Tuesday, December 30, 2008

Kembali setelah menyepi

1. Alhamdulillah, saya berusaha untuk kembali menulis setelah kian lama menyepi.

2. Sepi kerana talian internet di rumah keluarga di Cheras telah dipotong sementara waktu atas sebab bil yang melambung kerana adik bongsu dengan semangat setiakawan yang tinggi kerap menelefon rakan-rakannya yang mempunyai telefon bimbit. Nasihat telah diberikan kepadanya dan tindakan telah pun diambil oleh pihak TM untuk memotong talian buat sementara sebagai pengajaran. Semoga beliau mengambil pengajaran dan menerima nasihat ,Insya Allah.

3. Kini saya sekeluarga kembali ke rumah sewa di wangsa maju setelah sebulan lebih menjaga rumah keluarga di Cheras kerana mak dan ayah pergi mengerjakan haji dan telah pun selamat pulang dalam penerbangan pertama yang lepas,Alhamdulillah. Semuanya sihat kecuali mak yang masih lagi batuk akibat keadaan persekitaran di sana.

4. Saya dalam fasa bersabar menunggu keputusan penempatan ke Sekolah Menengah oleh KPM. Mengikut KPM, urusan penempatan DPLI boleh disemak mulai 5 Januari bersamaan hari Isnin depan. Semoga segalanya dimudahkan urusan.

5. Muhammad pula sedang memasuki fasa sebagai pengkaji kehidupan yang sangat aktif. Banyak perkara yang menarik perhatian beliau ingin disentuh dan dimasukkan ke dalam mulutnya. Muhammad sentiasa mahu didukung atau berjalan melihat persekitaran. Ada sahaja aktiviti yang dibuatnya hinggakan sewaktu minum susu ibu ummi pun masih lagi ingin bermain-main dan memegang sesuatu. Alhamdulillah, Allah Taala mudahkan urusan ummi untuk menyusukan Muhammad dengan susu ibu sehingga kini dan Insya Allah sehingga umur dua tahun.

6. Bentuk fizikal Muhammad pun sudah mula berubah dengan badan yang semakin meninggi dan semakin berat. Walaupun nampak agak tidak tembam namun beratnya masih lagi normal. Makanan berbentuk puri dan bubur nasi pula sudah mula diberikan dan kesemuanya dibuat sendiri oleh kami. Berdasarkan pembacaan yang dilakukan, makanan bayi yang sudah diproses di luar sana agak kurang sesuai untuk bayi seperti Muhammad kerana khasiatnya.

7. Walaupun ada yang menyarankan kami membeli sahaja makanan bayi di pasar raya untuk Muhammad sehinggakan kami pun hampir-hampir sahaja ingin membeli,namun setelah meminta pandangan doktor, kami batalkan sahaja niat tersebut. Memang Muhammad sudah menunjukkan kecenderungan untuk makan(sebab bila kami makan dia sibuk-sibuk nak pegang dan masuk dalam mulut dia), tapi bila dia cuba makan puri yang dibuat, terkelat-kelat juga mukanya untuk mengunyah dan makan. Baru satu, dua kali menyuap dia sudah tidak mahu. Rupa-rupanya itu merupakan kelakuan normal seorang bayi untuk membiasakan diri dengan makanannya.

8. Antara puri yang telah dibuat ialah lobak merah,kentang,pisang,epal dan bubur nasi. Alhamdulillah, Muhammad tidak sangat memilih, makan je semua. Tapi sikit jela yang dia makan. Mengikut kata doktor umur 7 bulan seperti Muhammad adalah normal untuk makan 2 sudu besar atau kurang selagimana dia masih menyusu.

9. Selain itu, banyak peristiwa yang berlaku disekeliling yang menggusarkan hati kita sebagai umat Islam. Kemelesetan ekonomi, blog yang menghina Rasulullah S.A.W, dan yang terkini serangan Rejim Zionis ke atas Palestin membuatkan seolah-olah dunia ini dipenuh dengan huru-hara dan tidak selamat diduduki.

10. Marilah kita sama-sama berdoa sebanyak 5 kali setiap hari selepas solat agar kita diberi kekuatan dan ditetapkan KEIMANAN menempuhi fitnah(cubaan) dunia yang semakin tua dan menunggu penghujungnya.

11. Semoga ketemu di lain coretan, Insya Allah.

Teruskan membaca...

Sunday, November 23, 2008

Halal dan berkatkah wang itu?

Salam kepada semua pengunjung blog ini.

Ini adalah catatan saya yang pertama mengenai ilmu IT dalam blog ini untuk tatapan sahabat-sahabat yang sudi membaca dan berkongsi pengalaman di dalam blog saya. Semoga membawa manfaat kepada kita semua.



Saya menjumpai artikel yang menarik mengenai kaedah sebenar membuat duit di internet. Apa yang menarik pada artikel ini ialah ia bukan sahaja menerangkan mengenai kaedah yang betul untuk cari duit di internet, malah apakah skim-skim internet di luar sana yang TIDAK BETUL malah boleh dikategorikan sebagai hasil pendapatan yang RAGU-RAGU
dan boleh sahaja menjadi haram di sisi Islam.


Artikel ini saya dapati di www.wangcyber.com dan ditulis oleh Mohd Suhaimy a.k.a shuth yang merupakan pengasas kepada laman web tersebut. Artikel penuh adalah seperti berikut:



Usah lagi tertipu dengan skim pelaburan haram & skim cepat kaya di internet!

Ketahui! Kaedah membuat duit di internet yang sebenar!


Kepada rakan yang dikasihi..

Pada 12 April 2007 yang lalu, majlis fatwa kebangsaan telah sebulat suara memutuskan, bahawa pelaburan internet adalah haram di sisi agama islam. Kenyataan ini telah serba sedikit menggembirakan saya, kerana sejak dahulu lagi telah saya ketahui, skim-skim pelaburan yang dijalankan di internet ini sebenarnya adalah merupakan skim ponzi alaf baru yang hanya bertujuan untuk menipu masyarakat yang sememangnya terlalu mudah percaya dengan angan-angan untuk menjadi kaya dengan cepat.

Pengharaman tersebut juga telah serba sedikit menyedarkan beberapa pihak yang telah terjebak ke dalam perangkap skim pelaburan tipu tersebut untuk cepat-cepat kembali ke jalan yang betul dan mengeluarkan diri mereka dari terus hanyut dan menjadi barua kepada komplot penipuan tersebut.

Ditambah pula dengan liputan-liputan serta pendedahan yang dilakukan oleh pihak media, maka, semakin ramailah masyarakat yang tersedar dan mula berhati-hati dengan peluang-peluang membuat duit melalui inernet ini.

Namun begitu, sesuatu yang sedikit mengecewakan. Ramai masyarakat yang terkeliru dengan istilah PELABURAN INTERNET dengan PERNIAGAAN INTERNET. Pada mereka, apa-apa sahaja perkara yang berkaitan dengan "Buat Duit di Internet" adalah tipu dan tidak boleh dipercayai. Lebih menyedihkan lagi, bukan masyarakat biasa sahaja yang terkeliru dengan 2 perkara ini, malah pihak-pihak yang dianggap sebagai pihak yang handal ICT, seperti Pusat Keselamatan Siber Malaysia juga turut terkeliru mengenainya.

Membuat duit atau menghasilkan pendapatan melalui internet sebenarnya bukanlah sesuatu yang mustahil. Malah terdapat ramai individu-individu di dunia amnya dan di Malaysia khususnya, telah berjaya menghasilkan duit yang banyak menerusi internet. Antara nama yang paling dikenali ramai adalah Dr. Irfan Khairi . Beliau, telah berjaya menjadi jutawan dengan hanya menjalankan perniagaan di internet.... diulangi.. PERNIAGAAN INTERNET.... atau perlukah saya mengejakannya? P . E . R . N . I . A . G . A . A . N ... bunyinya apa?... PERNIAGAAN ... (pandainyeeeee~~~ anak sapa ni~~?)

Untuk memberikan lebih kefahaman tentang "KAEDAH-KAEDAH SEBENAR BUAT DUIT DI INTERNET " , izinkan saya menjelaskannya kepada anda. Diharapkan anda dapat melapangkan dada dan mengosongkan fikiran anda terlebih dahulu dari segala tanggapan-tanggapan serta cerita-cerita yang pernah anda dengar sebelum ini tentang "BUAT DUIT DI INTERNET".

Secara keseluruhannya, terdapat 3 kaedah / cara membuat duit di internet, iaitu :-

  1. Perniagaan Internet
  2. Program Internet
  3. Pelaburan Internet

Nota : Hijau - Boleh Dipercayai , Oren - Perlu Berhati-hati , Merah - Lari jauh-jauh.


1) Perniagaan Internet

Satu kaedah yang paling pasti untuk membolehkan anda membuat duit di internet adalah dengan menjalankan perniagaan anda di internet. Perniagaan internet tidak jauh berbeza konsepnya dengan perniagaan konvesional. Anda masih memerlukan produk untuk dijual dan memerlukan pelanggan untuk membeli. Apa yang berbeza hanyalah proses transaksi urusniaga tersebut, dimana, transaksi tersebut dijalankan secara online. Pihak pembeli dan penjual tidak bersemuka dan berada beribu-ribu batu jauhnya.

Perniagaan internet pula boleh dibahagikan kepada 2 bentuk. Iaitu , sama ada "perniagaan yang berasaskan" produk ataupun "perniagaan yang berasaskan perkhidmatan".

Perniagaan Berasaskan Perkhidmatan

Antara contoh-contoh perniagaan internet yang berasakan perkhidmatan adalah seperti :-

  • Perkhidmatan rekabentuk grafik (logo, banner, cover ebook)
  • Perkhidmatan membina website
  • Perkhidmatan memasang perisian.
  • Perkhidmatan webhosting
  • Perkhidmatan menulis & menterjemah artikel

Perniagaan Berasaskan Produk

Bagi perniagaan internet yang berasaskan produk pula, ia boleh dibahagikan kepada 2 jenis produk. Iaitu, sama ada produk fizikal ataupun produk digital.

Antara contoh perniagaan-perniagaan internet yang berasaskan produk adalah seperti:-

Produk Fizikal

  • Menjual Tikar
  • Menjual Alat Penjimatan Eletrik
  • Menjual Buku
  • Menjual Peta
  • Menjual Model Kapal Terbang
  • Menjual Menjual CD multimedia
  • Menjual Cadar

    Produk Digital
  • Menjual Ebook
  • Menjual Perisian-perisian
  • Menjual MP3 ceramah-ceramah pembelajaran.
  • Menjual Gambar-gambar/ grafik profesional
  • Menjual video-video tutorial
  • dan bermacam-macam lagi...

Perniagaan-perniagaan internet seperti ini adalah benar dan jarang sekali ada yang menipu. Jika ada yang menipu pun peratusannya agak kecil (Sama seperti perniagaan konvensional, ada juga peniaga-peniaga yang melakukan penipuan di dalam perniagaan mereka.). Peniaga internet menggunakan internet dengan sepenuhnya untuk memasarkan produk-produk mereka. Jadi! adakah mustahil untuk anda membuat duit di internet dengan melakukan perniagaan di internet? Sudah pastinya tidak mustahil sama sekali. Anda BOLEH buat duit di internet dengan menjalankan PERNIAGAAN Internet!

Perniagaan di internet adalah sama seperti perniagaan konvensional. Rukunnya sama.. ada penjual, ada pembeli dan ada produk. Di dalam Perniagaan Internet.... tiada istilah labur duit, goyang kaki dan kemudiannya jadi kaya.

Untuk membina sebuah perniagaan internet yang berjaya bukanlah sesuatu yang terlalu mudah. Ia memerlukan usaha yang gigih dan juga ilmu pengetahuan yang tinggi, terutamanya ilmu-ilmu yang berkaitan dengan dunia perniagaan. Untuk membina sebuah perniagaan internet yang berjaya, anda perlu mempunyai ilmu mengenai "Niche Market Research", "Product Development", "Web Development", "Internet Marketing", "Search Engine Optimization(SEO)", "Sales Letter Writing ", "Web Credibility", "Traffic Generation" dan bermacam-macam lagi ilmu yang perlu dipelajari dan diketahui..... Membangunkan perniagaan internet, bukanlah semudah membangunkan website dan meletakkannya di internet sahaja.. ia lebih dari itu. Jadi, sememangnya tiada istilah "Duduk Diam Dapat Duit" di dalam dunia perniagaan internet.

Jika anda berminat untuk mendalami serta berkongsi ilmu tentang cara-cara membina perniagaan di internet yang betul, sertailah komuniti kami di www.wangcyber.com , banyak tips-tips serta ilmu yang membincangkan tentang cara-cara membina perniagaan internet yang berjaya dikongsikan di website tersebut.


2) Program Internet

Kaedah kedua untuk membuat duit di internet adalah melalui program-program internet.Kaedah ini adalah lebih mudah untuk dilakukan jika dibandingkan dengan kaedah yang pertama iaitu "membina perniagaan internet".

Program internet ini pula. boleh dikategorikan kepada beberapa jenis, iaitu :-

  • Program Pengiklanan
    • Google Adsense
    • Text-Links-Ads
    • Bidvertiser
    • Nuffnang
    • Advertlets
  • Program Affiliate
    • Clickbank
    • Commision Junction
    • PayDotCom
    • Amazon.com
  • Internet MLM
  • Get Paid To Program
    • Get Paid to Read Email
    • Get Paid to Surf
    • Get Paid to Survey


  • Randomizer
  • Forced Matrix

Nota : Hijau - Boleh Dipercayai , Oren - Perlu Berhati-hati , Merah - Lari jauh-jauh.



Program Pengiklanan

Program pengiklanan seperti google adsense, bidvertiser, text-link-ads , nuffnang dan yang lain-lain, adalah merupakan sebuah program pengiklanan yang menghubungkan antara "pihak penerbit iklan" dengan "pihak pembeli iklan". Jika anda ingin membuat duit di internet menerusi program pengiklanan ini, anda perlulah menjadi pihak "Penerbit Iklan", atau lebih dikenali sebagai "Publisher".

Sebagai seorang "publisher", anda dikehendaki untuk menyediakan sedikit ruang di website anda, untuk diletakkan iklan-iklan dari program-program pengiklanan yang anda sertai. Pihak penganjur program pengiklanan seperti google, text-links-ads, bidevrtiser dan sebagainya, akan membayar anda berdasarkan kaedah yang ditetapkan, iaitu sama ada mengikut bilangan klik , bilangan paparan atau pun mengikut kiraan hari berapa lama iklan tersebut di paparkan di website anda.

Duit yang digunakan untuk membayar anda itu pula, sebenarnya, bukanlah datang dari pihak penganjur, tetapi duit-duit tersebut, sebenarnya datang dari pihak-pihak pembeli iklan (pihak-pihak yang ingin mengiklankan website/produk mereka). Jadi, disini, jelas dapat di lihat dari mana sumber datangnya duit tersebut dan kemana ia disalurkan. (Dari poket pembeli iklan, ke penganjur program, dan seterusnya ke poket anda, kerana sudi memaparkan iklan mereka).


Program Affiliate

Di dalam perniagaan konvensional, ada sesetengah pemilik perniagaan yang melantik jurujual-jurujual serta agen-agen untuk membantu mereka mempromosikan serta menjual produk mereka kepada orang ramai. Agen-agen yang berjaya membuat jualan pula, akan diberikan sedikit komisyen hasil daripada harga jualan produk tersebut.

Di internet, jurujual-jurujual serta agen-agen ini, dipanggil "affiliate".

Manakala, program affiliate pula, ialah sebuah program yang disediakan oleh pemilik-pemilik website perniagaan, bagi melantik individu-individu seperti anda untuk menjadi agen mereka. Proses pendaftaran sebagai agen kepada sesebuah program affiliate ini biasanya adalah percuma. Anda tidak akan dikenakan sebarang bayaran untuk mendaftar sebagai agen mereka.

Setelah mendaftar sebagai agen di dalam sesebuah program affiliate, anda akan dibekalkan dengan satu URL yang mempunyai ID anda. Tugas anda, hanyalah mempromosikan URL tersebut. Apabila ada orang yang meng"klik" pada URL anda dan kemudiannya, membeli produk yang dijual di website tersebut, anda akan diberikan komisyen.

Itulah penerangan ringkas mengenai program affiliate, anda mendaftar sebagai agen di sesebuah website yang menjalankan "perniagaan internet", dan kemudiannya, mempromosikan URL affiliate ID anda. Jika ada pembeli, anda akan diberikan komisyen.

Satu ciri utama yang perlu anda tahu tentang program affiliate ialah, program affiliate yang sah tidak mempunyai banyak tingkat (tier). Maksimun tingkat (tier) yang dibenarkan untuk program affiliate hanyalah 2 tingkat (2nd tier) sahaja. Ini kerana, program affiliate lebih mengutamakan kepada jualan produk dan komisyen yang diberikan juga adalah berdasarkan hasil bilangan jualan produk, dan bukannya dari bilangan "downline" yang diperolehi. Jadi, jika ada website yang mendakwa mereka menjalankan program affiliate dan peringkat (tier) affiliate mereka lebih dari 2, iaitu kadangkala sehingga mencecah 5-8 peringkat. Usah sertai! Itu adalah skim piramid yang cuba memperbodohkan anda dengan istilah "Affiliate Program" .


Internet MLM

Kini, Industri MLM "Multi-Level-Marketing" juga tidak ketinggalan untuk menggunakan internet sebagai sebuah medium pemasaran. Banyak syarikat-syarikat MLM yang telah mempunyai website mereka sendiri serta turut menyediakan kemudahan pejabat secara maya untuk kegunaan ahli-ahli mereka.

Namun begitu, industri MLM pada masa kini sudah agak parah, ini kerana banyak syarikat-syarikat MLM telah dijangkiti oleh skim-skim piramid yang seringkali menggunakan "lesen AJL" untuk sesebuah syarikat MLM sebagai topeng mereka.

Komisyen yang sepatutnya dibayar berdasarkan "jualan produk" kini sudah ditukar dan dibayar berdasarkan "bilangan agen baru" yang dapat ditaja. Jadi, tidak hairanlah jika dilihat, mengapa penggiat-penggiat MLM masa kini, bermati-matian mencari ahli baru untuk di jadikan downline mereka daripada memasarkan & menjual produk-produk keluaran syarikat MLM itu sendiri.

Ayat-ayat jualan yang sepatutnya menerangkan tentang keistimewaan produk seperti "Produk ini berkualiti! berkhasiat dan dijamin halal" kini ditukar kepada "Jadilah jutawan MLM tanpa perlu menjual produk, tanpa perlu membuat "maintain" bulanan dan juga tanpa perlu datang mesyuarat setiap minggu!", "Hanya perlu daftar jadi ahli dengan yuran RMXXX dan cari 2-3 orang rakan sahaja! dan anda akan menjadi jutawan dalam masa beberapa bulan!"

Jadi, berhati-hati lah jika anda ingin menyertai mana-mana syarikat MLM di zaman ini, mempunyai "Lesen AJL" dari kementerian perdagangan sahaja belum mencukupi untuk membuktikan mereka adalah sebuah syarikat MLM yang tulen. Ini kerana, banyak syarikat-syarikat MLM yang mengemukakan pelan pemasaran yang berbeza sewaktu mereka ingin memohon lesen dari kementerian. Selepas dapat lesen, lain pula pelan pemasarannya. Sebab itulah, anda boleh lihat, pelan pemasaran yang diterangkan di dalam ceramah-ceramah mereka amat berbeza sekali dengan pelan pemasaran yang tercatat di dalam booklet keahlian mereka.

Saya pernah menulis dengan panjang lebar mengenai "Skim Piramid yang bertopengkan MLM" ini, untuk bacaan lebih lanjut, anda boleh lihat disini http://www.wangcyber.com/forum/showpost.php?p=2657&postcount=2


Program "Get Paid To..." (GPT)

Ini satu lagi kaedah buat duit di internet, tetapi terus terang saya katakan, program-program ini, kebanyakkannya adalah tipu dan hanya akan membuang masa anda. Ada sesetengah programGPT ini, yang menawarkan anda sehingga USD100 untuk anda membaca setiap email yang dihantar. Usah mudah percaya dan kelabu mata, tanya dulu.. "Dari mana mereka dapat duit untuk membayar USD 100 kepada anda bagi setiap email?". Dari pihak pengiklan? Maaf cakap, tapi dalam dunia perniagaan, tiada peniaga yang sebodoh itu yang sanggup membayar USD100 kepada setiap orang yang membaca email iklan mereka.

