Wednesday, July 29, 2009

Minggu-minggu yang penuh mencabar

Saya dilanda stress.

Dahulu saya pernah nyatakan bahawa tugas guru bukan setakat mengajar dan mendidik pelajar. Malah meliputi pelbagai tugas dan ruang lingkup lain. Walaupun tulisan tersebut merupakan hasil kesedaran yang timbul dalam diri mengenai beban tugas seorang guru, namun apabila mengalaminya sendiri, tugas-tugas tersebut ternyata membawa cabarannya yang tersendiri kepada saya.


Kesuntukan Masa

Saya berkejar-kejar untuk menyiapkan pelbagai tugasan. Selain mengajar subjek Pengajian Am Kertas 1 dan 2, saya juga ditugaskan menjadi Guru Penyelaras Bestari, Guru Kelas PPU LS1, Guru pemantau projek pelajar berkaitan ICT(projek terkini ialah BPMyscience), dan tugas-tugas lain seiring dengan aktiviti-aktiviti yang ada di sekolah. Jumlahnya nampak macam tidak banyak, mungkin juga kurang dari 5 tugas yang dipegang serentak, namun entah mengapa saya seolah-olah tidak menang tangan menguruskannya dengan baik.

Saya cuba menyusun tugasan mengikut keutamaan. Sehingga kini, saya masih boleh mengendalikannya namun seringkali juga hampir mencapai ke tahap stress. Stress bila memikirkan perkara-perkara yang belum lagi disiapkan sepenuhnya.

Tugasan yang pelbagai menyebabkan saya jarang duduk pada masa yang lama dalam satu-satu tempat. Ada sahaja kerja yang memerlukan saya bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Ini menyebabkan saya kekurangan kualiti dalam menyiapkan rancangan mengajar yang baik kepada anak didik saya di kelas. Sejak akhir-akhir ini saya dapat merasakan yang kualiti pengajaran saya semakin merosot. Sudah tentu, saya berasa kasihan dengan anak didik saya kerana tidak mendapat kualiti pengajaran yang sebaiknya dan sepatutnya mereka terima.

Adakah saya kesuntukan masa ataupun pengurusan masa yang tidak baik? Persoalan ini senantiasa berlegar dalam pemikiran saya sejak akhir-akhir ini.

Sakit
Secara tidak sedar, saya lewat menjamah makanan semata-mata ingin menyelesaikan tugasan yang ada. Sarapan saya seawal jam 9.00 pagi, kadangkala melangkau sehingga pukul 11 pagi. Berperut kosong sehingga lebih 12 jam seolah-olah hampir menjadi rutin harian. Bukan tidak selera makan, tapi berkejar-kejar menyiapkan kerja dan pergi ke kelas menyebabkan saya menjadikan keutamaan makan sebagai tidak berapa penting.

Akibatnya, saya diserang gastrik dirumah pada malam sabtu yang lalu dan terpaksa bercuti pada hari Isnin. Serangannya agak teruk kerana saya mengalami muntah-muntah dan makanan yang masuk hatta air sekalipun dimuntahkan kembali. Saya dibawa ke HKL pada pagi Ahad, dan dimasukkan air garam beserta ubat. Tindakan melewatkan makan dengan harapan meningkatkan produktiviti kerja ternyata tidak berkesan apabila hakikatnya saya perlu mengambil cuti dan mengorbankan hari kerja.

Sejak kejadian sakit di atas, saya sentiasa pastikan saya mengambil makanan secukupnya sebelum memulakan apa-apa pekerjaan. Perut kosong dan rasa lapar sehingga berangin cuba dielakkan seboleh mungkin. Sakit yang dialami tempoh hari memang tidak tertanggung, walaupun hanya sekadar gastrik.

Pengajaran dan pengalaman

Walapun saya belum lagi melepasi tahun pertama berkhidmat dalam bidang perguruan ini, saya sering nyatakan pada diri bahawa saya perlu buat yang terbaik setiap hari. Pengalaman dan pengajaran yang saya peroleh setiap hari, saya abadikan dalam refleksi harian dalam diri. Kadang-kadang sampai terbawa-bawa dalam mimpi!

Pemikiran positif dan sentiasa ceria saya kekalkan seboleh mungkin. Saya tidak mahu membawa masalah yang dialami ke dalam proses P&P bersama pelajar. Tidak patut untuk meluahkan walaupun sedikit, rasa stress di hati pada mereka. Tugas mereka belajar dan menjadi tugas saya memberikan yang terbaik dan mengajar secara profesional kepada mereka.

Namun, adakalanya emosi itu susah hendak dikawal. Terlepas jua di raut wajah, menampakkan stress yang melanda. Apabila menyedari yang emosi kadangkala sukar dikawal, saya cepat-cepat beristighfar dan berzikir bagi menenangkan diri. Acapkali selepas solat doa-doa ma'thur (doa-doa sahih dari Hadis Nabi S.A.W) seringkali dilafazkan agar diri ini terlepas dari penyakit keluh-kesah, malas, desakan orang dan hutang.

Ternyata mengurus stress amat penting dalam kehidupan. Semua peringkat kehidupan mempunyai peringkat stress yang berbeza. Lebih-lebih lagi sesorang boleh mengalami pelbagai jenis stress mengikut tempat dan suasana. Kadangkala 2, 3 stress dalam satu hari. Stress sewaktu dalam kereta akibat kesesakan jalan raya, stress di tempat kerja/sekolah, stress di rumah-menguruskan keluarga dan rumah tangga serta pelbagai lagi.

Berfikiran Positif

"Beruntung Yassir dapat terus mengajar PPU. Cepat naik gred" kata Puan Rafidah, guru yang mengendalikan Data di sekolah kepada saya.

"Alhamdulillah,tapi tugasnya boleh tahan banyak kak,"saya menjawab dengan nada yang berat.

"Betul, tapi di mana-mana pun kerja kita akan banyak. Apa yang penting kita sentiasa berfikiran positif menyelesaikan kerja yang ada dan berikan yang terbaik,"nasihat beliau kepada saya.

Saya terdiam dan memikirkan dengan mendalam kata-kata tersebut. Memang benar seperti yang dikatakan oleh Puan Rafidah. Kerja di mana-mana pun banyak. Isteri saya yang bekerja di pejabat pun seringkali menceritakan betapa banyak bebanan kerja di tempatnya. Lumrah di mana-mana, sesuatu kerja memerlukan pengorbanan menyelesaikannnya. Kesemuanya perlu diurus dengan fikiran positif agar kita kurang dilanda stress yang melampau.

Berfikiran positif memerlukan kita memandang sesuatu dengan cara yang berbeza. Cawan yang diisi air sehingga separuh penuh (pernyataan positif) atau separuh kosong (pernyataan negatif) adalah dua pandangan yang berbeza.

Berfikiran positif juga bersangkut-paut dengan sangka baik kita terhadap kejadian dan orang disekeliling kita. Bersangka baik akan memudahkan urusan kita dengan semua orang dan mengurangkan musuh kita. Namun sangka baik itu, perlu sentiasa dilapik dengan rasa waspada agar kita tidak dipergunakan atau diperbodohkan. Itulah sebaik-baiknya.

Nasihat bersama

Mari kita sama-sama berfikiran positif dan bersangka baik kepada semua orang dalam kehidupan kita. Tidak rugi kerana manfaat itu akan kembali kepada diri sendiri. Percayalah, kita akan lebih ceria, lebih bersemangat, tidak mudah putus asa dan mudah menguruskan kerja-kerja seharian kita.

Ayuh, positifkan hidup kita!

3 comments:

desperate mama July 29, 2009 at 2:50 PM  

hai... bizinye cikgu sorang nih....

kat umah kak fidza ada 2 versi cikgu....

cikgu bizi tak pernah cukup masa - ibu kak fidza ngan adik kak fidza

cikgu yg rilex dan kool dan sentiasa banyak masa - ayah kak fidza dan suamiku....


pastinya cikgu yg rilex dan kool dan sentiasa banyak masa itu mempunyai kepakaran yang tinggi membahagikan masa... hehehehehe....

hamba_Allah August 5, 2009 at 10:44 AM  

a'a yaser..kadang2 sampai kita lupa nk mkn daa...hmm sy walaupun xsebanyak anda tp keja agak banyak la..pertukaran jadual baru, so dari kena ajar English bertukar jadi PA..tp xtau la sebab kan cikgu akademik PA kena ada 40 - 48waktu 1minggu termasuk KOKO, KOL semua 6masa...hehe manage ur stress...tp yaser banyak tugas2..hehe xtertahan kalu sy..wish u gudluck

kak yan,  August 6, 2009 at 6:13 PM  

salam yasir.....tak marahkan kak yan terbaca blog yasir...maklumlah kak yan thg boring kat rumah nie....
bekerja sebagai apa-apa pun stress.....walaupun sbg tukang cuci..tapi yg penting kita perlu pandai menguruskan stress ..bacalah mana-mana artikel tentang pengurusan stress semua boleh membantu.
Kak yan baru 7 tahun jadi cikgu....dah banyak air mata kak yan mengalir sebab stress menjadi cikgu....ha...ha...( dah mulalah nak buka kisah silam)
apa-apa pun kak yan doakan yasir dpt jadi cikgu yang cemerlang

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP