Menemui Keluarga Tercinta
Seronok sungguh di hati ini. Setelah rutin seminggu berpraktikal di sekolah sejak bulan Julai lalu hingga kini, saya pasti akan pulang menemui isteri dan anak di rumah. Seronok kerana dapat bersua selepas seminggu tidak berjumpa. Seronok dapat bermain dan melihat perkembangan anak saya, Muhammad yang setiap minggu ada sahaja telatahnya yang menghiburkan. Sahabat saya, Abg.Yus, pernah mengantar SMS kepada saya sejurus saya memaklumkan kelahiran anak saya kepada beliau yang berbunyi begini: "…percayalah segala keletihan dan penat bekerja akan penat dan hilang apabila pulang mendakap anak dan isteri tercinta…" Benar, kini saya merasakan perasaan itu. Perasaan bahagia yang dikurniakan Allah Taala kepada hambaNya yang mendirikan rumah tangga dengan ikhlas demi mengharapkan RedhaNya. Saya berkahwin dengan usia yang agak muda iaitu pada umur 24 tahun.berbanding kalau nak diikutkan dengan zaman sekarang yang kebanyakkannya berkahwin selepas stabil bekerja Dah sampai seru, saya tidak mahu tunggu lama-lama. Alhamdulillah, segalanya dimudahkan oleh Allah Taala sehingga kini. Walaupun, pada mulanya memang susah sikit, tapi Alhamdulillah saya dan isteri tidak pernah merasai pengalaman menganggur sebaik sahaja tamat pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Niat kami untuk berkahwin awal selepas tamat belajar dimudahkan oleh Allah Taala dengan memberi kami rezeki walaupun kerja permulaan kami agak susah dan mencabar. Saya pernah bekerja dengan sebuah konsultan motivasi dengan gaji tidak sampai RM1300, dan kemudiannya 'upgrade' skit bila bekerja di JUSCO dengan gaji RM1600 tetapi waktu kerja yang mengutamakan bekerja di hujung minggu menyebabkan saya tidak lama di sana. Sewaktu bekerja di JUSCO, saya berpeluang menghadiri temuduga DPLI dan KPLI dan Allah Taala telah memilih saya untuk untuk menghadiri kursus DPLI di USM. Mengapa USM? Kerana subjek mengajar yang saya pilih iaitu IT hanya ada di USM. UPSI pula hanya untuk subjek-subjek pengajaran IT yang khusus iaitu multimedia, 'Graphic Designer' sedangkan ijazah saya hanya IT secara umum sahaja. Saya pun bakal menghabiskan pengajian saya di USM tidak lama lagi, iaitu seminggu selepas raya pada 10 Oktober 2008. Alhamdulillah sehingga kini kesemuanya berjalan lancar, tiada 'paper' yang sangkut. Sememangnya saya memang meminati bidang perguruan ini dan mula mencari-mencari peluang untuk menjadi guru setelah tamat belajar. Mengapa saya berminat sangat walaupun kerjaya ini memang sangat penat dan mencabar. Berurusan dengan manusia sememangnya tidak sama apabila kita berkerja dengan mesin ataupun yang duduk di pejabat. Hakikat ini memang saya rasai sendiri perbezaannya kerana pengalaman kerja yang pelbagai sebelum ini. Insya Allah, saya akan menulis catatan mengenai bagaimana timbulnya minat saya dalam bidang ini. Bas akan bertolak pukul 3.30 petang ini. Saya perlu cepat untuk bersiap. Alhamdulillah, seronoknya pulang apabia kita mengetahui ada yang tersayang menanti.