Tujuan sebenar penganjur program-program "get paid to.." ini sebenarnya hanyalah untuk mendapatkan alamat email anda dan kemudiannya menjualkannya kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawap. Akibatnya, inbox email anda akan menerima banyak email-email SPAM (email tidak diundang) yang mengandungi iklan-iklan seperti viagra, pil ectasy, dadah, website lucah, software murah serta seseorang yang mendakwa dirinya pentadbir harta kerajaan nigeria yang baru sahaja kematian raja.

Jadi, usah membazirkan masa anda dengan program-program seperti ini. Tiada orang yang menjadi kaya hasil menyertai program-program seperti ini.


Program Randomizer

Ini pula satu program buat duit di internet yang menggabungkan "skim cepat kaya" & "program perjudian". Untuk membuat duit dari program ini, anda perlu "menderma" dan sekaligus mendaftar sebagai ahli mereka, dan kemudiannya, anda dikehendaki mencari rakan yang lain untuk turut "menderma" (menjadi mangsa) ke dalam program ini.

Kepada siapa wang anda perlu di"derma"kan? Pertama, kepada penganjur program tersebut, kedua.. kepada individu yang menjemput anda untuk menyertai program ini.. dan ketiga... kepada mana-mana ahli yang akan dipilih secara rawak oleh sistem. Ikut nasib... kalau nama anda terpilih, maka dapatlah duit.. kalau tidak.. cari lagi "mangsa" yang lain.


Program Forced Matrix

Ini pula skim piramid yang dijalankan di internet secara terang-terangan. Tetapi ramai yang tertipu dengan perkataan "forced matrix" yang digunakan, konon-kononnya, ianya adalah sebuah program yang canggih, maklumlah namanya pun sudah canggih. Hakikatnya, ianya adalah skim piramid. Di dalam program forced matrix ni, mangsa dikehendaki membayar duit sebagai ahli dan kemudiannya mencari 2-10 orang untuk dijadikan downline mereka. Mereka akan menyusun 5 orang pada level 1 dibawah mereka, setelah lengkap level 1 dengan 5 orang mangsa, maka mangsa yang ke-6 akan diletakkan di level ke-2 pula, pada level kedua ini, mereka perlu mencari seramai 25 orang mangsa. Begitulah seterusnya, semakin banyak level, semakin banyaklah mangsa yang diperlukan. Apa yang ahli-ahli program forced matrix ini tidak sedar ialah, program ini sebenarnya akan menjadi tepu pada level yang ke-13, itu pun jika seluruh penduduk dunia menyertainya. Tetapi, selalunya, ia akan tepu pada level yang ke 6 & 7. Mengapa? sebabnya.. tidak ramai orang-orang yang "bodoh" di internet yang mahu menyertai program-program seperti ini. Yang peliknya, mereka yang kurang bijak yang menyertai skim ini akan berkata "Tidak mengapa! Kita perlu berusaha dengan lebih kuat lagi mempromosikan program ini, insyallah... segala usaha kita akan berhasil!"... Usaha apanya? Program dah tepu... nak usaha apa lagi?

Berikut adalah ilustrasi susunan ahli skim piramid yang digunakan oleh program "forced matrix 5"


Apabila program ini tepu pada level ke 6 (sebab tiada lagi orang "kurang pandai" yang dapat diperdayakan) , maka, 55,944 orang akan rugi (level 3-6) dan hanya 42 orang sahaja yang akan untung (level 1 - 2). Jadi, nasihat saya, jauhkan diri anda dari program-program seperti ini, ini kerana, anda tidak akan tahu di level mana anda berada apabila anda menyertai program tersebut.


3) Pelaburan Internet

HYIP (High Yield Investment Program)

Ini pula adalah kaedah yang paling-paling disukai dan digilai oleh ramai orang, terutamanya rakya Malaysia... . Campak duit!... Goyang Kaki! Cukup bulan.. duit berkepul-kepul masuk ke dalam akaun bank! Nak lagi banyak? Ajak kawan-kawan sekali, jemput semua sekali orang kampung masuk melabur!

Peduli apa pihak penganjur buat dengan duit tersebut?
Peduli apa mereka itu ada lesen ke tidak?
Peduli apa halal ke haram?

Yang penting..... cukup bulan.. CONFIRM dapat untung sekian-sekian peratus!

HYIP, Swisscash, E-Barrel, ABFund dan apa-apa sahaja website yang menjanjikan anda keuntungan tetap, adalah beberapa contoh website yang menawarkan skim PELABURAN INTERNET ini. Mereka tidak mempunyai lesen, dan mengambil deposit daripada masyarakat secara haram.

Inilah kaedah buat duit di internet yang di"HARAM"kan oleh majlis fatwa kebangsaan pada 12 April 2007 lepas. Suatu pelaburan yang dijalankan menerusi internet... atau nama sebenarnya, SKIM CEPAT KAYA ALAF BARU.

Duit yang dilaburkan sebenarnya hanya dipusing-pusingkan. Duit-duit dari pelabur X, Y, Z akan diberikan kepada pelabur-pelabur A, B, C yang merupakan orang-orang yang terawal melabur di dalam pelaburan haram ini. Dan, apabila pelabur-pelabur A, B, C ini mendapat wang keuntungan sepertimana yang dijanjikan oleh penganjur pelaburan haram ini (yang sebenarnya sengaja diberikan untuk menguatkan kepercayaan orang ramai). Maka, akan semakin riuhlah pelabur-pelabur A, B, dan C ini mengkhabarkan yang mereka kononnya telah memperolehi keuntungan yang berlipat ganda dari pelaburan mereka di dalam skim pelaburan haram tersebut.

"Tengoklah berapa banyak duit aku dah dapat hasil daripada pelaburan ini, mana ada tipu? Kalau tipu, takkan aku boleh dapat duit banyak begini?" kata pelabur A

"Sertailah kami, usah dengar kata-kata rakan-rakan anda itu, mereka itu semua melayu yang berfikiran rendah, busuk hati & pendengki! Tidak boleh tengok orang senang sikit! " kata pelabur B

"Haram konon.... boleh jalanlah dengan haram kau! Kalau nak haram.. haramkan semuanya!" kata pelabur C yang cuba menghalalkan perkara yang haram.

Saya tidak mahu bercerita panjang mengenai pelaburan haram ini disini, saya sudah letih, jika anda ingin membaca kupasan lebih lanjut mengenai pelaburan haram ini, anda boleh lawati website-website berikut :-

Apa yang pasti, kini dalang-dalang skim-skim pelaburan haram & cepat kaya ini sedang mencari-cari taktik yang baru untuk meneruskan lagi kegiatan penipuan mereka. Dengar kata, mereka kini sedang sibuk pula membuat website-website pelaburan yang baru, untuk website yang terbaru ini, mereka tidak lagi memberikan pulangan "tetap", tetapi pulangan diberikan, berdasarkan "prestasi" pelaburan pula!. Apabila ditanya, Dimana wang pelabur dilaburkan?.. Mana lesen pelaburan? Mana laporan pelaburan tahunan? "Oh! itu tidak boleh di dedahkan.. itu rahsia strategi pelaburan kami!" alasan ringkas yang mereka berikan untuk sekali lagi memperbodohkan masyarakat.

Nasihat saya kepada anda! Jika ada peluang-peluang buat duit yang ditawarkan kepada anda, lebih-lebih lagi jika mereka meminta wang dari anda (sama ada berbentuk yuran keahlian / wang pelaburan) dan kemudiannya, meminta anda MENCARI ORANG lain untuk membolehkan anda mendapatkan keuntungan yang besar dalam masa yang singkat. Berhati-hatilah...ops! maaf! Bukan berhati-hati.. tetapi larilah jauh-jauh sekuat-kuatnya.

Selidik terlebih dahulu dari mana asalnya wang keuntungan yang anda perolehi itu? Oh! yer... apabila saya menyuruh anda membuat "selidikan" , ia bukanlah bermaksud, membaca segala maklumat yang terdapat di website mereka dan kemudiannya mempercayainya 100%.

Tetapi apa yang saya maksudkan dengan perkataan "selidik" ialah , selidik terlebih dahulu modus operandi mereka, dari mana sumber duit tersebut datang, dan ke mana duit tersebut pergi. Apa yang menyebabkan mereka boleh memberikan anda keuntungan yang tinggi dalam masa yang singkat?. Tetapi jika anda terlalu daif untuk membuat selidikan, tanyalah dan rujuklah kepada rakan-rakan lain yang lebih arif. Dimana hendak mencari rakan-rakan yang lebih arif mengenai topik BUAT DUIT DI INTERNET? , wangcyber.com adalah salah satu tempat yang terbaik.


Pelaburan Forex

Satu lagi pelaburan yang menjadi kegilaan orang ramai pada waktu ini, (terutamanya bekas-bekas mangsa Autosurf & HYIP) ialah pelaburan forex menerusi internet. Untuk makluman anda, pelaburan forex adalah merupakan satu pelaburan yang sangat berisiko tinggi. Malahan, pihak kerajaan serta pihak Bank Negara Malaysia tidak membenarkan mana-mana individu serta syarikat di malaysia untuk menjalankan urusniaga forex ini. Hanya beberapa institusi perbankan sahaja yang dibenarkan dan mempunyai lesen untuk menjalankan urusniaga forex tersebut. Antaranya Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Pos Malaysia Berhad dan juga Bank Simpanan Nasional.

Oleh itu, apa yang dilakukan oleh individu-individu yang mempunyai "keghairahan" yang tinggi terhadap pelaburan forex ini , mereka mencari dan menggunakan website-website broker dari luar negara untuk menjalankan urusniaga forex mereka.

Namun begitu, apa yang mereka tidak sedar, kebanyakkan website-website broker tersebut adalah scam dan tidak berlesen.

Jadi, kepada mereka yang "keghairahan" sudah tidak boleh ditahan-tahan lagi daripada bermain forex, berhati-hatilah apabila anda ingin memilih website-website broker untuk melabur di dalam forex.


Pelaburan Saham di Bursa Malaysia menerusi Internet

Bank-bank di malaysia seperti Maybank, CIMB , RHB dan lain-lainnya telah melangkah setapak lagi di dalam mengoptimunkan penggunaan internet di dalam perniagaan mereka. Ini kerana, bank-bank tersebut, telah berjaya menyediakan kemudahan kepada pelanggan-pelanggannya melakukan urusan jual beli saham di Bursa Malaysia hanya melalui internet , menerusi laman web mereka.

Untuk menjalankan urusniaga (bermain) saham di Bursa Malaysia menerusi internet ini, anda perlu membuka akaun perdagangan (Trading & CDS Account) anda dimana-mana cawangan bank Maybank / CIMB / RHB berdekatan anda.

Namun begitu, perlu difahami, pelaburan saham di Bursa Malaysia mempunyai risiko yang agak tinggi juga. Jadi, pastikan anda mempunyai ilmu yang secukupnya sebelum melaburkan wang anda di pasaran saham tersebut.

Pelaburan saham ini tidak ada kaitannya dengan "PELABURAN INTERNET" yang telah saya nyataan di atas, ia adalah pelaburan saham yang biasa di Bursa Malaysia, cuma kini, semua urusniaga jual beli saham tersebut, boleh dilakukan menerusi internet.

Jadi, pelaburan saham di bursa malaysia yang dijalankan menerusi internet ini bolehlah dikatakan selamat & benar, kerana anda melabur di Bursa Malaysia yang sememangnya sudah diiktiraf urusniaganya oleh bank negara malaysia.


Kesimpulan

Kesimpulannya... BUAT DUIT DI INTERNET bukanlah satu perkara yang ajaib dan penuh dengan tipu daya!. Ianya tidak mustahil dan telah pun dilakukan dengan jayanya oleh ramai orang. Malahan, di Malaysia, terdapat ramai individu yang telah berjaya menjana pendapatan di internet. Alang , Shuth, Gobala, Zamri Nanyan, Kidino, Saifulsham, Smartzul, Galadriel, Mohd Sufian, Liew CF, Gaman, Tuah Emas, Labanon, Tazilan, Sham , Bitol , Patric Chan, Sunny Tan , Azhar dan ramai lagi yang tidak mampu untuk saya senaraikan semuanya disini... adalah antara rakyat malaysia yang telah berjaya membuat duit di internet melalui PERNIAGAAN INTERNET mereka masing-masing

Jadi.. usah lagi terkeliru. antara PERNIAGAAN INTERNET & PELABURAN INTERNET. Ianya adalah 2 kaedah buat duit di internet yang amat jauh berbeza. Kami di WangCyber.com amat-amat menggalakkan masyarakat di malaysia membina & menjalankan PERNIAGAAN INTERNET mereka masing-masing, dan kami di wangcyber.com juga, menolak dan menentang sekeras-kerasnya PELABURAN-PELABURAN HARAM serta SKIM-SKIM CEPAT KAYA yang wujud di internet.

Dengan penjelasan ringkas saya ini, diharapkan, tiada lagi kekeliruan daripada mana-mana pihak mengenai istilah PERNIAGAAN & PELABURAN Internet serta salah anggapan mengenai hakikat sebenar BUAT DUIT DI INTERNET.

Sekian, salam keusahawanan dari saya..

Wassalam.

Mohd Suhaimy a.k.a shuth

WangCyber.com Founder
18 May 2007


ULASAN DAN KOMEN SAYA

Saya dapati artikel ini sangat bermanfaat kepada kita semua pada waktu dan ketika zaman kegawatan ekonomi yang sedang dihadapi kini. Mungkin ada antara kita yang terfikir tentang perbelanjaan yang semakin meningkat (walaupun harga minyak turun tapi malangnya harga barang tidak menampakkan penurunan yang ketara) dan ada juga yang risau tentang status kerja mereka pada masa hadapan. Mungkin juga ada antara rakan-rakan kita yang sedang berjinak-jinak untuk mengenali perniagaan internet ini sebagai usaha untuk menambah pendapatan.

Jadi tujuan saya menghebahkan artikel ini adalah untuk kita memastikan sama ada pendapatan yang diperoleh dari 'sumber alaf baru' ini BENAR-BENAR BERSIH DAN HALAL serta dikenalpasti SUMBER DAN ASAL-USULNYA sebelum kita menyara diri dan keluarga dengan hasil yang kita perolehi. Sesungguhnya, makanan yang diberikan dan disuapkan kepada keluarga dari asal-usul yang diragui akan membawa kesan jangka panjang kepada diri dari segi kerohanian dan akhlak diri dan keluarga.

Sebenarnya saya sudah lama mengetahui tentang betapa kita perlu berwaspada tentang perniagaan di Internet. Lebih-lebih lagi ada antara sahabat-sahabat saya yang menyertai bentuk perniagaan seperti ini. Namun kewaspadaan yang ingin saya sampaikan tak kesampaian kerana tidak tahu hendak menerangkan dengan lebih mudah. Alhamdulillah dengan adanya artikel ini, moga dapat dijelaskan mengapa kita perlu berwaspada dan alternatif untuk memastikan pendapatan dari Internet yang kita perolehi benar-benar bersih dan halal. Boleh digunakan tanpa was-was.

Saya sangat mengalu-alukan sebarang komen dan pertanyaan dari pengunjung blog mengenai artikel ini. Kalau ada tambahan lagi bagus. Boleh kita sama-sama menambah ilmu pengetahuan.

p/s: Artikel ini bukan untuk menghukum sesiapa yang terlibat dalam perniagaan internet, malah jauh sekali untuk mengharamkan kesemua skim dan perniagaan di Internet. Ini hanyalah sebagai satu garis panduan untuk kita menilai sumber pendapatan kita yang diperoleh dari internet.

Wallahualam (Dan hanya Allah yang Maha Mengetahui Segalanya).

Teruskan membaca...

Tuesday, November 11, 2008

Mendodoikan Muhammad

Penat dan kadangkala tension. Itu yang saya rasai untuk mendodoikan anak saya tidur sejak akhir-akhir ini apabila umminya pergi bekerja.

Susah juga sebenarnya untuk mendodoikan anak. Sejak kebelakangan ini Muhammad asyik meragam sebelum tidur.

Didukung menangis, bawa berjalan-jalan sambil dukung mengeliat, diletak dalam buai menangis. Entah apa yang menyebabkan dia berasa tidak selesa. Namun, lama-kelamaan setelah penat saya dukung dan bawa berjalan barulah dia senyap, penat agaknya.

Pada pagi ini pun saya mengahadapi situasi yang sama. Mungkin Muhammad tidak selesa, saya mandikan dia dan setelah itu cuba memberi susu ibu yang umminya telah siapkan dalam botol.

Dia menolak susu tersebut dengan lidah dan menangis lagi. Fuh, dah mula rasa tension nih.

Kemudian, saya dukung Muhammad sambil berjalan-jalan keliling ruang tamu. Saya cuba pastikan keadaan badannya selesa sewaktu saya dukung supaya dia tidak mengeliat.

Muhammad sudah senyap tetapi matanya melilau memandang sekeliling.

Saya teringat salah satu cara mendodoikan anak ialah dengan menyanyikan lagu supaya dia berasa tenang. Namun suara saya tidak sedap, takut hujan turun. Jadi saya lupakan sahaja soal menyanyi untuk mendodoikan Muhammad.

Terlintas di fikiran untuk membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk mendodoikan Muhammad. Memandangkan saya ada menghafal beberapa surah, boleh juga saya gunakan cara ini sebagai serampang dua mata untuk mengingat kembali dan mendodoikan Muhammad.

Saya mulakan dengan membaca surah Al-Fatihah dan diikuti dengan surah Al-Mulk dan As-Sajadah. Namun tersangkut pada 10 ayat terakhir surah As-Sajadah disebabkan tidak berapa ingat namun Alhamdulillah Muhammad telah pun tertidur dalam dukungan saya.

Saya masukkannya dalam buai dan bergegas untuk mandi dan mengurus diri kerana Muhammad biasanya tidur sekejap pada waktu pagi berbanding tengahari.

Memang betul jangkaan saya yang Muhammad pada ketika ini telahpun terjaga. Sempat juga saya mengurus diri tadi.

Baiklah saya nak sambung jaga dan main dengan Muhammad. Susah kalau dia tiba-tiba mengamuk untuk dapatkan perhatian.

Sekadar catatan ringkas dikesempatan waktu yang ada.

Teruskan membaca...

Monday, November 3, 2008

Saya sebagai Mr.Mama

Tulisan ini ditulis sebaik sahaja saya selesai menidurkan Muhammad. Mencuri masa dan peluang untuk kemaskini blog yang sekian lama agak terbiar,huhu.



Alhamdulillah, Muhammad telah tidur setelah meragam melawan perasaan ngantuknya. Sejak catatan yang terakhir iaitu mengenai Muhammad yang berusaha melawan ngantuk sampai berkerut dahi

'Catatan Hari Raya 1' saya tidak berkesempatan untuk kemaskini blog yang ada. Rasa macam ada sesuatu yang kurang apabila pengalaman bermanfaat yang saya alami tidak dikongsi.

Berikut merupakan beberapa perkara yang saya lakukan sepanjang lebih kurang 4 minggu setelah saya selesai menjalani latihan praktikum di USM pada 10 Oktober 2008 yang lalu:

  1. Berpindah dari rumah keluarga di Cheras ke rumah sewa di wangsa maju. Rumah ni amat dekat dengan rumah keluarga mentua saya, satu blok. Memandangkan baba sudah pencen, dia sangat berminat untuk menjaga cucu sulungnya. Alhamdulillah, jadi kami tak perlu pening-pening berfikir dan mencari nurseri untuk menjaga Muhammad setelah saya dan Husna sama-sama bekerja.
  2. Mengemaskini web Sekolah Menengah Teknik Batu Lanchang. Ini merupakan web sekolah di tempat saya berpraktikum. Web tersebut boleh dilawati melalui www.smtbl.edu.my.
  3. Menjadi MR. MAMA sepenuh masa.
CABARAN SEBAGAI MR.MAMA

Stamina.

Kesabaran yang tinggi.

Ilmu mengurus anak.

Kekuatan mental dan fizikal.

Perkara-perkara di atas merupakan sebahagian cabaran yang saya dapati sebagai MR MAMA sepenuh masa. Sememangnya di awal 'kerjaya' terbaru ini saya menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri. Kadang-kadang rungsing juga dibuatnya apabila Muhammad menangis tidak tahu punca, dibagi susu tidak mahu, didukung mengeliat, diletak menangis dan pelbagai lagi ragam anak kecil yang sewaktu dengannya.

Sebab itu saya meletakkan antara cabaran yang perlu diatasi untuk menjadi MR MAMA yang berjaya ialah mengetahui ilmu mengurus anak. Bayi hanya menangis untuk menunjukkan rasa tidak selesa ataupun ada kehendaknya yang tidak dipenuhi. Mengetahui punca mengapa Muhammad menangis dan perkara-perkara lain berkenaan dengan perkembangan anak-anak mendorong saya untuk melakukan sedikit bacaan dan perkongsian bersama isteri.

Laman web www.babycenter.com menjadi rujukan saya dan isteri sedikit sebanyak untuk mengetahui perkembangan anak kami.

Kesimpulan

Masih banyak yang perlu dipelajari dan saya masih lagi amatur dalam bidang ini. Tujuan saya secara rela hati memilih untuk menjadi MR MAMA kerana saya ingin merasai sendiri pengalaman menjaga anak kecil. Walaupun pada ketika ini pendapatan keluarga agak sesak disebabkan saya tidak lagi menerima elaun sebaik sahaja tamat belajar di USM, namun keutamaan saya lebih kepada keluarga.

Bak kata Husna, dia lebih rela saya duduk di rumah dan jaga Muhammad untuk qadha 'kehilangan' saya sewaktu belajar di USM. Kelakar juga bunyinya, tapi saya faham maksud yang ingin disampaikan. Tujuannya tidak lain hanyalah untuk mewujudkan hubungan kasih sayang yang lebih erat dengan anak-anak.

Kini saya merasai tugas seorang ibu yang menjaga anak-anak yang mencabar dan penuh dengan susah payah.

Susah payah melayan karenah anak.

Susah payah menguruskan rumah.

Lebih-lebih lagi bagi ibu-ibu yang berkerjaya. Cabaran kepenatan dan kepayahan mendidik anak sudah tentu berganda.

Kerana itu saya sedaya upaya ingin membantu mengurangkan beban isteri sedaya termampu.

Kepada sahabat-sahabat saya yang bakal dan sudah mendirikan rumah tangga, saya galakkan anda semua menjadi MR MAMA sedaya termampu. Kalau tidak dapat sepenuh masa akibat kekangan kerjaya, lakukanlah sesuatu untuk meringankan beban isteri. Lebih-lebih lagi isteri yang bekerjaya.

Percayalah bantuan dari kalian yang lelaki dan secara fitrahnya mempunyai tenaga fizikal kuat dapat meringankan urusan kerja rumah tangga, Insya Allah.

Sudah pasti 'teman setia' kalian akan berasa sangat bersyukur dan menghargai sumbangan tenaga yang diberikan.






Teruskan membaca...

Friday, October 10, 2008

Catatan Hari Raya 1: Damai Desa

Muhammad-Yassir-Husna di hadapan rumah mok

Salam Aidilfitri kepada semua. Setelah lebih seminggu kita menyambut syawal dan meninggalkan Ramadhan. Walaupun cuti berhari raya agak singkat namun ada yang tidak melepaskan peluang pulang ke kampung halaman masing-masing.

Begitu juga keluarga saya. Ini adalah kali pertama saya dan isteri berhari raya bersama anak sulung kami-Muhammad yang kini sudah mencecah umur 4 bulan 2 minggu,Alhamdulillah. Kami mengambil keputusan untuk pulang berhari raya di Bukit Abal, Pasir Putih Kelantan iaitu rumah nenek husna. Beliau yang lebih dikenali sebagai mok merupakan bekas guru mengajar Al-Quran di kampung tersebut dan masih lagi sihat walaupun berjalan agak bongkok sedikit kerana usia yang amat lanjut.

Tapi apa yang mengkagumkan ialah daya ingatannya sangat kuat dan tidak menghidapi penyakit nyanyuk. Mungkin berkat mengajar Al-Quran kepada anak-anak disekitar kampung tersebut, Allah Taala memberikan daya ingatan yang kuat untuk mok mengingat nama setiap anak muridnya. Disamping itu juga saya memerhatikan beliau banyak mengamalkan petua bacaan ayat-ayat Al-Quran tertentu untuk berubat. Sesampainya saya di rumah mok, beliau terus berjalan ke muka pintu dan menyapa kami sekeluarga, "Oh, Yassir dah sampai dah!". Terkejut juga saya kerana beliau masih mampu mengingat nama saya walaupun kali terakhir saya bertemu dengannya adalah pada tahun lepas.

Tiada TV

Ya, di rumah mok tiada TV, berbanding dengan rumah jiran-jirannya yang lain yang siap ada piring Astro lagi. Mok sangat melarang anak-anak dan cucu-cucunya membawa TV ke rumah .Katanya walaupun di TV ada perkara baik, namun perkara yang tidak baik juga banyak. Minyak dan air tidak boleh bercampur dalam satu gelas-minyak rosak tidak boleh dipakai,ar rosak tidak boleh diminum. Begitulah hujahnya. Pernah dia memarahi cucunya kerana curi-curi bawa masuk TV kecil hitam putih. Terus diambil dan dibuang TV tersebut.

Hadapan Rumah Mok (Cube perhati,mana ada ariel TV,huhu)

Agak janggal pada mulanya hidup tanpa TV. Sunyinya semacam. Kalau tiada yang berbual, memang sunyi. Tapi bila dah lama-lama rasa seronok pulak. Dapat menikmati damai desa yang sebenar. Lagipun rumah mok ni memang banyak buku-buku yang best. Disebabkan tiada TV, famili sepupu Husna yang tinggal bersama mok banyak membeli buku untuk bacaan di rumah. Lebih-lebih ayah ngoh (pak saudara Husna) yang suka membaca buku dan ada pelbagai jenis koleksi buku. Tenang je rasa baca buku tiada TV. Kalau tidak biasanya di rumah memang bising dengan bunyi TV.

Ayah ngoh menghadiahkan saya 3 buah buku yang kesemuanya dalam Bahasa Inggeris. Buku tersebut merupakan buku-buku agama yang telah ayah ngoh beli sewaktu beliau berada di luar negara dahulu. Saya sangat menghargai pemberian hadiah dalam bentuk buku, kerana saya suka membaca. Membaca meluaskan pemikiran dan menjadikan kita lebih kaya ilmu pengetahuan. Lebih-lebih lagi saya berkhidmat dalam bidang perguruan, perlu mempunyai ilmu yang lebih dari anak-anak murid dan supaya apa yang diajar menjadi lebih relevan dengan pengetahuan semasa.

Kelebihan Tiada TV

Sewaktu saya di UIAM, Ustaz Mustafa Omar pernah menyatakan di dalam kelas bahawa di rumah beliau tiada TV. Beliau hanya mendapatkan maklumat terkini dari internet sahaja. Katanya TV lebih banyak membuang masa dan menyekat aktiviti-aktiviti bersama keluarga. Hanya menunggu siaran TV berjam-jam tanpa melakukan sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat.

Pada mulanya saya tidak berapa percaya. "Bolehkah kita hidup tanpa TV? Boring tu!". Tapi apabila saya mengalami sendiri pengalaman tiada TV di rumah mok, terus saya akui kebenarannya. Di sini saya sertakan beberapa faedah yang saya dapati dan alami secara peribadi sewaktu di rumah mok:

  1. Baru kita sedar masa yang ada sebenarnya sangat banyak. Banyak perkara berfaedah boleh dilakukan. Membaca, membersihkan rumah, beramah mesra sanak saudara, memasak dan banyak lagi.
  2. Kita akan lebih rapat dengan saudara mara, sebab bila balik kampung je semua duduk berbual bertanya khabar. Kalau senyap, memang senyap la rumah. Jadi nak tak nak memang berbual la jawabnya. Kalau ada TV, alamat melekat la semua nak tengok rancangan menarik. Lebih-lebih lagi banyak rancangan menarik keluar pada musim hari raya. Dah hilang semangat Hari Raya untuk mengeratkan silaturrahim sesama keluarga.
  3. Boleh luangkan masa bersama keluarga dengan lebih bermanfaat. Ini dapat saya rasai bila dapat bermain-main dengan Muhammad yang sangat aktif. Terus hilang rasa nak tengok TV. Anak-anak pun rasa dihargai dan kita pun dapat mengenali peribadi anak dengan lebih berkesan.
  4. Kita akan lebih merancang hidup dengan berkesan. Kalau ada TV, susahla lebih-lebih lagi terpaksa tangguh buat sesuatu semata-mata untuk tengok rancangan kegemaran di TV.
  5. Kalau balik kampung, anak-anak kecil akan mengisi masa lapang mereka dengan bermain sesama mereka dan keluar dari rumah. Baru mereka dapat berinteraksi dengan alam sekeliling mereka. Tidakla hanya duduk je kat rumah. Saya lihat mereka ni akan lebih cepat matang dalam pergaulan dan kehidupan.

Persoalannya:Mampukah?

Itu persoalan yang saya tanyakan pada diri. Mampukah saya hidup tanpa TV? Sebab dah terbiasa ada TV dirumah sejak kecil. Namun, Alhamdulillah, dalam keluarga saya, mak dan ayah memang jarang melekat depan TV kecuali melihat berita atau dokumentari. Astro pun ayah saya tidak mahu ambil, katanya dah banyak sangat 'Channel' kat rumah. Betul juga cakap ayah. Kalau nak difikir-fikir balik kita ni hanya boleh tengok 1 channel je dalam satu-satu masa. Kalau TV yang ada fungsi PIP(picture in picture) pun hanya boleh tengok dua sahaja. Itupun 'channel' kedua hanya gambar tanpa suara,huhu.

Saya pula boleh dikatakan pernah terbiasa hidup tanpa TV kerana sewaktu tingkatan 1 hingga 5 saya bersekolah di asrama. Jadi TV tu memang dah jarang sangat tengok. Mungkin saya dan Husna tiada masalah sekiranya tiada TV tapi terfikir pula bagaimana dengan anak-anak kami nanti? Sudah pasti di zaman ini dan akan datang sangat sukar untuk kita melihat rumah orang tanpa TV. Saya dan Husna tidak mahu menimbulkan konflik dalam diri anak-anak kami bahawa kami cuba menyekat mereka dari tengok TV sedangkan rakan-rakan sebaya mereka tiada masalah untuk tengok TV. Bimbang sekiranya mereka memberontak dalam diam dan terus jauh keluarga untuk mencari hiburan lain. Memang kita Nampak itu untuk kebaikan mereka, tetapi kita mesti mendidik mereka sesuai dengan cara dan kehidupan mereka pada zaman akan datang. Sepertimana kata-kata Khalifah Islam yang kedua, Saidina Umar al-khattab, "Didiklah anak-anakmu mengikut zaman di mana mereka hidup,".

Pandangan saya: Hidup dengan TV atau tanpa TV

Bagi saya secara peribadi, TV hanyalah alat. Setiap sesuatu alat yang wujud di dunia ini ada kebaikan dan keburukan. Sepertimana pisau di dapur, alat bermanfaat yang digunakan untuk memasak, namun bisa saja boleh digunakan untuk mencederakan orang lain. Perkara yang paling utama dan paling penting ialah siapa yang menggunakan alat tersebut. Sekiranya yang menggunakan alat tersebut berniat kepada kebaikan nescaya banyak manfaat yang boleh diperolehi dan begitulah sebaliknya.

Mungkin bagi mok dan ustaz Mustafa omar kehidupan tanpa TV adalah pandangan peribadi mereka untuk menghindarkan perkara-perkara yang tidak elok yang mudah disajikan kepada semua tanpa mengira peringkat umur. Perkara itu memang tidak dapat saya nafikan, tetapi Alhamdulillah sekarang di Malaysia sudah wujud 'channel-channel' yang berasaskan maklumat bermanfaat daripada melalaikan. 'Channel' seperti TV9 dan Astro Oasis umpamanya sarat dengan bahan-bahan yang bermanfaat untuk diambil iktibar. Cuma tangan tue nak ke tak nak tekan 'remote'.

Kesimpulannya,kita sendiri memilih 'channel' apa yang kita nak. Kalau bermanfaat tengok dan belajar. Sekiranya tidak tutup dan jimatkan elektrik. Lebih bagus kalau kita melihat Intisari rancangan di surat khabar dan pilih rancangan mana yang sesuai. Kemudian rancang masa dengan tidak melihat perkara yang tidak berfaedah. Mungkin itu pendekatan yang kami akan gunakan untuk mendidik anak-anak kami terhadap penggunaan TV di rumah,Insya Allah.

Wah,panjang pula menulis, Terima kasih kerana sudi membaca sehingga akhirnya. Semoga secebis pengalaman yang dikongsi bisa membawa sedikit sebanyak manfaat kepada kita semua…dan kerana itu jualah saya menulis.

Teruskan membaca...

Thursday, October 9, 2008

Musim sibuk menjelma

Ini adalah musim sibuk bagi saya. Minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri dan minggu sekolah bermula setelah cuti Hari Raya.

Minggu sebelumnya sibuk dengan pulang ke kampung, manakala tatkala ini saya sibuk menghabiskan minggu terakhir berpraktikum di Sekolah Menengah Teknik Batu Lanchang,Pulau Pinang.

Minggu terakhir ini banyak perkara perlu dibuat. Mengecat 'mural', membuat dan mengemaskini laman web sekolah dan persediaan untuk penyeliaan kali terakhir oleh guru pembimbing.

Hampir sesak juga dibuatnya, tapi saya cuba menghadapi kesibukan ini dengan ketenangan dan tidak tergopoh-gapah. Sampaikan sempat menyelitkan masa sibuk dengan bermain badminton bersama sahabat-sahabat DPLI USM 2008 di USM. Mungkin ini kali terakhir kami berkumpul dan bermain badminton bersama memandangkan kesemuanya membawa diri ke kampung halaman masing-masing setelah selesai berpraktikum.

Catatan blog ini juga tergendala seketika. Namun, saya telahpun merangka beberapa catatan menarik selepas raya untuk dikongsi bersama. Insya Allah, setelah saya selesai menghadapi kesibukan dalam minggu ini saya akan menyudahkan catatan yang ada.

Teringat saya akan maksud Hadis Nabi Junjungan kita,Muhammad s.a.w mengenai apa yang sedang dilalui kini:

Ingatlah 5 perkara sebelum datang perkara,

Masa muda sebelum masa tua,

Masa sihat sebelum masa sakit,

Masa lapang sebelum masa sibuk,

Masa kaya sebelum masa miskin,

Masa hidup sebelum masa mati.


 

Kini putaran masa itu saya alami, dan begitu jua pada kita semua. Kesemua 5 perkara di atas sudah pasti wajib dan akan dilalui oleh setiap orang yang bergelar insan di muka bumi Allah Taala ini.

Marilah kita berwaspada dengan masa yang kita gunakan.

Baiklah nak sambung buat web ni. Entahla pukul berapa nak tidur ni.

Semoga bersua di catatan seterusnya.

"Ya Allah, permudahkanlah segala urusan hambaMu ini.Amin"

Kolej Bakti Permai,USM.

1.29 minit pagi.

Teruskan membaca...

Friday, September 19, 2008

Menemui Keluarga Tercinta

Seronok sungguh di hati ini. Setelah rutin seminggu berpraktikal di sekolah sejak bulan Julai lalu hingga kini, saya pasti akan pulang menemui isteri dan anak di rumah.

Seronok kerana dapat bersua selepas seminggu tidak berjumpa.

Seronok dapat bermain dan melihat perkembangan anak saya, Muhammad yang setiap minggu ada sahaja telatahnya yang menghiburkan. Sahabat saya, Abg.Yus, pernah mengantar SMS kepada saya sejurus saya memaklumkan kelahiran anak saya kepada beliau yang berbunyi begini:

    "…percayalah segala keletihan dan penat bekerja akan penat dan hilang apabila pulang mendakap anak dan isteri tercinta…"

Benar, kini saya merasakan perasaan itu. Perasaan bahagia yang dikurniakan Allah Taala kepada hambaNya yang mendirikan rumah tangga dengan ikhlas demi mengharapkan RedhaNya.

Saya berkahwin dengan usia yang agak muda iaitu pada umur 24 tahun.berbanding kalau nak diikutkan dengan zaman sekarang yang kebanyakkannya berkahwin selepas stabil bekerja

Dah sampai seru, saya tidak mahu tunggu lama-lama. Alhamdulillah, segalanya dimudahkan oleh Allah Taala sehingga kini.

Walaupun, pada mulanya memang susah sikit, tapi Alhamdulillah saya dan isteri tidak pernah merasai pengalaman menganggur sebaik sahaja tamat pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Niat kami untuk berkahwin awal selepas tamat belajar dimudahkan oleh Allah Taala dengan memberi kami rezeki walaupun kerja permulaan kami agak susah dan mencabar.

Saya pernah bekerja dengan sebuah konsultan motivasi dengan gaji tidak sampai RM1300, dan kemudiannya 'upgrade' skit bila bekerja di JUSCO dengan gaji RM1600 tetapi waktu kerja yang mengutamakan bekerja di hujung minggu menyebabkan saya tidak lama di sana.

Sewaktu bekerja di JUSCO, saya berpeluang menghadiri temuduga DPLI dan KPLI dan Allah Taala telah memilih saya untuk untuk menghadiri kursus DPLI di USM. Mengapa USM? Kerana subjek mengajar yang saya pilih iaitu IT hanya ada di USM. UPSI pula hanya untuk subjek-subjek pengajaran IT yang khusus iaitu multimedia, 'Graphic Designer' sedangkan ijazah saya hanya IT secara umum sahaja.

Saya pun bakal menghabiskan pengajian saya di USM tidak lama lagi, iaitu seminggu selepas raya pada 10 Oktober 2008. Alhamdulillah sehingga kini kesemuanya berjalan lancar, tiada 'paper' yang sangkut.

Sememangnya saya memang meminati bidang perguruan ini dan mula mencari-mencari peluang untuk menjadi guru setelah tamat belajar. Mengapa saya berminat sangat walaupun kerjaya ini memang sangat penat dan mencabar. Berurusan dengan manusia sememangnya tidak sama apabila kita berkerja dengan mesin ataupun yang duduk di pejabat. Hakikat ini memang saya rasai sendiri perbezaannya kerana pengalaman kerja yang pelbagai sebelum ini. Insya Allah, saya akan menulis catatan mengenai bagaimana timbulnya minat saya dalam bidang ini.

Bas akan bertolak pukul 3.30 petang ini. Saya perlu cepat untuk bersiap.

Alhamdulillah, seronoknya pulang apabia kita mengetahui ada yang tersayang menanti.

Teruskan membaca...

Wednesday, September 17, 2008

Adakah anda tergolong dari kalangan 55 orang dari 100 yang boleh membaca artikel ini?

Only great minds

can read this

This is weird, but interesting!


 

------------ --------- --------- ------------ --------- --------- ------------ --------- -------


 


 

fi yuo cna raed tihs, yuo hvae a sgtrane mnid too


 


 


 


 

Cna yuo raed tihs? Olny 55 plepoe out of 100 can.


 


 


 


 

i cdnuolt blveiee taht I cluod aulaclty uesdnatnrd waht I was rdanieg. The


 

phaonmneal pweor of the hmuan mnid, aoccdrnig to a rscheearch at Cmabrigde


 

Uinervtisy, it dseno't mtaetr in waht oerdr the ltteres in a wrod are, the olny


 

iproamtnt tihng is taht the frsit and lsat ltteer be in the rghit pclae. The rset can


 

be a taotl mses and you can sitll raed it whotuit a pboerlm. Tihs is bcuseae the


 

huamn mnid deos not raed ervey lteter by istlef, but the wrod as a wlohe.


 

Azanmig huh? yaeh and I awlyas tghuhot slpeling was ipmorantt! if you can raed tihs forwrad it


 


 


 


 

FORWARD ONLY IF YOU CAN READ IT

Teruskan membaca...

Tuesday, September 16, 2008

Rasionalkah Hukuman Itu?

Hari ini saya melihat perkara yang tidak berapa menyenangkan pada pandangan mata saya.

Guru menegur pelajar di hadapan pelajar lain. Bukan menegur biasa-biasa tetapi dengan tengking dan sedikit pukulan di badan pelajar terbabit. Kesalahannya? Memakai kasut hitam yang tidak bertali...

Hampir semua pelajar yang ada di perhimpunan melihat keadaan dan suasana tersebut. Pelajar yang dimarahi tersebut hanya membuat muka seolah-olah seperti biasa sahaja. Mungkin sudah biasa. Ataupun mungkin nak 'cover' malu depan kawan-kawan yang lain.

Tapi saya pasti jauh di lubuk hati, perasaannya sedikit terguris dengan teguran secara terbuka di hadapan pelajar lain. Mungkin hormatnya akan berkurang dengan guru terbabit. Mungkin juga dia berubah menjadi pelajar yang mengikut peraturan tetapi hanya untuk mengelakkan dimarahi sahaja tanpa belajar makna sebenar hukuman itu dikenakan padanya. Segalanya mungkin.

Bagi saya, hukuman dan denda itu PERLU. Namun keperluan itu perlu disusuli dengan rasional MENGAPA hukuman tersebut dijalankan dan CARA hukuman itu dilaksanakan. Itu pendapat saya, berdasarkan pengalaman saya berhadapan dengan remaja-remaja dan mendengar luahan hati dan perasaan mereka melalui program-program motivasi, PLKN dan sebagainya.

Mereka pun seperti kita. Perlu ditegur secara berhikmah. Tiada siapa yang mahu dirinya dimalukan dihadapan orang lain. Malah dalam sunnah Nabi SAW pun ada menyatakan bahawa aib diri dan aib orang lain perlu dijaga supaya orang lain tidak mengetahui. Malah Islam amat menjaga maruah seseorang di mana sekiranya dia menyesal dengan dosa-dosa yang telah dilakukan, cukuplah sekadar bertaubat dan tidak perlu menceritakan dengan terpeinci dosa-dosa yang telah dibuat kepada orang sebagai tanda sudah bertaubat. Tindakan itu akan mengubah persepsi orang terhadap kita. Cukuplah Allah yang Maha Mengetahui segala tindak-tanduk kita.

Ada guru-guru yang mengatakan sekiranya kita tidak menggunakan cara ini (menengking+'memukul' pelajar-saya gunakan istilah 'memukul' dalam erti kata untuk mendidik) adalah perlu kerana mereka ni tak faham kalau kita cakap lembut-lembut dan berhikmah. Budaya mereka sememangnya begitu, jadi mereka perlu diajar mengikut budaya mereka. Kalau tidak mereka tidak akan faham dan buat tak tahu sahaja.

Saya tidak dapat tidak agak bersetuju dengan pendapat di atas.

Hanya guru yang sudah lama dan masak dengan karenah pelajar sahaja yang dapat memahami bagaimanakah bentuk hukuman yang sesuai kepada mereka. Dalam Islam hikmah itu sendiri merujuk kepada CARA yang SESUAI mengikut orang yang menerima hukuman dan bentuk kesalahan yang dilakukan.

Mungkin pelajar di atas sudah banyak kali diingatkan, dan memandangkan sesi persekolahan pun dah sampai ke penghujung, takkan tak faham-faham lagi dengan peraturan sekolah. Memang patutla kena marah sebegitu rupa. 

Kesimpulannya, saya ada memberi satu contoh analogi kepada pelajar saya sewaktu kelas sivik mengenai rasional hukuman. 

"Kita melihat salah orang lain dengan menudingkan jari kita kepadanya. Namun, terlupakah          kita bahawa, 4 jari yang lain di tangan kita masih menuding ke arah diri sendiri.          Maksudnya, mungkin kita hendak salahkan guru atas hukuman yang dikenakan, tetapi cuba kita lihat '4 sebab' yang menyebabkan berlakunya hukuman itu. Masakan pokok bergoyang, kalau bukan kerana angin (dan juga monyet kalau ikut 'statement' Datuk K "

Jadi, sentiasalah berfikir dan lihat diri kita. Hukuman dan denda bukan dilakukan dengan saja-saja tanpa sebab.

Susulilah hukuman itu dengan rasional dan sebab agar remaja terdidik dengan adab serta akhlak yang sepatutnya.

Teruskan membaca...

Friday, September 12, 2008

Panas Hati di Bulan Ramadhan

Saya hampir hilang sabar.

Kelas yang pada mulanya dikendalikan dalam keadaan seronok dan penuh dengan perdebatan antara kumpulan diakhiri dengan suasana yang kurang menyenangkan bagi saya.

Saya sedang menerangkan mengenai kesimpulan pengajaran hari ini, dan saya lihat seorang pelajar yang benar-benar tidak memberi tumpuan terhadap apa yang saya perkatakan. Walaupun mungkin telinganya mendengar, namun bahasa badan menunjukkan sebaliknya. Malah boleh saya katakan dalam kategori biadab kerana tidak menghormati guru yang sedang menyampaikan ilmu dihadapan.

Badannya menghala ke arah lain dengan mimik muka seolah-olah tidak berminat mendengar. Duduk bersandar dengan tanpa rasa bersalah dan hanya mendengar yang pada tafsiran saya melalui bahasa badan, masuk telinga kanan keluar telinga kiri.Panas hati dibuatnya. Bukan sekali dua pelajar yang sama membuat perkara ini, malah banyak kali setiap kali waktu kelas sivik kendalian saya. Pada mulanya saya hanya bersangka baik, mungkin ada sesuatu yang menyebabkan pelajar ini tidak memberi tumpuan sepenuhnya, tetapi apabila sudah hampir setiap kali saya mengajar dan kebanyakan masa membuat perkara yang seolah-olah tidak menghormati guru yang sedang mengajar, saya hampir ingin memarahinya dihadapan semua pelajar.

Yang paling mengecewakan saya dengan sikapnya ialah, pelajar terbabit merupakan penerima anugerah pelajar terbaik bagi mata pelajaran agama rasmi Negara kita pada tahun 2008. Mata pelajaran yang sangat mementingkan adab dan akhlak dalam kehidupan seharian. Markah yang tinggi di atas kertas namun tidak mampu ditonjolkan dengan amalan mulia dilapangan masyarakat.

Ini yang menjadi kerisauan saya sebagai pendidik. Adakah senario ini semakin biasa dilihat di mana-mana? Kecemerlangan dalam peperiksaan tidak disusuli dengan akhlak dan adab yang baik terutama apabila berususan dengan masyarakat.

Saya cuba memberi perhatian kepada pelajar ini dengan bertanyakan soalan, dan sempat juga menegur sikapnya secara tidak langsung. Ada terdapat perubahan sedikit, tetapi masih lagi dengan mimik muka tidak berminat.

Mungkin baginya subjek Sivik yang tiada peperiksaan ini tidak sepenting subjek-subjek peperiksaan yang lain. Entahlah, apa yang pelajar fikir mengenai subjek Sivik yang tiada peperiksaan ini. Sejauh mana kepentingannya berbanding subjek-subjek lain. Mungkin saya boleh tanyakan pendapat mereka tentang perkara ini suatu hari nanti, Insya Allah.

Saya berdoa agar pelajar terbabit diberikan hidayah oleh Allah Taala agar dirinya berubah sikap ke arah yang lebih baik. Sebagai pendidik, saya mahu anak didik saya bukan sahaja berjaya di dalam peperiksaan, namun turut cemerlang peribadi dan sikap.

Saya juga bermuhasabah dalam diri sama ada teknik pengajaran saya menimbulkan minat pelajar ataupun sebaliknya.

Sesungguhnya saya tidak akan berputus asa. Catatan ini bukan sekadar luahan hati, tetapi lebih kepada untuk menginsafi diri dan kita semua. Saya tidak sesal menjadi guru dan saya tidak sesal mendidik remaja-remaja di luar sana dengan akhlak dan adab yang baik. Bagi saya, secara peribadi kecemerlangan peperiksaan bukanlah segala-galanya. Saya ingin berusaha membentuk pelajar hebat dari segi ilmu dan hebat dari segi akhlak dan adab.

Kepada Allah Taala saya serahkan segalanya. Semoga segala urusan ke arah kebaikan ini diberi kemudahan oleh Allah Taala.

Marilah kita berlumba-lumba membuat kebajikan. (Fastabiqul Khairat!!!).

Teruskan membaca...

Thursday, September 11, 2008

Membuat Kerja Lain Sewaktu Kerja?

Diceritakan sewaktu pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, di suatu malam umar didatangi anaknya untuk bertanyakan sesuatu. Umar bertanya "Apakah pertanyaan ini berkaitan dengan urusan keluarga ataupun Negara?". Anaknya menjawab, "Atas urusan keluarga."

Mendengar jawapan itu Umar lantas meniup lampu pelita yang menerangi kawasan itu dan bergelaplah meraka berdua. Kehairanan dengan sikap ayahnya, si anak lantas bertanya, "Mengapa ayah meniup lampu itu sedangkan bukankah lebih elok kita melakukan perbincangan dalam suasana yang terang".Maka Umar bin Abdul Aziz pun menjawab, "Lampu tersebut dibiayai dengan wang milik Negara, maka apa-apa yang tidak kaitan dengan hal ehwal Negara maka aku elakkan dari menggunakan lampu tersebut".

Apakah kesimpulan yang dapat kita buat dari kisah diatas?

Amanah. Dalam kisah di atas dapat dilihat betapa amanahnya pemimpin dalam menjaga harta negaranya. Tidak digunakannya untuk kegunaan peribadi.

Mari kita semak diri kita:

  1. Adakah kita membuat 'kerja' lain sewaktu kerja rasmi kita.Contohnya ber'friendster' sewaktu kerja?
  2. Adakah kita sebagai guru benar-benar mengajar atau sekadar masuk kelas dan minta pelajar buat kerja sendiri?
  3. Adakah kita menggunakan capaian internet di pejabat untuk kegunaan peribadi dan bukan atas urusan rasmi?
  4. Adakah kita 'claim' minyak lebih untuk sesuatu tugas sedangkan minyak yang dipakai untuk urusan kerja tidaklah sebanyak mana?
  5. Adakah kita berbual bersama rakan sekerja dengan perkara-perkara yang tiada kaitan dengan kerja?

Dan banyak lagi soalan yang boleh kita tanya dalam diri.

Sejak akhir-akhir ini saya agak bosan di sekolah. Tugas sebagai guru yang sedang berpraktikal menyebabkan masa mengajar hanya sebanyak 8 hingga ke 12 waktu sahaja. Saya hanya mengajar 9 waktu dan pada hari Khamis tiada kelas. Selalu juga di waktu lapang saya melayari internet menggunakan komputer riba rakan dan melayari pelbagai jenis laman web yang tiada kaitan dengan tugas saya sebagai guru.

Apabila teringatkan kisah di atas, terus saya bermuhasabah dan menyemak kembali diri ini. Saya kini cuba menggunakan masa di sekolah sepenuhnya untuk kerja-kerja berkaitan dengan guru dan mengelakkan godaan melakukan kerja-kerja lain yang seolah-olah nampak lebih 'menarik'.

Cuba kita bayangkan semua orang melakukan kerja dengan penuh amanah dan jujur serta menggunakan masa kerja sebaiknya. Sudah tentu dunia ini akan menjadi lebih baik.

Pembaziran masa dan wang dapat dikurangkan. Kerja tidak lagi tertangguh. Negara akan lebih cepat membangun dan maju (kerana semua orang fokus dan amanah dengan kerja masing-masing). Kurangnya timbul jenayah.

Serta 1001 lagi manfaat yang boleh kita kecapi.

Benarlah firman Allah Taala dalam surah Al-Asr

  1. Demi masa.
  2. Sesungguhnya manusia itu BENAR-BENAR BERADA DALAM KERUGIAN.
  3. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.


Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri kita dengan amanah yang ada. Tidak perlu untuk kita mencari kesalahan orang lain, cukuplah diri kita sebagai ukuran. Ingatlah dua malaikat di kiri dan kanan kita sentiasa mencatat amalan baik dan buruk dan kesemuanya akan dibentangkan dihadapan kita tanpa tertinggal walau satu perkara sekalipun.

Ayuh orang-orang yang Beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hisablah diri kita sebelum diri kita dihisab di kampung Akhirat kelak.

Myh-Kolej Bakti Permai,USM-Pulau Pinang.

Teruskan membaca...

Thursday, September 4, 2008

Sukarnya menterjemahkan pemikiran ke penulisan

Saya buntu.

Kalau nak diikutkan ini adalah catatan yang ke 6 saya tulis untuk dimasukkan ke dalam blog ini. Namun, saya dapati sukar untuk saya menterjemahkan kesemua apa yang saya fikir ke bentuk penulisan mudah. Hanya 3 catatan sahaja yang dapat saya paparkan di blog ini, manakala yang lainnya masih lagi tersadai di bahagian 'draft'.

Saya banyak menggunakan mata dan hati dalam memerhati dan berfikir. Pada ketika itu, idea datang mencurah-curah,membuak-buak seolah-olah ingin saja saya khabarkan pada seluruh isi dunia apa yang difikirkan.

Namun, ia tidak semudah A,B,C.

Ya, kita boleh menulis apa yang kita mahu. Namun adakah perkara itu bermanfaat untuk semua? Adakah bahasa yang digunakan mudah difahami dan pembaca tidak salah tafsir apa yang hendak kita sampaikan? Bagaimana pula dengan gambar yang boleh kita masukkan supaya bertambah menarik? Kesemua di atas adalah soalan-soalan yang sering berlegar d fikiran saya sebelum saya membuat keputusan meletakkan sesuatu catatan di blog ini untuk tatapan umum.

Kali ini, saya ingin mencuba kaedah yang agak berbeza.

Saya cuba menulis dari hati. Dengan erti kata lain, taip je apa yang difikirkan.Bak kata orang dari hati turun ke hati.

Inilah yang ingin saya ubah supaya saya tidak selalu berfikir lama untuk menulis. Supaya blog ini tidak bosan dengan 'entry' yang sama tanpa kemaskini yang terkini.

Ya Allah, semoga dimudahkan segala urusan.Amin.

p/s:RPH tak buat lagi untuk hari jumaat ni(idea ada tapi belum tulis). Pening-pening pula fikir pasal blog.Huhu.

Teruskan membaca...

Tuesday, September 2, 2008

Selamat Datang Ya Ramadhan

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan...begitulah bunyinya di dalam bahasa Arab.

Telah lama saya meninggalkan pengajian mempelajari Bahasa Arab secara rasmi. Hampir 8 tahun sejak meninggalkan sekolah yang tercinta (Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur-SMAKL). Hanya yang ada sedikit pengetahuan yang berbaki. Masih lagi kuat niat di hati untuk meneruskan kembali mempelajari Bahasa Al-Quran ini. Tujuan dan niat hanyalah satu - agar saya mampu untuk membaca kitab-kitab Arab yang berkaitan dengan Al-Quran dan Hadith kerana saya amat cenderung untuk mempelajari dan memahaminya. Kedua-dua rujukan yang menjadi petunjuk dan pedoman sepanjang zaman ingin saya fahami sebelum menghembuskan nafas yang terakhir di bumi ini.

Juga sebagai panduan hidup di dunia kini yang penuh dengan fitnah. Hanya Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pegangan agar dunia ini bisa kuredah.

'Along, boleh mandi tak sebelum berbuka? Adik panas la.' tanya adik kepada alongnya.

Sekiranya kita menjadi Along di atas, apakah jawapan kita?

Mari kita sama-sama rujuk kepada yang ahli di dalam hal ini.

Selamat berpuasa jasmani dan rohani sahabat-sahabat sekalian.

Perbanyakkan tadarus Al-Quran dan Zikir.

Kurangkan percakapan yang sia-sia.

Semoga Ramadhan kali ini membawa seribu makna dalam kehidupan kita untuk berubah ke arah yang lebih baik pada masa akan datang.Amin.

Teruskan membaca...

Tuesday, August 26, 2008

Melihat Dunia Dari Perspektif Berbeza


Sayu, sebak dan kagum. Itulah perasaan saya sewaktu menghadiri Karnival Muhibbah Orang Kurang Upaya di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati pada 24 Ogos 2008 baru-baru ini yang dianjurkan oleh JAWI dan pihak masjid. Perasaan insaf lantas meliputi hati ini sewaktu melihat keadaan mereka yang seolah-olah hidup di alam lain namun berpijak di bumi yang sama dengan manusia sempurna yang lain. 

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: 

“Lihatlah kepada orang yang lebih bawah daripada kamu, dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi daripada kamu; ianya lebih wajar, agar kamu tidak memperkecilkan nikmat Allah.”

“Bang, macam mana ye ibu bapa yang bisu ini mendidik anak-anak mereka?” bisik Husna kepada saya. (Beliau merupakan salah seorang urusetia dari JAWI yang terlibat dalam karnival tersebut)

Bisikan isteri saya itu membuatkan saya termenung dan melihat keadaan insan-insan di sekeliling saya yang dari fizikal tidak berbeza dengan diri ini cuma dunia mereka sunyi dari segala jenis bunyi. Deria mata dan bahasa isyarat tangan digunakan untuk berkomunikasi. Malah walaupun keadaan tidak hingar dengan percakapan orang tetapi melihat aksi mereka berkomunikasi penuh semangat menggunakan isyarat tangan menimbulkan rasa kagum dalam hati kecil ini. 

Mereka hadir bersama keluarga dan dijemput dari pelbagai persatuan OKU. Pelbagai pertandingan diadakan seperti sukaneka untuk OKU pekak dan bisu, menghafaz Al-Quran dan azan bagi kanak-kanak dan remaja OKU yang buta dan tidak kurang juga yang memperlihatkan kebolehan istimewa membuat kraftangan dan urut refleksologi. Hati kecil ini tidak putus-putus mengucapkan zikir Subhanallah (Maha Suci Allah) melihatkan keajaiban Allah taala di hadapan mata.

Ada antara mereka pasangan yang buta tetapi anak-anak kecil mereka celik . Anak-anak kecil ini yang pada pengamatan saya dalam lingkungan 2 hingga 4 tahun seolah-olah mengerti kekurangan ibu dan ayah mereka dan membantu menjadi juru pandu . Ada pasangan suami isteri yang bisu namun melahirkan anak-anak yang sempurna panca indera dan mereka mampu berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat. Air mata ini hampir-hampir menitis melihatkan keadaan mereka yang tidak dipinta untuk hidup dalam keadaan kekurangan dari segi panca indera. Namun, Allah sebaik-baik pencipta dan Dia menciptakan sesuatu dengan penuh hikmah agar manusia mengambil pengajaran dan bersyukur atas segala nikmat yang diberikan.

Kebolehan Istimewa

Saya sempat berurut refleksologi (kaki) dengan saudara Mohd Jazli yang sebaya dengan saya. Mata beliau boleh dikatakan ‘buta’ kerana tidak dapat melihat dengan jelas dan hanya boleh membaca dengan jarak yang amat dekat. Anak muda yang tabah ini mula mengalami kecacatan ini sewaktu kecil akibat demam panas dan kini bekerja bersama persatuan orang buta yang bertempat di brieckfields sebagai tukang urut refleksologi. Hebat urutannya! Kaki ini seolah-olah ringan selepas diurut, namun rasa sakit dan geli terpaksa ditahan sewaktu proses urutan terutama di bahagian jari kaki.

Sewaktu majlis penutup pula, hati saya terusik sayu bercampur kagum mendengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari seorang buta yang membaca dengan melalui tulisan brail. Bagus bacaan dan tajwidnya. Timbul rasa malu dalam hati ini yang sempurna panca indera dan mampu melihat dengan baik namun kadang-kadang tersalah juga dari segi tajwid sewaktu membaca Al-Quran. Begitulah kehebatan dan kebolehan istimewa yang Allah Taala berikan kepada mereka.

Muhasabah Diri

Saya dan Husna meninggalkan karnival tersebut dengan penuh rasa keinsafan. 

Keinsafan sebagai manusia biasa yang sempurna sifat berbanding mereka yang tidak dilahirkan sempurna sifat. 

Keinsafan sebagai ‘walid’ dan ‘ummi’ tentang bagaimana mereka mendidik anak-anak walaupun diri serba kekurangan dari segi panca indera.

Keinsafan sebagai ‘walid’ dan ‘ummi’ kerana mempunyai anak yang sempurna sifat.Alhamdulillah (segala puji bagi Allah).

Dan, keinsafan dalam menghargai segala nikmat kurniaan Allah sama ada kecil mahupun besar.

p/s: Saya ingin mencadangkan guru-guru yang membaca blog ini untuk membawa anak-anak murid menziarahi golongan OKU ini sekiranya berkesempatan. Pasti menimbulkan keinsafan dan rasa syukur terhadap nikmat yang Allah berikan. Moga-moga membuka mata hati dan pandangan batiniah tentang kehidupan dunia mereka yang sama sekali berbeza dengan kita serta berfungsi sebagai salah satu didikan jiwa kepada diri mahupun anak didik kita.

Teruskan membaca...

Tuesday, August 19, 2008

Lahirnya blog MYH

Selamat datang ke blog saya cikgumyh.blogspot.com sebagai medium saya menyatakan buah fikiran dan pendapat peribadi untuk tatapan umum. Saya masih lagi merancang untuk menyusun penulisan saya mengikut kategori-kategori tertentu mengikut minat dan kecenderungan saya. Insya Allah, semoga saya diberikan kekuatan oleh Allah Taala untuk sentiasa Istiqamah menulis dan semoga penulisan yang dihidangkan membawa manfaat kepada semua pengunjung blog ini.

Mengapa MYH?

MYH mewakili nama penuh saya sendiri - Mohammad Yassir Hamidun

MYH juga turut menggabungkan nama anak sulung saya, nama saya dan nama isteri saya-Muhammad,Yassir dan Husna (keluarga  yang banyak memberi inspirasi dan motivasi dalam kehidupan saya kini).

Begitulah sedikit sebanyak mengenai pengenalan dalam blog saya ini. Semoga bertemu di coretan yang akan datang.

 

Teruskan membaca...

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP