya berurusan dengan joomla ni, saya membuat kesimpulan bahawa joomla satu perisian pengurusan kandungan web yang sangat bagus namun memerlukan usaha untuk memahami 'coding' terutama sekali sekiranya kita ingin mengubah bentuk dan 'layout' yang ada. Tambahan pula, 'plug-in' yang percuma untuk joomla agak terhad walaupun perisian itu sendiri percuma. Maka saya membuat keputusan untuk berpindah menggunakan perisian 'wordpress' yang lebih praktikal dan mesra pengguna. Bagi saya lebih mudah kerana wordpress berfungsi seakan-akan blog namun web boleh dibentuk menjadi 'website' profesional menggunakan pelbagai bentuk tema percuma yang ada.

Saya juga ada meminta inisiatif pelajar kelas saya (Tingkatan 6 Rendah Sains@PPULS1) untuk membina blog atas seliaan saya. Tujuannya supaya mereka dapat menggunakan ICT dalam pendidikan untuk berinteraksi dengan guru-guru subjek dan meletakkan pendapat mereka sendiri mengenai apa yang telah mereka pelajari sepanjang minggu tersebut.

Sesuai dengan tema blog itu sendiri, iaitu tidak perlu formal tetapi ada maklumat yang bermanfaat di dalamnya. Mungkin pada peringkat awal ini agak kekok, tetapi lama kelamaan saya berpendapat ini juga salah satu kaedah terkini untuk warga pendidik berhubung dengan pelajar di luar kelas dan memasukkan input-input yang berguna.

Kepada anak didik saya, saya berikan kebebasan untuk membentuk blog tersebut serta catatan yang ada di dalamnya asalkan tiada perkara-perkara yang melampaui batas.

Begitulah keadannya cuti saya...cuti berisi.

2 comments:

Vincent June 4, 2009 at 5:32 PM  

*ehem ehem*

Pang di sini...
Saya x sabar nak tunggu website sekolah siap...
teruskan usaha cikgu...

scottism June 22, 2009 at 1:06 AM  

AsSalam wrh. wbt.

Cikgu Yassir, saya boleh bantu keperluan cikgu utk mendapatkan buku2 terbitan (Institut Terjemahan Negara Malaysia)ITNM, pada harga diskaun 20% drpd harga pasaran. Cuma e-mel saya tajuk, no. ISBN, kuantiti diperlukan atau nama penulis (jika ada)dan e-mel saya. Saya akan balas semula e-mel dengan jumlah perlu dibayar, cara bayaran dan cara penghantaran. Insya-Allah, stok semua ada. Terima kasih.

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP