Tuesday, September 16, 2008

Rasionalkah Hukuman Itu?

Hari ini saya melihat perkara yang tidak berapa menyenangkan pada pandangan mata saya.

Guru menegur pelajar di hadapan pelajar lain. Bukan menegur biasa-biasa tetapi dengan tengking dan sedikit pukulan di badan pelajar terbabit. Kesalahannya? Memakai kasut hitam yang tidak bertali...

Hampir semua pelajar yang ada di perhimpunan melihat keadaan dan suasana tersebut. Pelajar yang dimarahi tersebut hanya membuat muka seolah-olah seperti biasa sahaja. Mungkin sudah biasa. Ataupun mungkin nak 'cover' malu depan kawan-kawan yang lain.

Tapi saya pasti jauh di lubuk hati, perasaannya sedikit terguris dengan teguran secara terbuka di hadapan pelajar lain. Mungkin hormatnya akan berkurang dengan guru terbabit. Mungkin juga dia berubah menjadi pelajar yang mengikut peraturan tetapi hanya untuk mengelakkan dimarahi sahaja tanpa belajar makna sebenar hukuman itu dikenakan padanya. Segalanya mungkin.

Bagi saya, hukuman dan denda itu PERLU. Namun keperluan itu perlu disusuli dengan rasional MENGAPA hukuman tersebut dijalankan dan CARA hukuman itu dilaksanakan. Itu pendapat saya, berdasarkan pengalaman saya berhadapan dengan remaja-remaja dan mendengar luahan hati dan perasaan mereka melalui program-program motivasi, PLKN dan sebagainya.

Mereka pun seperti kita. Perlu ditegur secara berhikmah. Tiada siapa yang mahu dirinya dimalukan dihadapan orang lain. Malah dalam sunnah Nabi SAW pun ada menyatakan bahawa aib diri dan aib orang lain perlu dijaga supaya orang lain tidak mengetahui. Malah Islam amat menjaga maruah seseorang di mana sekiranya dia menyesal dengan dosa-dosa yang telah dilakukan, cukuplah sekadar bertaubat dan tidak perlu menceritakan dengan terpeinci dosa-dosa yang telah dibuat kepada orang sebagai tanda sudah bertaubat. Tindakan itu akan mengubah persepsi orang terhadap kita. Cukuplah Allah yang Maha Mengetahui segala tindak-tanduk kita.

Ada guru-guru yang mengatakan sekiranya kita tidak menggunakan cara ini (menengking+'memukul' pelajar-saya gunakan istilah 'memukul' dalam erti kata untuk mendidik) adalah perlu kerana mereka ni tak faham kalau kita cakap lembut-lembut dan berhikmah. Budaya mereka sememangnya begitu, jadi mereka perlu diajar mengikut budaya mereka. Kalau tidak mereka tidak akan faham dan buat tak tahu sahaja.

Saya tidak dapat tidak agak bersetuju dengan pendapat di atas.

Hanya guru yang sudah lama dan masak dengan karenah pelajar sahaja yang dapat memahami bagaimanakah bentuk hukuman yang sesuai kepada mereka. Dalam Islam hikmah itu sendiri merujuk kepada CARA yang SESUAI mengikut orang yang menerima hukuman dan bentuk kesalahan yang dilakukan.

Mungkin pelajar di atas sudah banyak kali diingatkan, dan memandangkan sesi persekolahan pun dah sampai ke penghujung, takkan tak faham-faham lagi dengan peraturan sekolah. Memang patutla kena marah sebegitu rupa. 

Kesimpulannya, saya ada memberi satu contoh analogi kepada pelajar saya sewaktu kelas sivik mengenai rasional hukuman. 

"Kita melihat salah orang lain dengan menudingkan jari kita kepadanya. Namun, terlupakah          kita bahawa, 4 jari yang lain di tangan kita masih menuding ke arah diri sendiri.          Maksudnya, mungkin kita hendak salahkan guru atas hukuman yang dikenakan, tetapi cuba kita lihat '4 sebab' yang menyebabkan berlakunya hukuman itu. Masakan pokok bergoyang, kalau bukan kerana angin (dan juga monyet kalau ikut 'statement' Datuk K "

Jadi, sentiasalah berfikir dan lihat diri kita. Hukuman dan denda bukan dilakukan dengan saja-saja tanpa sebab.

Susulilah hukuman itu dengan rasional dan sebab agar remaja terdidik dengan adab serta akhlak yang sepatutnya.

1 comments:

Rizza September 17, 2008 at 6:36 AM  

salam.. sepatut nye guru tersebut memanggil murid yg menyalahi undang2 sekolah tu ke bilik disiplin dan menegur secara berhemah..jika lebih 3x setelah diberi amaran.. baru la merotan nye atau apa segala jenis denda yg nak dibuat.. tapi rotan di dlm bilik dahulu.. jika masih tidak berubah.... berbincang dengan ibu bapa nye... bagitau masalah nye dan beri amaran jika buat lagi .. baru la merotan di khalayak ramai...

tapi kalau sekadar kasut je.. kenapa perlu merotan di depan murid lain.... kena selidik dulu... bukan ikut perassan marah je kan...

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP